Wajib lulus Sejarah harus dipandang positif – Utusan Malaysia


Wajib lulus Sejarah harus dipandang positif

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Langkah kerajaan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus dipandang positif kerana ia bertujuan menjamin kemajuan generasi masa depan.

Tokoh Sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman berkata, jika tiada sebarang langkah diambil untuk meningkatkan pengetahuan sejarah golongan pelajar ketika ini, mungkin akan wujud masyarakat yang sentiasa mengulangi kesilapan sama.

“Jabatan Sejarah Universiti Malaya pernah membuat kajian 20 tahun dulu dan hasilnya sama seperti apa yang didapati hari ini iaitu warganegara buta sejarah.

“Oleh sebab itu kita perlu perubahan, kita tidak mahu lagi membincangkan soal sama 20 tahun akan datang, langkah kerajaan itu perlu diambil positif oleh semua pihak,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini mengenai ramai golongan muda negara ini yang buta sejarah.

Menurut Mohd. Taib, masalah buta sejarah di kalangan orang muda disebabkan mereka terlepas pandang untuk mengenali diri sendiri kerana sistem pendidikan yang menitikberatkan sains dan teknologi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Abdul Rahman Tang Abdullah berkata, mentaliti golongan muda yang menganggap Sejarah sebagai ‘pengetahuan asas’ merupakan salah satu punca yang menyebabkan mereka mengabaikan subjek itu.

“Isu buta Sejarah sudah wujud sejak dulu lagi namun tambah memburukkan apabila ramai di kalangan golongan muda hari ini yang menganggap Sejarah sebagai hanya pengetahuan asas dan bukan sebagai subjek Sejarah yang perlu dihayati,” katanya.

Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa berkata, persepsi mereka yang lebih berminat dengan bidang kejuruteraan serta kedoktoran bahawa sejarah tidak penting juga menjadikan ia semakin dilupakan.

Menurutnya, hasrat kerajaan itu seharusnya diambil berat oleh setiap rakyat agar generasi akan datang tidak lagi buta sejarah lebih-lebih lagi dalam membentuk sejarah bangsa.

Tambahnya, apabila mata pelajaran itu diwajibkan, pelajar akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan secara tidak langsung pada masa sama, mereka akan menghayati sejarah.

“Jika tidak, pelajar akan belajar Sejarah sambil lewa dan tidak penting dan kemudian gejala buta sejarah akan terus menular sehingga bila-bila,” katanya.

 

Panel Pembelajaran Sejarah dibentuk – Utusan Malaysia


Panel Pembelajaran Sejarah dibentuk

 

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 29 Okt. – Kabinet hari ini bersetuju membentuk Panel Pembelajaran Sejarah yang akan memastikan subjek wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan subjek teras di sekolah rendah pada 2014 itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang diperakukan fakta dan tidak diputarbelitkan sebagai alat politik.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini juga tidak menerima sebarang bantahan daripada anggota Jemaah Menteri untuk menjadikan Sejarah subjek wajib lulus seperti dicadangkan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 23 Oktober lalu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kepada Kabinet betapa Sejarah harus diberi penonjolan dan peranan dalam sistem pendidikan negara.

”Beliau menyatakan bahawa (keputusan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus) bukan sesuatu yang dibuat secara mendadak. Hujah ini sudah berjalan berdekad-dekad, tinggal lagi baru terasa oleh kerana keadaan sekeliling dengan teguran, tohmahan dan kejelikan pendapat-pendapat tertentu yang menidakkan sejarah (negara).

”Maka sebab itu beliau membawanya (isu itu) ke perhimpunan partinya (UMNO) dan UMNO kemudian bersetuju. Hari ini pula tidak ada bantahan daripada ahli-ahli Kabinet.

”Dalam soal ini, Kementerian Penerangan sendiri juga berperanan untuk menjelaskan mengapa pendirian ini diambil ditambah dengan keadaan sekarang ramai golongan muda seolah-olah buta sejarah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Selasa lalu, Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen mempersoalkan keputusan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus seperti diumumkan oleh Muhyiddin.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sepatutnya dibawa ke Kabinet, bukannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO.

