Kerja pada 16 Sept, dapat cuti umum berbayar – S. Subramaniam


25/08/2010 7:00pm

KUALA LUMPUR 25 Ogos — Pekerja yang bekerja pada 16 Sept iaitu Hari Malaysia perlu diberi cuti umum berbayar.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu tertakluk di bawah Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955.

Kerajaan telah mengisytiharkan bermula tahun ini, tarikh 16 Sept adalah cuti umum sempena Hari Malaysia dan penetapan itu telah diwartakan pada 9 Nov 2009 di bawah Akta Hari Kelepasan 1951. — Bernama

‘Duit raya’ RM500 untuk kakitangan awam, pesara – Bernama


KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Najib berkata, bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. – BERNAMA

Jenguk keluarga di Aidilfitri – Utusan Malaysia


Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusan@terengganu.com.my

KUALA TERENGGANU 24 Ogos – Seorang pengurus syarikat cari gali minyak dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini agar pulang pada Hari Raya Aidilfitri ini untuk menjenguk ibu bapa serta dua anak yang ditinggalkan tanpa nafkah sejak tujuh tahun lalu.

Hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail memberikan nasihat tersebut berdasarkan tanggungjawab Nasrun Mustafa, 37, terhadap ahli keluarga yang ditinggalkannya di Beladau Kolam Manir dekat sini.

Ujar beliau lagi, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah supaya Nasrun datang menjenguk bapa, ibu serta dua anaknya sebaliknya hanya sekadar memberi nasihat mengikut dasar agama Islam.

Nasihat itu disampaikan kepada peguam syarie, Abdullah Mohamad yang mewakili Nasrun selaku defendan yang tidak hadir di mahkamah.

Kamarulazmi menyatakan demikian semasa kes tuntutan nafkah penjagaan dua anak Nasrun yang dikemukakan oleh bapanya, Mustafa Ismail di hadapan beliau hari ini.

Hakim tersebut turut menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan proses pinjaman balik perumahan oleh defendan dilakukan untuk membayar nafkah kepada dua anaknya yang kini dipelihara oleh Mustafa.

Mustafa, 64, selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie, Fazru Anuar Yusof.

Sebelum itu, Kamarulazmi mengingatkan bahawa seseorang anak wajib mengambil berat terhadap kedua-dua orang tuanya termasuk dari segi perbuatan dan tutur kata.

Menurutnya, seseorang anak tidak tidak harus sesekali mengeluarkan kata-kata sehingga menyinggung perasaan mereka.

”Ini termasuklah dengan hanya mengeluarkan keluhan ‘uhhhh’ dan sekiranya perasaan ibu bapa terguris, ia dianggap sebagai menderhaka,” ujar beliau.

Kamarulazmi berkata, Allah akan menurunkan pelbagai bala kepada mereka yang menderhaka dan bala yang paling ditakuti adalah kehilangan iman kerana pintu hatinya sudah tertutup sama sekali.

Jelasnya, apabila pintu hati sudah tertutup, golongan ini sekalipun telah dinaikkan pangkat atau darjat, tidak akan sedar segala dosa yang dilakukan.

Pada 13 Julai lalu, Mustafa selaku plaintif mengemukakan tuntutan nafkah terhadap anak kandungnya itu berhubung penjagaan dua orang cucu (anak Nasrun) yang dibelanya sejak tujuh tahun lalu.

Plaintif mengemukakan tiga perkara dalam tuntutan itu iaitu pihak defendan dikehendaki menjelaskan tunggakan berjumlah RM20,000 selain perlu membayar nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan dua cucunya yang kini berusia 13 dan 15 tahun.

Plaintif turut menuntut defendan agar memohon maaf kepadanya dan hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu, Fazru Anuar ketika ditemui di luar mahkamah berharap kes itu dapat diselesaikan segera termasuk proses pinjaman semula perumahan untuk membolehkan bayaran nafkah terhadap plaintif dibuat.

Menurutnya, pihaknya juga berharap Nasrun dapat pulang melawat dua anak serta ibu bapanya di kampung pada hari raya ini, buat pertama kali sejak tujuh tahun lalu.

Nasrun yang bekerja di ibu negara dengan pendapatan RM17,000 sebulan tidak pernah menjenguk dua anaknya itu yang kini dijaga oleh plaintif bersama isterinya (ibu Nasrun).

Menurutnya, Nasrun telah bercerai dengan isterinya pada 30 Disember 1998 dan kini sudah berkahwin lain.