MELAKA: Kira-kira 4,500 kakitangan perkhidmatan awam di Melaka akan turut menerima `durian runtuh’ berupa Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dari kerajaan negeri sebelum 1 Syawal ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata bantuan itu adalah selaras dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Pusat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.
“Duit raya yang akan diberikan ini bertujuan membantu kakitangan awam terutama yang mempunyai anak ramai bagi menyambut Aidilfitri yang hampir tiba. Kerajaan negeri dijangka membelanjakan sebanyak RM2.25 juta bagi tujuan ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan miskin anjuran Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional di Dewan Kasturi, Ayer Keroh Height, dekat sini, petang ini.