Lima pelajar hamil mendaftar di Sekolah Harapan hari ini – Utusan Malaysia


JASIN 19 Sept. – Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.

Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.

“Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan,” katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.

Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.

Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.

“Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

“Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya,” kata beliau.

Sekolah diarah wujud peti aduan buli – Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 19 Sept. – Kementerian Pelajaran hari ini mengarahkan semua sekolah mewujudkan peti aduan buli dalam usaha mencegah dan menangani gejala tersebut di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, arahan tersebut penting bagi memudahkan mangsa mengemukakan aduan dan siasatan manakala tindakan juga dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan matlamat kementerian yang mahu membanteras kegiatan itu di peringkat akar umbi.

“Peti aduan itu perlu diwujudkan berikutan kesukaran pihak sekolah mendapatkan maklumat atau laporan daripada murid khususnya berkaitan perbuatan buli.

“Ada ketikanya, murid yang terlibat berasa takut untuk mengadu secara terus kepada guru mereka,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Alimuddin mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar bersikap telus, adil dan profesional dalam menguruskan setiap aduan buli yang diterima.

“Dalam hal kerahsiaan pengadu, sudah tentu kami telah mengambil kira soal tanggungjawab pihak pengurusan sekolah yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada semua murid, warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tentang fungsi peti itu serta memberi keyakinan terhadap keberkesanan dari segi pelaksanaannya.

Katanya, semua urusan siasatan serta tindakan terhadap aduan buli murid yang diterima diuruskan oleh Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama di peringkat sekolah masing-masing.

“Ini kerana kita mahu jawatankuasa itu dapat dirasai kewujudannya oleh warga sekolah dan dengan cara ini, murid-murid akan berasa selamat dan selesa untuk belajar.

“Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut perlu mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang dibuat oleh murid atau pihak berkepentingan lain,” katanya.

PTPTN: Potong gaji mulai Jun 2011 – Utusan Malaysia


TEMERLOH 19 Sept. – Mulai Jun tahun depan, semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak. Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, hanya dengan cara itu pihaknya dapat mengutip semula hutang daripada lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya.

Katanya, PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan. ‘‘Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan,” katanya. Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini, hari ini. Turut hadir, Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf. Menurut Ismail, PTPTN akan menunggu keputusan kerajaan sebelum melaksanakan skim potongan gaji peminjam bagi mengutip semula pinjaman tabung tersebut.

Kata beliau, PTPTN juga mengambil kira pelbagai perkara supaya tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian pada masa depan. Beliau berkata, pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman. Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN telah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan iaitu RM35 bilion. ‘‘Sepatutnya Julai lalu kita berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada RM23 bilion itu namun setakat ini, kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam yang liat membayar semula pinjaman. ‘‘Daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman,” katanya. Menurut Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam.