Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dilempar najis – Berita Harian


Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dilempar najis

2010/08/23

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia di sini telah dilempar najis manusia oleh penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada satu demonstrasi petang ini.

Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu telah melemparkan najis itu ke dalam perkarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang sedang mengawal ketat di hadapan bangunan itu.

Mereka turut melepaskan najis itu ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu.

Kumpulan itu sebelumnya telah membawa lima bungkusan najis itu, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan dalam kotak polisterin dan dinyatakan sebagai “hadiah” untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini telah beberapa kali memberi “najis” yang lebih kotor kepada Indonesia.

Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka melempar bungkusan kertas berisi najis itu ke dalam pagar kedutaan itu dan pada masa yang sama, najis turut dilepaskan ke atas bendera Malaysia yang mereka sedang pijak itu.

Demonstrasi itu diadakan bagi menandakan kemarahan mereka terhadap Malaysia yang mereka dakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Ia juga untuk menyatakan kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang dikatakan sangat lemah menghadapi Malaysia.
Berikutan kejadian lempar najis itu polis Indonesia menangkap tiga orang pelaku berkenaan.

Demonstrasi itu berlangsung selama sejam.

Seorang wakil kumpulan itu kemudian memberitahu wartawan yang meliputi peristiwa itu bahawa mereka telah memberi kata dua kepada polis Indonesia iaitu lepaskan rakan-rakan mereka itu daripada tahanan atau mereka akan melakukan operasi usir rakyat Malaysia petang ini.

Operasi yang dinamakan “Sweeping Rakyat Malaysia” itu dirancang akan dilakukan di hadapan bangunan kumpulan itu di Jalan Diponegoro, Menteng, di sini.

Polis Indonesia telah menugaskan ramai anggota untuk mengawal ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia, setelah mendapat maklumat bahawa demonstrasi berkenaan akan disertai antara 300 dan 500 penunjuk perasaan.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.

Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu. – BERNAMA

Nyaris diculik – Harian Metro


TELUK INTAN: Dua murid sebuah sekolah rendah, di sini, nyaris menjadi mangsa culik dalam satu kejadian di pekarangan sekolah mereka di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an menghampiri murid darjah enam dan lima sebuah sekolah rendah di Jalan Padang Tembak di sini dan memberitahu mereka bahawa datuknya cedera parah, patah tangan dan kaki selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Mangsa yang terkejut kemudian bersetuju mengikuti suspek dan rakannya yang bersimpati memutuskan untuk menemaninya.

Namun ketika berjalan ke luar pagar sekolah, kedua-dua murid itu tiba-tiba sangsi dengan cerita suspek dan tindak tanduknya yang mencurigakan.

Selepas berbisik sesama sendiri, kedua-duanya bertindak melarikan diri secara tiba-tiba dan memberitahu perkara itu kepada seorang guru mengenai kehadiran suspek.

Guru itu kemudian bergegas ke pintu sekolah tetapi gagal menemui suspek yang dipercayai sudah melarikan diri selepas menyedari tembelangnya pecah.

Tindakan pengurusan sekolah memasang kamera litar tertutup berdekatan pintu pagar sekolah berjaya merakamkan aksi suspek yang berjalan bersama dua murid terbabit.

Bagi mengelak suspek mencari mangsa baru selepas gagal dalam cubaan culik dua murid itu, ibu bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggu ibu bapa mereka untuk pulang.

Katanya, polis kini memburu suspek yang cuba melakukan penculikan itu dan pada masa sama, turut memuji tindakan pihak sekolah memasang kamera litar tertutup.

Gadis sunti bermukah – Harian Metro


Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/08/23

KULIM: Usianya baru menjengah 12 tahun, namun gelora nafsu seorang gadis sunti yang juga murid tahun enam, tidak dapat membendungnya daripada melakukan maksiat.

Lebih mengejutkan, ketika umat Islam menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, murid sebuah sekolah rendah di Kuala Ketil, dekat sini, bertindak di luar dugaan apabila berkhalwat bersama dua lelaki sekali gus pada siang hari.

