CUEPACS yakin kerajaan beri bonus – Utusan Malaysia


CUEPACS yakin kerajaan beri bonus

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin kerajaan akan mempertimbangkan permintaan rakyat untuk mendapatkan bonus pada input belanjawan 2011 nanti.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan akan terus membantu dan mempertimbangkan permintaan tersebut untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memberitahu, pihaknya sudah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa bulan lalu memohon bonus dua bulan gaji untuk kakitangan awam dan pesara tahun ini.

“Dengan keadaan ekonomi yang menunjukkan peningkatan sekarang ini, kerajaan seharusnya mempertimbangkan permintaan tersebut dan jika tidak boleh diberikan bonus dua bulan gaji, CUEPACS berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya sebulan gaji.

“Kakitangan awam merupakan tunjang kepada pembangunan negara, dengan itu saya harap tiada pihak yang mempertikaikan dan menafikan tuntutan pemberian bonus kepada penjawat awam,” katanya ketika dihubungi di sini semalami.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keyakinan CUEPACS mengenai saranan pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang meminta bonus kepada kakitangan kerajaan, pengurangan faedah kad kredit dan pinjaman perumahan kerajaan serta pelepasan cukai.

Menurut Omar, permintaan tersebut mampu menyuntik semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik dan bermutu selain meringankan beban tanggungan 1.2 juta kakitangan awam.

Selain itu katanya, sudah tiba masanya kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam kerana sudah dua tahun mereka tidak menerima bonus kecuali pemberian saguhati.

“Pemberian saguhati sebelum hari raya baru-baru ini pula bukan diterima semua penjawat awam seperti pegawai-pegawai atasan.

“CUEPACS yakin kerajaan tidak akan membiarkan kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berasa terbeban pada tahun ini,” katanya.

CUEPACS harap kerajaan timbang bonus penjawat awam tahun ini – Berita Harian


SEREMBAN: CUEPACS berharap kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan bajet bulan depan.

Presidennya, Omar Osman, berkata CUEPACS sudah menghantar permohonan mengenai perkara itu kepada kerajaan. “Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus berkenaan. “Kita mohon dua bulan bonus, namun jika tidak boleh dua bulan, sekurang-kurangnya sebulan.

“Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan. Kita berharap pemberian bonus ini dapat dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui selepas majlis Aidilfitri bersama pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan berkata pemberiaan bonus itu sudah pasti dapat meringankan beban tanggungan dan menyuntik semangat baru kepada 1.2 juta penjawat awam di seluruh negara.

Katanya ia juga adalah ransangan bagi penjawat awam untuk menjayakan setiap dasar kerajaan.
“Penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan…jika mereka ceria maka cerialah kerajaan. Saya harap tidak ada pihak yang mempertikaikan pemberian bonus kepada penjawat awam ini kerana jika tidak Cuepacs tidak memperjuangkan, siapa lagi.

“Selain bonus, CUEPACS dipertanggungjawabkan memperjuangkan kebajikan penjawat awam termasuk masalah gaji, elaun, insentif, perubatan, lanjutan umur persaraan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai isu berlainan, Omar turut meminta kerajaan supaya segera serapkan 14,500 warga Kemas yang berkhidmat secara kontrak ke jawatan tetap memandangkan perkara itu telah lama tertangguh.

“Dalam kedudukan ini, mereka yang terbabit didapati merasa gusar serta dalam
keadaan tidak tenang dan tertekan untuk menjalankan tugas kerana kedudukan mereka yang masih terumbang-ambing dan tidak ada jaminan.

“Perkara ini telah lama dibawa ke pengetahuan kerajaan, namun sehingga kini masih belum dapat jawapan. Oleh itu, kita harap kerajaan dapat mengatasi perkara ini dengan segera, kalau boleh dalam tahun ini juga,” katanya. – BERNAMA

Lebih 490,000 duduki UPSR – Berita Harian


KUALA LUMPUR: 494,493 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), dalam satu kenyataan di sini, berkata daripada jumlah itu, 373,190 adalah calon sekolah kebangsaan, 96,166 dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK(C)) dan 16,965 dari SJK Tamil. Turut menduduki UPSR hari ini ialah 8,163 calon Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Melayu dan sembilan pelajar dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Cina. Di KUANTAN, seramai 26,936 pelajar Tahun Enam menduduki UPSR di seluruh negeri termasuk 81 calon daripada golongan kelainan upaya.

Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif, ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sek Keb Permatang Badak di sini, berkata beliau berharap jumlah pelajar yang lulus dalam semua subjek pada kali ini akan meningkat berbanding 68.39 peratus tahun lepas.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 23,533 murid Tahun Enam menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan membabitkan 354 buah sekolah di seluruh negeri, kata Pengarah Pelajaran negeri Ariffin Embong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, ketika dihubungi, berkata beliau yakin sasaran Terengganu untuk mencapai 20 peratus A dalam semua mata pelajaran akan tercapai.
“Ia berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan yang mencatatkan 29 peratus pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran,” katanya. – BERNAMA

Lima pelajar hamil mendaftar di Sekolah Harapan hari ini – Utusan Malaysia


JASIN 19 Sept. – Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.

Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.

“Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan,” katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.

Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.

Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.

“Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

“Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya,” kata beliau.

Sekolah diarah wujud peti aduan buli – Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 19 Sept. – Kementerian Pelajaran hari ini mengarahkan semua sekolah mewujudkan peti aduan buli dalam usaha mencegah dan menangani gejala tersebut di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, arahan tersebut penting bagi memudahkan mangsa mengemukakan aduan dan siasatan manakala tindakan juga dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan matlamat kementerian yang mahu membanteras kegiatan itu di peringkat akar umbi.

“Peti aduan itu perlu diwujudkan berikutan kesukaran pihak sekolah mendapatkan maklumat atau laporan daripada murid khususnya berkaitan perbuatan buli.

“Ada ketikanya, murid yang terlibat berasa takut untuk mengadu secara terus kepada guru mereka,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Alimuddin mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar bersikap telus, adil dan profesional dalam menguruskan setiap aduan buli yang diterima.

“Dalam hal kerahsiaan pengadu, sudah tentu kami telah mengambil kira soal tanggungjawab pihak pengurusan sekolah yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada semua murid, warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tentang fungsi peti itu serta memberi keyakinan terhadap keberkesanan dari segi pelaksanaannya.

Katanya, semua urusan siasatan serta tindakan terhadap aduan buli murid yang diterima diuruskan oleh Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama di peringkat sekolah masing-masing.

“Ini kerana kita mahu jawatankuasa itu dapat dirasai kewujudannya oleh warga sekolah dan dengan cara ini, murid-murid akan berasa selamat dan selesa untuk belajar.

“Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut perlu mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang dibuat oleh murid atau pihak berkepentingan lain,” katanya.

PTPTN: Potong gaji mulai Jun 2011 – Utusan Malaysia


TEMERLOH 19 Sept. – Mulai Jun tahun depan, semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak. Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, hanya dengan cara itu pihaknya dapat mengutip semula hutang daripada lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya.

Katanya, PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan. ‘‘Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan,” katanya. Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini, hari ini. Turut hadir, Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf. Menurut Ismail, PTPTN akan menunggu keputusan kerajaan sebelum melaksanakan skim potongan gaji peminjam bagi mengutip semula pinjaman tabung tersebut.

Kata beliau, PTPTN juga mengambil kira pelbagai perkara supaya tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian pada masa depan. Beliau berkata, pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman. Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN telah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan iaitu RM35 bilion. ‘‘Sepatutnya Julai lalu kita berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada RM23 bilion itu namun setakat ini, kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam yang liat membayar semula pinjaman. ‘‘Daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman,” katanya. Menurut Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam.

Tanggapan negatif guru terhadap kerajaan akan ditangani – Bernama


15/09/2010 8:16pm

PASIR MAS 15 Sept — Usaha akan dilakukan bagi membetulkan tanggapan negatif guru terhadap kerajaan yang menyebabkan ia tidak mendapat sokongan total pada pilihan raya umum lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, jika tanggapan negatif itu tidak dapat diubah ia menyukarkan usaha kerajaan untuk mendekati mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Ada kebenaran terhadap persepsi negatif terhadap kerajaan ini kerana sudah tentu kita sudah menang banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

“Paling penting bagaimana usaha kita untuk berdamping dan menjelaskan isu-isu bagi membetulkan kembali persepsi itu dan seterusnya menyokong kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan dan Pasir Mas di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kerajaan perlu memastikan guru dan pesara guru diberi perhatian agar mereka tidak menganggap seolah-olah kerajaan meminggirkan mereka dalam sesetengah perkara. — Bernama

Dua beradik sambut raya tanpa ibu bapa – Berita Harian


Aidilfitri kali ini hambar bagi Najihah, Nazuwa

TELUK INTAN: Hari ini sepatutnya menjadi saat menggembirakan bagi kanak-kanak. Namun, bagi dua beradik, Najihah dan Nazuwa Natri yang kehilangan ibu akibat ditetak sehingga mati oleh bapa mereka sendiri yang kemudian ditembak pula oleh polis pada awal Ramadan lalu, Aidilfitri ini tidak bermakna bagi mereka.

Sejak tragedi pada waktu sahur 14 Ogos itu, Najihah, 13, dan Nazuwa, 8, seakan-akan trauma dengan kejadian itu dan lebih banyak menghabiskan masa dalam rumah nenek mereka di Kampung Atta Duri, Langkap dekat sini.

Kali pertama mereka bersemuka dengan orang ramai ialah pada majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada golongan kurang bernasib baik oleh Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah di Dewan Chikus, di sini baru-baru ini. Ada kalangan orang ramai menitiskan air mata apabila melihat dua beradik itu menangis ketika berbaris bersama anak yatim menerima sumbangan.

