Kanak-kanak perlu dididik menjiwai hari kemerdekaan negara: Rosmah


KUALA LUMPUR: Kanak-kanak terutama di bawah umur enam tahun perlu dididik untuk menjiwai sambutan hari kemerdekaan supaya mereka lebih menghargai perjuangan pemimpin terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata bagi menyemai perasaan itu, sambutan kemerdekaan di peringkat taska perlu dianjurkan supaya kanak-kanak lebih memahami erti kemerdekaan.

“Ia satu perkembangan yang baik supaya apabila mereka besar kelak, mereka dapat menjiwai dan memahami dan turut merayakan hari kemerdekaan ini bukan sahaja apabila sekolah atau taska mengadakan program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan anjuran Pusat Jagaan Kanak-kanak Iris Gloria di sini hari ini, beliau melahirkan rasa gembira kerana pusat jagaan kanak-kanak itu meraikan kemerdekaan negara yang akan disambut 31 Ogos ini.

“Saya merasa amat gembira kerana taska ini memberikan satu kesedaran kepada kanak-kanak supaya mereka seharusnya tahu dan merayakan hari kemerdekaan ini,” katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 100 kanak-kanak di pusat jagaan berkenaan menyerahkan kain rentang sepanjang 17.6 meter kepada Rosmah yang dilukis lambang 1Malaysia dan pelbagai lukisan lain bertemakan merdeka hasil kreativiti mereka sendiri untuk dipamer di tempat awam.

Rosmah berkata, selain menjiwai erti kemerdekaan, beliau juga meminta guru-guru mendidik kanak-kanak ini memahami erti rukun negara.
Sementara itu, Rosmah berkata, menyambut Hari Kebangsaan bukan sekadar melaungkan kata-kata ”Merdeka.”

“Lebih daripada itu ialah menjiwai kemerdekaan itu. Kenapa kita merayakan hari kemerdekaan ini dan apakah ciri-ciri atau faktor-faktor yang telah dilakukan oleh orang terdahulu apabila kita hendak menuntut kemerdekaan daripada pihak British,” katanya.

Beliau juga berharap, rakyat di negara ini akan menjaga keamanan, kebahagiaan dan kestabilan politik di negara ini. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s