Malah, ketika operasi mencegah maksiat dilakukan, remaja terbabit didapati sedang melakukan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki berkenaan dalam sebuah rumah di Taman Desa Aman, Karangan, dekat sini.

Dalam operasi dijalankan Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, murid perempuan berkenaan didapati sedang bersetubuh dengan lelaki terbabit, manakala seorang lelaki lagi turut berada dalam rumah itu.

Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai perbuatan terkutuk remaja terbabit pada jam 10.35 pagi sebelum pegawai PADK, diketuai Sheikh Radzi Abdul Mutalib bersama tujuh anggota, membuat pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, melalui intipan sebelum melakukan serbuan, pihaknya mendapati remaja perempuan itu bersama seorang lelaki berusia 23 tahun dalam sebuah bilik, manakala seorang lagi lelaki turut berada dalam rumah sama.

“Gadis sunti itu baru mengenali lelaki berusia 23 tahun terbabit sebelum mereka melakukan hubungan seks,” katanya.

Azmi berkata, seorang lagi lelaki berusia 20 tahun menjemput remaja berkenaan di Kuala Ketil sebelum membawanya ke rumah sewa lelaki itu di sini.

“Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 20 tahun itu turut mengaku tidur bersama remaja perempuan terbabit pada malam sebelum itu.

“Mereka mengakui tidak mempunyai hubungan mahram dan ketiga-tiganya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, gadis berkenaan dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut manakala kedua-dua lelaki terbabit ditahan di lokap Balai Polis Kulim.

Difahamkan, polis mengklasifikasikan kes sebagai rogol kerana membabitkan remaja perempuan bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam perkembangan sama, Azmi berkata sedikit kekecohan berlaku apabila ibu gadis terbabit dipanggil ke pejabat PADK berikutan ketidakpuasan hati wanita berkenaan terhadap tindakan anaknya dan pasangan.

“Ibu remaja itu memukul kepala, muka serta badan lelaki yang ditahan menggunakan kasut kerana tidak puas hati selepas anaknya didapati bersekedudukan, namun kekecohan berjaya dileraikan pegawai bertugas,” katanya.

Murid cedera di mata terkena serpihan mercun – Berita Harian


2010/08/23

KOTA BHARU: Seorang pelajar tahun dua cedera di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola yang dijumpainya meletup di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan terjumpa mercun berkenaan.

Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkan ke dalam nyalaan api pada kertas yang terbakar menyebabkan mercun itu meletup dan serpihannya terkena mangsa.

Ibu mangsa, Yusnita Abas, 39, berkata anaknya itu berlari pulang ke rumah yang terletak 50 meter dari padang berkenaan sambil menangis dan menutup mata kirinya yang berair.

“Saya juga lihat ada kesan putih dan kemerahan pada pipi dan jari tangan kirinya melecur. Saya kemudian meminta bantuan adik ipar saya untuk menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di hospital HRPZ II, di sini, semalam.

Katanya, doktor mengesahkan anaknya itu tidak mengalami kecederaan serius dan hanya memerlukan rawatan susulan bagi memulihkan kecederaan. – BERNAMA

Murid hampir putus jari – Utusan Malaysia


ALOR SETAR 22 Ogos – Menjelang setiap kali musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri, kisah kanak-kanak cedera bermain mercun pasti kedengaran.

Kali ini, seorang murid tahun dua di Pokok Sena dekat sini, semalam, menjadi mangsa pertama akibat bermain mercun pada perayaan ini.

Akibat kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang enggan dikenali hampir putus jari tengah kanannya setelah mercun yang dipegangnya tiba-tiba meletup.

Selain itu, sebahagian tapak tangan mangsa juga melecur dan terpaksa menerima beberapa jahitan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun tersebut bersama seorang lagi rakannya berhampiran rumahnya.

Mereka dipercayai menyalakan sumbu sebutir mercun bola sebelum membaling ke tanah tetapi tidak meletup.

Mangsa mengambil semula mercun bola itu untuk melihat apa yang berlaku, tetapi malangnya ia tiba-tiba meletup.

Kanak-kanak itu yang kesakitan kemudian berlari pulang ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarganya.

Jiran mangsa membantu menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan.