Rukun Negara dicadang dibacakan di setiap majlis rasmi kerajaan – Utusan Malaysia


Rukun Negara dicadang dibacakan di setiap majlis rasmi kerajaan

2010/08/01

SEREMBAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah mencadangkan supaya semua majlis rasmi kerajaan turut dibacakan Rukun Negara selepas nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Katanya, ia sebagai usaha untuk menanam semangat patriotik tinggi di kalangan rakyat negara ini yang kini didapati berada di tahap yang kurang memuaskan.

// // //

“Saya dapati ramai rakyat negara ini telah mula lupa Rukun Negara. Oleh itu sudah sampai masanya Rukun Negara diingati dan dihayati semula.

//

“Jika rakyat negara ini dapat menghayati apa yang terkandung dalam Rukun Negara saya yakin dan percaya semangat patriotik mereka akan tinggi dan boleh menjadikan mereka seorang insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya selepas menyaksikan dan menyampaikan hadiah pertandingan akhir koir lagu-lagu patriotik 2010 antara Kelab Rukun Negara sekolah menengah peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan, jika dihayati setiap rakyat boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

Murugiah berkata, sudah sampai masanya rakyat negara ini perlu menyedari mengenai kepentingan negara.

“Saya akan membawa perkara ini kepada menteri saya dulu, sebelum berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan terpulang kepadanya untuk mengangkat perkara ini.
“Saya harap cadangan ini dapat dibawa ke Perdana Menteri dan kabinet untuk dipersetujui atau tidak. Saya rasa sudah sampai pada masanya memberi keutamaan kepada Rukun Negara…jangan sekadar kita cakap mengenai Rukun Negara tapi kita tidak faham isi kandungan yang terdapat dalam Rukun Negara,” katanya.

Pada pertandingan akhir itu, kumpulan koir ”Suara Malaysia” SMK Kepong Baru dari Kuala Lumpur yang membawa lagu wajib ”Lima Prinsip Rukun Negara” dan lagu pilihan ”Jalur Gemilang” muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta piala pusingan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Naib johan dengan hadiah wang tunai RM3,000 dimenangi kumpulan ”One Voice” SMK St Joseph, Papar, Sabah manakala kumpulan SMK Labuan mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM2,000.

Lima kumpulan lagi yang mara ke pertandingan akhir iaitu kumpulan ”Voice of Petra”SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, Kelantan; kumpulan ”Irama Bangsa” SMK Alur Akar, Kuantan, Pahang; kumpulan ”New Hill Voices” SMK Bukit Baru, Melaka; kumpulan ”Voice of Unity” SMK Kepong, Gombak, Selangor dan kumpulan ”Satu Suara Dalam Harmoni” SMK Methodist, Tanjung Malim, Perak, masing-masing mendapat hadiah sagu hati RM1,000. – Bernama

Penjawat awam ‘curi tulang’ dirakam – Utusan Malaysia


Penjawat awam ‘curi tulang’ dirakam

PUTRAJAYA 31 Julai – Awas! penjawat awam yang cuba ‘curi tulang’ dengan menghabiskan masa di kafetaria atau pusat membeli-belah pada waktu pejabat di sini.

Ini kerana gelagat anda akan dirakamkan menerusi kamera kompak oleh anggota dua skuad pemantau dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Skuad yang ditubuhkan itu akan berkeliaran di lokasi-lokasi yang dikenal pasti antaranya Taman Warisan Pertanian dan Alamanda untuk merakam perbuatan seumpama itu.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan di JPA, Datuk Dr. Mohd Azhar Yahaya memberitahu, pemantauan itu dilakukan ekoran aduan orang ramai terhadap sikap segelintir pegawai awam yang tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di pusat membeli-belah semasa tempoh tersebut.

Waktu rehat bagi sektor awam adalah antara 1 hingga 2 petang sahaja tetapi kelonggaran diberikan kepada penjawat awam yang mempunyai urusan rasmi pada waktu itu.

”Pegawai awam yang ditangkap semasa operasi dilaksanakan akan diambil maklumat peribadi mereka dan dipanjangkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk diambil tindakan sewajarnya.

”Ketidakpatuhan waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah-Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974.

”Juga, menyalahi Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta Tatakelakuan Pegawai Awam di bawah Peraturan 4,” katanya dalam surat Edaran JPA 2020 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, susulan dari tindakan itu, ketua jabatan diminta menguatkuasakan peraturan mengenai pematuhan waktu masuk bekerja pada sebelah pagi dan tengah hari.

”Mereka juga perlu membuat pemantauan secara berterusan di kantin, kafeteria dan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pegawai di bawah seliaan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Korporat JPA, Nik Noraini Nik Ya berkata, meskipun waktu anjal bekerja diperuntukkan kepada penjawat awam namun ia bukan faktor atau alasan untuk duduk minum di kafetaria semasa waktu pejabat.

”Kita ada tiga waktu anjal bekerja iaitu antara 7.30 pagi hingga 4.30 petang, 8 pagi – 5 petang dan 8.30 pagi – 5.30 petang namun kakitangan tidak boleh sewenang-wenang keluar untuk sarapan pada pukul 9 pagi walaupun anda masuk 7.30 pagi.

”Bagaimanapun di sini, pengecualian tertentu bergantung kepada situasi misalnya jika penjawat awam itu dari kalangan guru. Dengan masa bekerjanya antara 7 pagi hingga 1 petang, takkan skuad berkenaan mahu menahannya atas kesalahan itu jika ternampak dia di Alamanda sekitar pukul 3 petang,” katanya.