Guru disiplin promosi ubat seks – Harian Metro


JOHOR BAHRU: ‘Cikgu Power.’ Itu gelaran untuk seorang ketua guru disiplin yang didakwa bukan saja memiliki laman web menjual ubat perangsang seks, malah sanggup mempromosikan produk terbabit kepada pelajar sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.

Guru lelaki berusia 30-an itu menjadi pengedar ubat kuat menerusi laman web di Internet dan turut cuba mempengaruhi pelajar sekolah itu menjadi pelanggannya menerusi pengedaran risalah secara berleluasa.

Dia juga didakwa berkongsi pengalaman penggunaan produk perangsang seks itu bersama pelajar sekolah sebelum perbuatannya terbongkar.

Bapa pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Min berkata, dia terkilan apabila mengetahui ketua guru disiplin itu penjual ubat kuat seks dan memiliki laman web sendiri bagi mempromosikan barangan berkenaan.

“Lebih mengejutkan, guru itu sanggup memaparkan gambarnya di laman web itu tanpa memikirkan kesan negatifnya terhadap profesion perguruan dan mencalarkan imej serta nama baik sekolah.

“Dia sepatutnya menjadi contoh baik dan bukan memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual produk seumpama itu,” katanya di sini, semalam.

Min mula menyedari perbuatan tidak bertanggungjawab guru itu selepas mendapati anaknya yang belajar di sekolah itu membawa pulang beberapa risalah bertajuk ‘Abang Best’.

“Saya terkejut kerana laman web produk itu yang tercatat pada risalah memang wujud dan ia bertujuan mempromosikan sejenis gel bagi mengatasi masalah ejakulasi pramatang.

“Laman web itu amat tidak sesuai bagi tatapan pelajar kerana ia boleh membawa pengaruh buruk dan penularan gejala sosial,” katanya yang berharap guru terbabit dikenakan tindakan bagi mengelak perbuatannya berterusan.

“Saya berharap Jabatan Pelajaran Johor memandang serius perkara itu,” katanya.

Ibu bapa pelajar sekolah itu juga ada membuat laporan di Balai Polis Skudai di sini, pada 16 Ogos lalu selain mengemukakan aduan kepada pihak pengurusan sekolah.

Aduan turut dikemukakan di Jabatan Pelajaran Johor selain Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin, berkata pihaknya menerima aduan ibu bapa pelajar berkaitan dakwaan terhadap guru terbabit dan siasatan terhadap guru itu dijalankan.

“Kami perlu meneliti pekeliling pelantikan jawatan sebagai guru sama ada membenarkan seseorang untuk berniaga di luar. Kami juga akan menyiasat dakwaan yang menyatakan guru terbabit cuba mempengaruhi pelajar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Perkasa cadang Namewee dibuang negeri – Utusan Malaysia


Perkasa cadang Namewee dibuang negeri

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kerajaan digesa mengambil tindakan undang-undang termasuk ‘buang negeri’ ke atas Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai ‘Namewee’ ekoran perbuatannya menerbitkan klip video berbaur perkauman.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi membuktikan kerajaan sememangnya menangani isu-isu perkauman secara serius.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Namewee merupakan satu bentuk provokasi yang disengajakan selain jelas menunjukkan pemuda itu tidak insaf meskipun pernah memohon maaf atas kesalahannya mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku suatu ketika dahulu.

“Jangan bagi muka kepada individu seperti ini kerana tindakannya itu jelas menimbulkan kemarahan serta keresahan di kalangan rakyat.

“Jelas sekali dia tidak insaf walaupun pernah memohon maaf di atas kesalahan sebelum ini. Jika kerajaan masih enggan mengambil tindakan, ia bermakna kerajaan juga masih belum ‘insaf’ sepenuhnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim turut bersetuju dengan pandangan Ibrahim.

Katanya, tindakan Namewee nyata melampaui batas kerana mengulangi perbuatan yang sama.

Menurutnya, pemuda itu tidak memahami makna perpaduan dan nampaknya lebih suka melihat negara menjadi kacau-bilau.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar (gambar) pula menyifatkan tindakan pemuda yang pernah menuntut di Universiti Ming Chuan, Taiwan itu sebagai biadab, kurang ajar dan tidak boleh dimaafkan.

Tegasnya, hukuman keras perlu diambil ke atas Namewee termasuk mengenakan tindakan buang negeri.