Siew Fook turut melemparkan tuduhan bersifat melaga-lagakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) apabila mendakwa kononnya UMNO sahaja yang menentukan dasar kerajaan kerana keputusan Muhyiddin itu dibuat tanpa melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan komponen lain.

Rais bagaimanapun percaya isu mempertikaikan kewajaran menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM dan subjek teras di sekolah rendah itu tidak akan habis di situ.

”Badan-badan cauvinistik yang lain akan terus mempersoalkan inisiatif langkah yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

”Itu (pengumuman Muhyiddin) adalah satu langkah murni dan kita mesti menghormatinya demi menyatukan kebenaran dan realiti,” kata beliau.

Isu kepentingan pembelajaran Sejarah turut dihangatkan dengan penemuan terbaru hasil soal selidik Unit Khas Utusan Malaysia hari ini apabila mendapati ramai golongan muda negara ini buta sejarah.

Antaranya, Hari Kemerdekaan dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden seperti 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957.

Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun khususnya antara 16 hingga 20 tahun.

 

Guru perlu lebih kreatif tarik minat golongan muda – Utusan Malaysia


Guru perlu lebih kreatif tarik minat golongan muda

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Guru Sejarah perlu lebih kreatif dalam menyampaikan subjek tersebut agar pelajar tidak bosan dan secara langsung menarik minat golongan muda untuk menghayati sejarah.

Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa berkata, rata-rata pelajar tidak menyukai Sejarah disebabkan penyampaian guru terlalu serius serta terlalu banyak fakta perlu dihafal serta difahami.

“Sejarah bukan seperti subjek Sains dan Teknologi yang mudah menarik minat pelajar, maka dengan cara penyampaian yang lebih menarik dan kemas, pelajar akan lebih mudah memahaminya.

“Pendekatan seperti bercerita, lakonan atau lawatan ke tempat sejarah menjadikan ia menarik untuk dihayati dan sekali gus membolehkan pelajar memahami sejarah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai hasil soal selidik yang dijalankan mendapati ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda buta sejarah.

Hasil kajian ke atas 200 responden itu, terdapat di kalangan mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan dan nama Perdana Menteri pertama.

Malah tiada seorang pun yang berjaya menjawab kesemua 10 soalan mudah berkaitan sejarah dan kenegaraan yang dikemukakan kepada setiap responden.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Rahman Tang Abdullah berkata, keputusan kerajaan melatih semula guru-guru Sejarah wajar bagi mengelak mereka hanya tahu membacakan teks kepada pelajar.

“Kebanyakan guru Sejarah di negara ini hanya membacakan teks yang terkandung di dalam buku kepada murid-murid mereka.

“Tambah menyedihkan apabila rata-rata mereka membiarkan murid-murid untuk memahami dan menilai sendiri sesuatu peristiwa sejarah itu. Ini tidak patut berlaku kerana murid-murid mungkin salah faham tentang sesuatu peristiwa sejarah,” katanya.

 

Elaun guru takmir seluruh negara naik – Utusan Malaysia


Elaun guru takmir seluruh negara naik

KUALA KANGSAR 29 Okt. – Kerajaan bersetuju menaikkan elaun guru-guru takmir di seluruh negara daripada RM40 kepada RM100 setiap kali mengajar.

Pelaksanaan kadar baru elaun itu akan berkuat kuasa pada Januari depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Halid Sintol berkata, kenaikan tersebut bertujuan menyelaraskan elaun yang diterima imam-imam dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) seperti diumumkan dalam Bajet 2011, baru-baru ini.

“Kementerian Kewangan telah bersetuju meluluskan elaun daripada RM40 sekarang kepada RM100. Maksimum guru-guru takmir mengajar ialah lapan kali sebulan bermakna mereka juga akan menerima elaun seperti guru-guru KAFA iaitu sebanyak RM800.