Ketika ditemui di rumah nenek mereka kelmarin, Najihah yang sedang menjalani rawatan di rumah selepas cedera akibat kejadian itu, hanya mengukir senyuman hambar apabila ditanya perasaannya menyambut Aidilfitri tanpa ibu bapa sambil duduk sepanjang masa atas kerusi menonton televisyen.

Namun, tidak banyak yang dapat ditanya kerana bapa saudara mereka, Rozami Sakri Affandi, 39, menghalang dengan alasan mereka masih terkejut dan tidak mahu dikejutkan lagi dengan soalan wartawan.

Menurut Rozami, anak saudaranya itu berkeadaan seperti biasa tetapi sesekali akan menitiskan air mata mengenangkan kejadian yang menimpa keluarga.
“Kami sekeluarga tidak mahu mereka mengingatkan kejadian dan enggan bertanya bagaimana kejadian berlaku. Apa yang penting, mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain dan terus menjaga mereka sedaya yang mungkin,” katanya.

Dalam kejadian itu, Natri Shaharuddin, 39, yang hilang pertimbangan menetak isterinya, Khairul Bariah Mohamat Aaripin, 36, sehingga mati dan mencederakan Najihah sehingga putus dua jari, sebelum ditembak mati oleh polis selepas enggan menyerah diri.

‘Dah beli tiket balik raya’ – Harian Metro


PORT DICKSON: “Norliza sepatutnya naik bas malam ini (Jumaat) untuk pulang menyambut Aidilfitri di Kelantan. Dia menunjukkan tiket bas kepada saya dan saya berjanji menghantarnya ke stesen bas,” kata Norhayati Zainuddin, 25, rakan Norliza Ishak, 35, yang mati dibunuh bersama anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, semalam.

Dua beranak itu ditemui mati dalam keadaan tangan serta kaki diikat manakala mulut mereka ditutup menggunakan kain sarung dalam bilik air apartmen mereka di Jalan Sutera Lama, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Norhayati berkata, dia berjanji menghantar Norliza, guru agama dan Amirul Ayman ke stesen bas Terminal One, Seremban kerana dua beranak itu dijadual menaiki bas jam 10 malam.

“Arwah nampak seronok ketika beritahu mahu pulang ke kampungnya di Pulau Kerbau, Palekbang, Tumpat, kerana dia dapat cuti agak lama tahun ini,” kata Norhayati.

Menurutnya, dia sempat keluar bersama Norliza di sekitar Port Dickson membeli-belah sebelum menghantarnya pulang ke rumah, petang kelmarin.

“Pagi ini (semalam) saya tak nampak anaknya di kelas menyebabkan saya tak sedap hati, lalu saya cari Norliza yang mengajar di sekolah sama. Tetapi rakan beritahu mereka juga tidak melihatnya. Saya menelefon Norliza dan anaknya, namun kedua-duanya tiada jawapan,” katanya.

Norhayati berkata, dia mengambil keputusan pergi ke rumah mangsa, namun mendapati ia berkunci menyebabkannya pulang semula sebelum memberitahu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), Maimunah Samek.

“Saya dan beberapa guru pergi semula ke rumah mereka sebelum menemui dua beranak itu dalam keadaan menyayat hati di dalam bilik air,” katanya.

Norliza tinggal di apartmen itu bersama anak lelakinya kerana suaminya menjalankan perniagaan di Mesir.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohd Nazmi Awang Besar, 35, yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah kira-kira dua minggu lalu.

“Saya terkejut dengan kejadian ini dan menghubungi suami mangsa (Mohd Yusuf Awang Besar, 37,) yang menjalankan perniagaan di Mesir.

“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, saya menganggapnya sebagai takdir dan reda dengan pemergiannya,” katanya.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Awaluddin Hasan berkata, pihaknya terkejut dengan kejadian menimpa kakitangannya dan meminta semua guru mendoakan yang terbaik kepada arwah dan anaknya.

Menurutnya, pihaknya memaklumkan kepada semua guru besar sekolah memastikan tempat kediaman guru masing-masing berada dalam keadaan selamat atau boleh menginap di kuarters sekolah yang berhampiran.

494,493 pelajar duduki UPSR 21-23 September – Berita Harian


KUALA LUMPUR: Seramai 494,493 murid akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 21 hingga 23 September ini di seluruh negara.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata daripada jumlah itu 373,190 murid adalah dari Sekolah Kebangsaan, 96,166 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 16,965 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Selebihnya adalah calon dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Melayu seramai 8,163 dan 9 orang dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Cina.

“Peperiksaan akan diadakan di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara yang melibatkan 47,768 petugas peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

Semua calon diingatkan supaya merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran semasa peperiksaan berlangsung. –  BERNAMA