Percepat pengeluaran garis panduan peraturan sekolah – Bernama


Percepat pengeluaran garis panduan peraturan sekolah

11/08/2010 6:12pm

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

“Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat.

“Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik.

“Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

“Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita.

“Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya. — Bernama

Ibu bapa berjaya gagalkan cubaan culik – Utusan Malaysia


Ibu bapa berjaya gagalkan cubaan culik

MELAKA 10 Ogos – Suasana awal pagi di sebuah rumah di Taman Merdeka di sini semalam tidak seperti biasa.

Tatkala sebuah keluarga sedang sibuk untuk bersiap-sedia untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah, mereka dikejutkan dengan kehadiran empat ‘tetamu tidak diundang’.

Sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier muncul di depan rumah keluarga itu dan cuba menculik salah seorang anak perempuan keluarga tersebut yang berusia 11 tahun.

Ketika itu, ibu mangsa yang berusia lingkungan 40-an sedang memasuki kereta, juga jenis Toyota Harrier untuk menghantar anaknya ke sekolah rendah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.55 pagi apabila kereta Toyota Harrier berwarna hitam tiba-tiba berhenti di hadapan rumah mereka.

“Empat lelaki yang memakai topeng ski dan bersenjatakan parang keluar dari kereta itu dan terus menyerbu ke arah dua beranak tersebut.

“Salah seorang daripada suspek bertindak memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu manakala tiga lagi rakannya membuka pintu bahagian penumpang depan untuk melarikan anak mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dalam keadaan cemas, katanya, ibu mangsa sempat menjerit meminta tolong sambil membunyikan hon kereta.

Jeritan wanita, tambah Mohd. Adnan, menyebabkan suami dan dua anak lelakinya berusia belasan tahun yang ketika itu berada di dalam rumah, keluar memberi pertolongan.

“Mereka bertindak pantas dan berjaya menarik mangsa yang ketika itu sedang dibawa masuk ke dalam kereta suspek yang berhenti di luar pagar rumah,” ujarnya.

Menurut Mohd. Adnan, berlaku pergelutan antara keluarga mangsa dan suspek sebelum keempat-empat lelaki tersebut bertindak melarikan diri.

“Dalam pergelutan itu, suami wanita terbabit bengkak di kaki kanan akibat terkena tayar ketika suspek cuba melarikan diri manakala wanita itu mengalami luka di siku kedua-dua tangan akibat ditolak.

“Murid perempuan itu dan dua abangnya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya sambil memberitahu bapa mangsa merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat swasta manakala ibunya seorang kakitangan kerajaan.

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada penjaga yang sah.