“Surat yang diterima memaklumkan pelaksanaannya bermula Januari 2011. Kita harap kementerian dapat salurkan peruntukan ini mengikut jadual,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Ijtima’ Sanawi Guru Takmir Peringkat Negeri Perak di Auditorium Kolej Islam Darul Ridzuan, di sini semalam.

Program sehari bertema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ tersebut dianjurkan bersama Jakim, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Acara perasmian disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang diwakilkan Pegawai Khasnya, Nasir Ismail.

Guru-guru takmir merupakan tenaga pengajar yang diiktiraf oleh Jakim dan jabatan agama Islam negeri untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau.

Menurut Abdul Halid, persetujuan menaikkan kadar elaun itu juga menandakan kesediaan kerajaan memberi komitmen tinggi kepada usaha perkembangan agama dan pendidikan Islam di kalangan masyarakat.

“Ia nikmat yang perlu disyukuri dan harus disusuli dengan usaha di kalangan guru takmir di masjid-masjid dan surau untuk membantu perkembangan dan memperkasa akidah serta ketinggian akhlak seterusnya melahirkan kekuatan komuniti Islam di negara ini,” kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Pengarah JAIPk, Mohd. Yusop Husin dalam ucapannya, meminta Jakim menambah pengambilan guru-guru takmir di negeri ini memandangkan bilangan mereka tidak mampu menampung jumlah masjid yang ada.

“Jumlah guru takmir di Perak ketika ini ialah 299 orang berbanding 615 masjid tidak termasuk surau-surau yang juga memerlukan penglibatan mereka.

“Kita harap dapat mencapai nisbah dua orang guru takmir untuk sebuah masjid bagi memudahkan urusan pengajaran dilakukan,” katanya.

 

Rosli Mohamed dilantik KSU Kementerian Pelajaran – Bernama


Rosli Mohamed dilantik KSU Kementerian Pelajaran

2010/10/28

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed, dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, dalam satu kenyataan hari ini berkata Dr Rosli akan menggantikan Tan Sri Dr Zulkurnain Awang yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai tarikh yang sama.

Sidek berkata, beliau percaya pengalaman, pengetahuan serta kompetensi yang dimiliki oleh Dr Rosli akan membolehkan beliau mengetuai dan mengemblengkan semua penjawat awam di Kementerian Pelajaran khususnya pendidik dalam menyediakan keperluan sistem pendidikan yang terbaik serta memenuhi matlamat pendidikan negara.Dr Rosli, 52 tahun, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pemasaran Strategik dari University of Hull, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan perancangan pembangunan menerusi karier perkhidmatannya di pelbagai kementerian.

Jawatan pertama yang disandangnya ialah sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Perindustrian, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dari 1983 hingga 1988 sebelum menjadi Penolong Setiausaha, Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Logam, Kementerian Perusahaan Utama.

Dari 1991 hingga 1992, Dr Rosli menjadi Pegawai Projek Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kemudiannya sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Perjawatan juga di JPA dari 1992 hingga 1993.
Beliau kemudian menjadi Penolong Setiausaha, Bahagian Kemajuan Perindustrian Perhutanan dan Kayu Kayan, Kementerian Perusahaan Utama sehingga 1995.

Dr Rosli juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Tenaga, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa bahagian lain di UPE sehingga pertengahan tahun ini.

Pada 24 Mei 2010, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran. – BERNAMA

 

Peralatan sukan di 27 sekolah tidak digunakan secara optimum – Bernama


Peralatan sukan di 27 sekolah tidak digunakan secara optimum

2010/10/26

KUALA LUMPUR: Peralatan sukan bernilai RM783,955 yang dibekalkan kepada 27 sekolah oleh Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dan dibeli empat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak Disember 2007 didapati tidak digunakan langsung atau secara optimum.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, Peralatan sukan itu termasuk peralatan untuk gimnastik/mini gimnastik, bola tampar, olahraga, tenis dan golf.

Laporan itu berkata, ia disebabkan peralatan itu kurang sesuai dengan keperluan jurulatih dan atlet, tiada keperluan pihak sekolah sama ada tiada jurulatih atau atlet, peralatan dibekalkan melebihi keperluan atau tidak berpeluang menggunakan peralatan itu disebabkan ketiadaan atau kekurangan kemudahan tempat latihan di sekolah.

Menurut laporan itu lagi, peralatan sukan bernilai RM588,612 di 15 sekolah antaranya yang diterima sejak 2007 belum direkodkan ke Daftar Harta Modal, Daftar Inventori dan Daftar Stok Bekalan Pejabat atau Kad Petak.

“Bagi daftar aset yang diselenggara, maklumat aset tidak diisikan dengan lengkap dan kemas kini,” kata laporan itu.

Selain itu, peralatan sukan yang dibekalkan oleh Bahagian Sukan bernilai RM679,655 di 15 sekolah juga tidak disimpan di tempat yang bersesuaian dan secara teratur dan tanpa kawalan yang sewajarnya.

Laporan itu mencadangkan kementerian supaya memastikan setiap peralatan yang dibekalkan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Kementerian hendaklah merancang perolehan dengan mengambil kira keperluan jurulatih dan atlet serta mengagihkan segera peralatan sukan kepada sekolah yang memerlukan.

“Daftar aset di sekolah-sekolah hendaklah disediakan dan diselenggara dengan lengkap, kemas kini dan teratur bagi memudahkan kawalan dan rujukan.

“Masalah ketiadaan tempat atau tempat yang tidak mencukupi untuk penyimpanan peralatan sukan di sekolah hendaklah diatasi segera supaya peralatan sukan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat,” kata laporan itu. – BERNAMA

 

Kerajaan digesa rangka kaedah pengajaran, pembelajaran berkesan babit subjek Sejarah – Berita Harian


erajaan digesa rangka kaedah pengajaran, pembelajaran berkesan babit subjek Sejarah 2010/10/26 JITRA: Kementerian Pelajaran perlu merangka satu kaedah pengajaran dan pembelajaran berkesan membabitkan subjek Sejarah di semua sekolah seluruh negara bagi menarik minat pelajar terhadap subjek terbabit. Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG), Datuk Haili Dohlan, berkata IPG sedia untuk merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran baru terhadap subjek berkenaan yang bersesuaian dengan kehendak semasa, selaras dengan dasar kementerian menetapkan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 .

Beliau berkata, walaupun rekod pencapaian pelajar terhadap subjek Sejarah di peringkat SPM disifatkan baik kerana tidak ramai pelajar yang gagal dalam mata pelajaran itu, namun realitinya ia masih kurang diminati.

“Justeru, kita mahu memastikan Sejarah menjadi matapelajaran menarik kepada pelajar dan bukan sekadar fakta dan tarikh semata-mata, keadaan ini perlu bagi memastikan sejurus keluar daripada sistem pendidikan negara semangat nasionalisme dapat diterapkan dalam diri pelajar berkenaan.

“IPG sedang mengkaji keperluan dan peranan institusi ini untuk melatih guru sedia ada untuk melaksanakan pedagogi pengajaran dan pembelajaran berkesan terutama dalam subjek sejarah, selaras dasar diperkenalkan kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Guru 2010 di IPG Kampus Darul Aman di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan SPM mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya.

Syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam teks ucapannya yang dibacakan Haili berkata, dalam usaha meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme perguruan, agendanya bukan sekadar penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, tetapi bergantung kepada tahap kualiti, kompetensi diri dan semangat guru terbabit.

Beliau berkata, perkara ini penting kerana faktor berkenaan banyak mempengaruhi kualiti pendidikan negara di samping persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap kerjaya berkenaan yang akhirnya menentukan sejauh mana profesion itu akan terus dipandang tinggi dan dihormati.

“Kementerian Pelajaran memikul tanggungjawab yang besar dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara ke arah mencapai pendidikan bertaraf dunia dengan acuan sendiri dan berpegang kepada Gagasan 1Malaysia.