“Tidak perlu lagi beri amaran kerana ini bukan kesalahannya yang pertama. Mungkin dia berani mengulangi perbuatannya kerana sebelum ini tiada tindakan tegas diambil.

“Kalau dia minta maaf sekali pun, tidak perlu terima maaf itu. Ini adalah perbuatan individu atau pihak yang tidak cintakan negara,” katanya.

Lima beradik dakwa jadi mangsa rogol abang kandung – Berita Harian


BACHOK 27 Ogos – Sudahlah menjadi mangsa nafsu serakah abang kandung, bapa yang diharapkan menjadi tempat mengadu pula membelasah mereka.

Sukar hendak digambarkan penderitaan yang ditanggung lima beradik berumur 5 hingga 16 tahun di Kampung Saador dekat sini sejak lima tahun lalu.

Setiap kali mengadu dirogol oleh abang kandung sendiri, mangsa akan dipukul dan dibelasah teruk oleh bapa mereka berusia 43 tahun yang dipercayai penagih alkohol dan dadah.

Selain dirogol dan dipaksa melakukan seks oral, kemaluan mangsa turut disumbat dengan botol arak oleh abang mereka yang berumur 18 tahun, malah diugut bunuh jika cuba melawan.

Kejadian itu dikatakan berlaku semasa ibu mereka keluar bekerja di sebuah pasar raya dekat sini.

Akibat tidak tahan dengan penderitaan yang ditanggung, tiga daripada mereka yang berumur 5, 14 dan 16 tahun bertindak nekad melarikan diri petang semalam.

Ketiga-tiga beradik ini ditemui seorang kariah Masjid Kedai Lalat yang terletak hampir 20 kilometer dari rumah mangsa dalam keadaan kepenatan dan kelaparan ketika umat Islam lain sedang menikmati juadah berbuka puasa.

Kariah tersebut, Abdullah Harun, yang bersimpati dengan ketiga-tiga beradik itu kemudian membawa mereka balik ke rumahnya kira-kira pukul 8 malam untuk berbuka puasa.

Mereka kemudian dihantar ke rumah Penghulu Kampung Cawangan Tok Ku, Mat Rani Ibrahim, 61, sebelum laporan polis dibuat.

Ketika ditemui wartawan di rumah tersebut, ketiga-tiga mereka masih dalam keadaan trauma, malah mangsa yang berumur 5 tahun, tidak henti-henti menangis dan seringkali menekup wajahnya dengan kain tudung.

Menceritakan penderitaan yang dialami, seorang daripada mangsa berumur 14 tahun yang masih lengkap berpakaian sekolah berkata, dia nekad melarikan diri bersama adik dan kakaknya untuk mencari perlindungan.

“Saya bawa adik dan kakak menyelamatkan diri kerana ketika balik ke rumah, saya lihat ayah sedang mabuk dan memegang kayu di tangan yang pasti akan digunakan untuk memukul kami.

“Kami tidak tahu apa nasib dua adik-beradik perempuan lain berusia 12 dan 9 tahun kerana mereka berdua sedang bersekolah ketika itu dan berharap kedua-duanya selamat,” katanya ketika ditemui di rumah penghulu berkenaan di sini semalam.

Anak ketiga daripada enam beradik ini yang bersekolah di sebuah sekolah agama berhampiran rumahnya mendakwa, dia telah dirogol abang kandungnya itu lebih 20 kali sejak berusia 9 tahun.

Dakwanya, dia juga pernah melihat adik bongsunya dirogol dan ketika cuba menghalang, dia sendiri dibelasah teruk sehingga pengsan.

Dia mendakwa, kakaknya yang berumur 16 tahun telah berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu kerana terpaksa menjaga adik bongsunya.

Dakwanya lagi, dia terpaksa bekerja mengambil upah membasuh pinggan di sebuah gerai selepas waktu sekolah dengan gaji RM10 sehari untuk menyara kehidupan mereka lima beradik.

Bagaimanapun, dakwanya, ayahnya selalu ‘merampas’ separuh daripada duit gaji yang diperoleh setiap hari semata-mata untuk membeli arak.

“Ayah tidak pernah menjaga kami dengan baik malah hampir setiap hari dia akan menelan pil kuda dan meneguk arak sampai mabuk.

