Ibu, anak ditemui mati dalam kereta – Bernama


MIRI: Seorang wanita berumur 37 tahun dan seorang budak lelaki dipercayai anaknya, ditemui mati dalam kereta yang enjinnya masih hidup dekat Jalan Piasau di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaludin Ibrahim, berkata wanita itu dikenal pasti sebagai Sallyroni Lahung Wan yang ditemui sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu manakala budak lelaki itu di tempat duduk penumpang sebelahnya.

Nama kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti.

Katanya, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam pada kira-kira 10 pagi dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Semasa polis tiba di tempat kejadian, didapati semua pintu kereta itu berkunci dari dalam dan polis terpaksa memecahkan satu daripada pintu itu untuk menjalankan siasatan.

“Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat untuk menentukan punca kematian,” katanya kepada pemberita di sini. – BERNAMA

Bapa sembelih anak 3 tahun di Kota Bharu – Berita Harian


KOTA BHARU: Seorang bapa yang dipercayai sakit mental menyembelih anak sendiri berusia tiga tahun sebelum cuba membunuh diri di Kampung Sungai Keladi, dekat sini, pagi tadi

Dalam kejadian 11.50 pagi itu, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala bapanya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih diri sendiri.Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai pernah mendapat rawatan mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Beliau yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini dipercayai sudah lama tidak mendapatkan rawatan penyakit mentalnya itu.

Penyamun putih mata – Harian Metro


SHAH ALAM: Perbelanjaan besar seorang wanita memasang alat keselamatan canggih pada kereta Proton Satria miliknya berbaloi apabila ia berjaya menyelamatkan keretanya itu daripada dicuri seorang lelaki ketika dia berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Seksyen 13 di sini, tengah malam kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa terpaksa menanggung kesakitan akibat ditumbuk suspek sebaik dia diheret keluar dari keretanya itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa baru pulang dari membeli makanan untuk bersahur dari sebuah restoran makanan segera berdekatan kawasan persimpangan lampu isyarat itu.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, sebaik berhenti di lampu isyarat itu, suspek yang menunggang motosikal berseorangan menghampiri kereta mangsa.
Katanya, suspek kemudian mengetuk cermin tingkap pemandu dan berpura-pura ingin bertanyakan arah jalan.
“Mangsa yang tidak menyangka perkara buruk bakal menimpanya bertindak menurunkan tingkap kereta sebelum satu penumbuk hinggap di mukanya menyebabkan dia hampir pengsan.
“Suspek kemudian membuka pintu kereta mangsa dan mengheret wanita itu keluar dari keretanya dan membelasahnya apabila dia enggan keluar dari keretanya,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian nekad melarikan kereta mangsa namun gagal selepas beberapa kali mencuba apabila kereta berkenaan menggunakan kad keselamatan canggih bagi membolehkan ia bergerak.
Katanya, suspek tidak berputus asa terus mencuba memandu kenderaan itu.
“Selepas beberapa minit mencuba, suspek masih gagal melarikan kereta mangsa sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kereta peronda polis di kawasan berkenaan.
“Anggota peronda yang menyedari mangsa terlentang di luar keretanya kemudian menghampiri mangsa dan membawanya ke Balai Polis Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, tiga jam selepas kejadian itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

CAP minta kerajaan haramkan minuman ringan beralkohol – Bernama


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan mengharamkan sejenis minuman ringan beralkohol yang menggunakan label buah-buahan.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata, minuman ringan itu didapati mengandungi alkohol sehingga 5.5 peratus dan ia dijual secara meluas di pasar raya dan kedai 24 jam dan bebas dibeli oleh golongan remaja dan kanak-kanak.

“Minuman itu dijual dalam botol dan tin yang berwarna-warni dengan tujuan untuk menarik perhatian golongan muda terutama kanak-kanak sedangkan kandungan alkohol 5.5 peratus itu adalah tinggi dan tidak wajar dijual kepada kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau mendakwa maklumat mengenai kandungan alkohol dalam minuman itu dicetak dengan kecil dan sukar dibaca, membuatkan pengguna menyangka ia adalah minuman ringan berperisa buah-buahan.

“Kerajaan harus memandang serius penjualan minuman itu kerana undang-undang negara dengan jelas menyatakan penjualan minuman alkohol adalah dilarang kepada golongan berumur bawah 18 tahun,” katanya.

Idris berkata, CAP menerima banyak aduan ibu bapa yang menyatakan anak mereka mula menggemari minuman ringan beralkohol itu. – BERNAMA