“Bila tidak ada duit, gaji adik saya yang sepatutnya untuk menyara kami dirampas dan digunakan untuk membeli arak atau dadah,” ujarnya dengan suara tersekat-sekat.

Menurut mangsa, abangnya telah ditahan pihak berkuasa dipercayai kerana penyalahgunaan dadah lima hari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Yahya Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Bantuan khas RM500 dibayar Rabu depan – Berita Harian


KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua pegawai Perkhidmatan Awam yang berkhidmat tahun ini akan dibayar pada Rabu depan.

Ini diumumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menerusi satu pekeliling sebentar tadi.

“Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dibayar pada 1 September 2010,” katanya dalam pekeliling itu.

Bantuan Khas Kewangan itu diberikan kerajaan sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Pegawai yang layak dibayar Bantuan Khas Kewangan adalah seperti berikut:
a. pegawai tetap, sementara, sangkut, sambilan, kontrak perkhidmatan dan
guru sandaran;
b. pegawai yang bercuti separuh gaji;
c. pemandu yang dilantik oleh pegawai Jawatan Utama ‘B’ dan ke atas serta Gred Khas ‘A’ yang layak pemandu tetapi tidak disediakan
pemandu oleh jabatannya; dan
d. pegawai kontrak perkhidmatan yang putus perkhidmatannya selama satu
hari sebelum disambung semula perkhidmatan kontraknya.

Pegawai yangtidaklayak pula ialah:
a. pegawai yang mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tahun 2010;
b. pegawai yang berkhidmat di agensi yang diasingkan pengurusan saraannya sepanjang tahun 2010;
c. pegawai yang dipinjamkan ke badan antarabangsa atau syarikat swasta
sepanjang tahun 2010;
d. pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam atau
demi kepentingan perkhidmatan awam dalam tahun 2010;
e. pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib selain daripada hukuman
amaran;
f. pegawai lantikan kontrak untuk perkhidmatan dan
g. pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk
pegawai yang memangku Jawatan Utama/ Gred Khas.

Kakitangan awam Melaka turut terima ‘duit raya’ RM500 – Berita Harian


MELAKA: Kira-kira 4,500 kakitangan perkhidmatan awam di Melaka akan turut menerima `durian runtuh’ berupa Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dari kerajaan negeri sebelum 1 Syawal ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata bantuan itu adalah selaras dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Pusat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

“Duit raya yang akan diberikan ini bertujuan membantu kakitangan awam terutama yang mempunyai anak ramai bagi menyambut Aidilfitri yang hampir tiba. Kerajaan negeri dijangka membelanjakan sebanyak RM2.25 juta bagi tujuan ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan miskin anjuran Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional di Dewan Kasturi, Ayer Keroh Height, dekat sini, petang ini.

Kanak-kanak perlu dididik menjiwai hari kemerdekaan negara: Rosmah


KUALA LUMPUR: Kanak-kanak terutama di bawah umur enam tahun perlu dididik untuk menjiwai sambutan hari kemerdekaan supaya mereka lebih menghargai perjuangan pemimpin terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata bagi menyemai perasaan itu, sambutan kemerdekaan di peringkat taska perlu dianjurkan supaya kanak-kanak lebih memahami erti kemerdekaan.

“Ia satu perkembangan yang baik supaya apabila mereka besar kelak, mereka dapat menjiwai dan memahami dan turut merayakan hari kemerdekaan ini bukan sahaja apabila sekolah atau taska mengadakan program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan anjuran Pusat Jagaan Kanak-kanak Iris Gloria di sini hari ini, beliau melahirkan rasa gembira kerana pusat jagaan kanak-kanak itu meraikan kemerdekaan negara yang akan disambut 31 Ogos ini.

“Saya merasa amat gembira kerana taska ini memberikan satu kesedaran kepada kanak-kanak supaya mereka seharusnya tahu dan merayakan hari kemerdekaan ini,” katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 100 kanak-kanak di pusat jagaan berkenaan menyerahkan kain rentang sepanjang 17.6 meter kepada Rosmah yang dilukis lambang 1Malaysia dan pelbagai lukisan lain bertemakan merdeka hasil kreativiti mereka sendiri untuk dipamer di tempat awam.

Rosmah berkata, selain menjiwai erti kemerdekaan, beliau juga meminta guru-guru mendidik kanak-kanak ini memahami erti rukun negara.
Sementara itu, Rosmah berkata, menyambut Hari Kebangsaan bukan sekadar melaungkan kata-kata ”Merdeka.”

“Lebih daripada itu ialah menjiwai kemerdekaan itu. Kenapa kita merayakan hari kemerdekaan ini dan apakah ciri-ciri atau faktor-faktor yang telah dilakukan oleh orang terdahulu apabila kita hendak menuntut kemerdekaan daripada pihak British,” katanya.

Beliau juga berharap, rakyat di negara ini akan menjaga keamanan, kebahagiaan dan kestabilan politik di negara ini. – Bernama

Cara mandi junub yang sah – INFO


Telah dipastikan bahawa terdapat terlalu ramai dari kita yang tidak sah mandi wajibnya…saya kongsikan artikel ini untuk semuanya…sila share atau copy di blog masing-masing..terima kasih-azarudin bocheh.

Assalamualaikum, Berkongsi sedikit ilmu… dari JAKIM.

Mandi wajib yg betul….. Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanahair kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.

Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua2 keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, 49, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

“Akibatnya, mandi majibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul,” tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur .

Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam. Setiap orang yang mlakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun2nya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah. Rukun mandi wajib ada 3 perkara. Pertama, niat. Kedua , menghilangkan najis di badan.Ketiga , meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Niat mandi wajib: “Sahaja aku mengangkat hasar besar kerana Allah Taala.” Atau ” Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana2 bahagian anggota badan. Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah: ” Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.” Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah: ” Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.

Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah 1 anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah. Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air keseluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib yang ke2, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan , menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ke3, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir , meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu2 yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu2 dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya, bulu2 di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yg boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yg diwarnakan pula selain inai, inilah yang merumitnya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana?.. Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yg berbeza.

Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab2 seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab2nya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak(wiladah) .

Mandi wajib boleh dilakukan di mana2 dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai laut dan tasik. Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat.

Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok2nya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.

Panduan Tambahan

1. Agar wajah selalu segar, berseri-seri dan cantik, cucilah minima 5 kali sehari dengan air wudhu. Jangan langsung dikeringkan, biarkan menitis dan kering sendiri. Lalu ambillah sajadah, shalat, berdzikir, dan berdo’a.

2. Untuk menghilangkan stress, perbanyaklah ‘olahraga’. Cukup dengan memperbanyakkan solat. Ketika solat, kita mengerakkan seluruh tubuh. Lalu berkonsultasilah pada Allah SWT dengan dzikir dan do’a.

3. Untuk pelembab, agar awet muda, gunakanlah senyuman. Tidak hanya di bibir tapi juga di hati. Jangan lupa bisikkan ‘kata kunci’, “Allahuma Kamma Hassanta Khalqii Fahassin Khuluqii” (Ya Allah sebagaimana engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pula akhlaqku). (HR Ahmad).- ( DOA TENGOK CERMIN ).

4. Untuk punya bibir cantik, bisikkan kalimat-kalimat Allah, tidak berbohong atau menyakiti hati orang lain, tidak menyombongkan diri atau takbur.

5. Agar tubuh langsing, mulus, diet yang teratur dengan berpuasa seminggu 2 kali, Isnin dan Khamis. Jika kuat, lebih bagus lagi puasa Nabi Daud AS i.e. selang satu hari. Makanlah makanan halal, perbanyak sayuran, buah-buahan, dan air putih.

6. Untuk mengembangkan diri, sebarkan salam dan sapaan. Dengan demikian kita akan banyak dikenal dan disayangi.

Rahsia 13 Inilah dia rahsia as-solat, sebagai peringatan bagi yang sudah tahu atau panduan bagi yang baru tahu……

1. Niat Sembahyang Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.

2. Berdiri Betul Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.

3. Takbir-ratul Ihram Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.

4. Fatihah Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.

5. Ruqu’ Sebagai tikar kita di dalam kubur.

6. I’tidal Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika di dalam kubur.

7. Sujud Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM. 8. Duduk antara 2 Sujud Akan menaung panji-panji nabi kita di dalam kubur.

9. Duduk antara 2 Sujud (akhir) Menjadi kenderaan ketika kita di padang Mahsyar.

10.Tahhiyat Akhir Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar & Nankir di dalam kubur.

11.Selawat Nabi Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.

12.Salam Memelihara kita di dalam kubur.

13.Tertib Akan pertemuan kita dengan Allah S.W.T.

Dari Abdullah bin ‘Amr R. A., Rasulullah S. A. W.bersabda : “Senarai di atas adalah salah satu sebab mengapa orang Yahudi / Kafir tidak sukakan angka 13 dan juga Hari Jumaat. Itulah sebab mengapa mereka mencipta cerita yang begitu seram sekali iaitu ” FRIDAY the 13th ” jika ada di kalangan kamu yang perasan!!!” Wassalam.

“Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…” Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa’at kepada manusia lain..

Guru Tadika telefon anak sebelum maut – Harian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang guru tadika yang ditikam hingga mati dalam kejadian samun di jejantas Sungei Way berhampiran Bandar Sunway, dekat sini, sempat menghubungi anaknya bagi memaklumkan kejadian menimpanya.

TRAGEDI...orang ramai di tempat mangsa ditikam peragut atas jejantas di Sungei Way, semalam.
TRAGEDI…orang ramai di tempat mangsa ditikam peragut atas jejantas di Sungei Way, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Leong Lai Yoong, 57, gagal memberitahu apa yang berlaku sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Peragut yang berumur 20-an cuba merampas beg tangan Leong, namun mangsa melawan menyebabkan dia ditikam di rusuk kiri.

Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lock, 60, berkata isterinya sempat menghubungi anak mereka berusia 19 tahun yang menuntut di Kedah menggunakan telefon bimbit sejurus dia ditikam.

Bagaimanapun, katanya, isterinya tidak sempat memberitahu apa yang berlaku berikutan parah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Saya amat terkejut kerana isteri tidak membawa barang berharga jauh sekali memakai barang kemas. Setiap hari dia akan menaiki bas dari rumah kami di Taman Muda, Shah Alam, untuk pergi ke tadika di Subang Jaya.

“Dia biasanya akan bangun jam 4 pagi untuk memasak sarapan sebelum keluar rumah jam 6 pagi setiap hari,” katanya.

Menurutnya, isterinya pernah bertarung nyawa mengharungi kanser payu dara sebelum sembuh hampir setahun lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata mangsa parah di rusuk kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki dipercayai cuba menyamunnya.

“Ia berlaku apabila mangsa melintas jalan menggunakan jejantas itu ketika ingin ke tempat kerjanya.

“Suspek yang berusia awal 20-an itu dipercayai menikam rusuk kiri mangsa sebelum melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, pihaknya percaya motif utama adalah cubaan samun, tetapi suspek tidak berjaya kerana mangsa cuba melawan.

Katanya, selepas kejadian mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh orang ramai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan pemeriksaan forensik menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek yang dibuang di tepi longkang berhampiran kawasan kejadian.

Omar berkata, polis akan mengesan cap jari pada pisau berkenaan bagi mengetahui identiti suspek terbabit.

Beliau berkata, polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian bagi menjejaki suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perak turut umum bonus raya RM500 – Utusan Malaysia


IPOH 25 Ogos – Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 7,000 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika mengumumkan berita baik itu berkata, bonus RM500 tersebut diberikan kepada semua kakitangan awam sehingga gred 54 termasuk pesara.

Langkah itu katanya, diambil selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan yang memberikan bonus sama kepada kakitangannya.

“Saya harap dengan pemberian bonus raya ini, ia akan dapat meringan beban kakitangan kerajaan khususnya di kalangan kakitangan sokongan yang memerlukan sedikit bantuan.

“Mereka akan mendapat bonus ini sebelum Syawal dan boleh digunakan untuk perbelanjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bubur lambuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abd. Rahman Hashim serta barisan Exco kerajaan negeri.

Kerja pada 16 Sept, dapat cuti umum berbayar – S. Subramaniam


25/08/2010 7:00pm

KUALA LUMPUR 25 Ogos — Pekerja yang bekerja pada 16 Sept iaitu Hari Malaysia perlu diberi cuti umum berbayar.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu tertakluk di bawah Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955.

Kerajaan telah mengisytiharkan bermula tahun ini, tarikh 16 Sept adalah cuti umum sempena Hari Malaysia dan penetapan itu telah diwartakan pada 9 Nov 2009 di bawah Akta Hari Kelepasan 1951. — Bernama