“Untuk memastikan sistem pendidikan kita sentiasa mencapai tahap cemerlang, pendidik mestilah memaparkan hasil budaya kerja berkualiti dan kualiti tidak seharusnya dilihat sebagai satu sifat luaran atau perkhidmatan tetapi ia sebenarnya satu ‘attitude of mind’ yang merangkumi sikap membuat kerja dengan betul pada kali pertama,” katanya.

Kenal pasti langkah tambah guru lelaki – Harian Metro


MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti langkah terbaik untuk meningkatkan jumlah guru lelaki dalam pengambilan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) pada masa akan datang bagi mengatasi dominasi gender cikgu wanita selaras dalam usaha bagi melahirkan modal insan berkualiti demi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berikutan jumlah bakal guru lelaki yang sedang melanjutkan pelajaran di semua 25 IPG di seluruh negara pada tahun ini didapati lebih rendah berbanding wanita dengan nisbah 2:1.
Menurutnya, daripada sejumlah 34,512 bakal guru yang sedang menimba ilmu, kira-kira 22,805 orang adalah wanita, manakala selebihnya lelaki.
“Saya tidak tahu adakah ini sudah suratan takdir atau (menjadi) satu cabaran yang harus kita berikan supaya pelajar (bakal guru) lelaki dan pegawai khas di kementerian (pelajaran) dapat meneliti untuk jangka masa panjang bagi menimbang ratio berkenaan.

“Tugas untuk mendidik anak tidak hanya terletak pada tangan wanita saja, ini penting dalam membentuk sahsiah bagi membangunkan personaliti, akhlak, moral dan pekerti disebabkan kita perlu mempunyai keseimbangan.
“Kerajaan tidak menafikan peranan wanita yang lebih ramai memilih bidang perguruan, tetapi memerlukan peranan lelaki untuk memantapkan institusi pendidikan negara yang berdepan cabaran bagi membentuk modal insan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

 

 

Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014 – Utusan Malaysia


Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 24 Okt. – Selepas mengumumkan mata pelajaran Sejarah wajib lulus bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerajaan hari ini mengambil pendekatan menjadikannya sebagai subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penambahan baru juga akan dibuat pada mata pelajaran tersebut antaranya menekankan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan.

Ketika ini, katanya, unsur mata pelajaran Sejarah banyak ‘menumpang’ pada subjek Kajian Tempatan yang diajar kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah.

”Kita akan laksanakan subjek Sejarah ini bermula pada Tahap Satu dengan berkonsepkan education is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.

”Kita mahu jadikannya sebagai mata pelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, pihaknya perlu melatih semula guru mata pelajaran Sejarah sedia ada sebelum mata pelajaran tersebut boleh diajar kepada murid sekolah rendah.

Katanya, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk mengisi keperluan pembentukan negara Malaysia yang maju dan meningkatkan patriotisme rakyat agar generasi muda mengetahui asal-usul serta kepentingan menghormati Perlembagaan negara.

Mohd. Puad turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya keputusan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus akan membebankan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, subjek Sejarah akan diubah suai dengan dimasukkan elemen baru bagi menjadikannya lebih menarik dan efektif.

”Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air merupakan antara topik yang diberi keutamaan dalam subjek berkenaan bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pendidik disaran bina jaringan capai pendidikan khas berkualiti – Utusan Malaysia


Pendidik disaran bina jaringan capai pendidikan khas berkualiti

25/10/2010 3:42pm

 

MELAKA 25 Okt. – Warga pendidik di Asia Tenggara diminta membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik untuk merumus dasar dan strategi lebih berkesan untuk merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, mereka disarankan bertukar maklumat dan idea inovatif untuk memperkayakan pengetahuan dalam kedua-dua aspek yang amat penting itu.

“Dalam usaha untuk mencapai kesaksamaan gender, Malaysia telah memberi tumpuan pendidikan kepada kaum wanita dan hari ini lebih 65 peratus guru di sekolah rendah dan menengah di Malaysia terdiri daripada guru wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Serantau Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini. – Bernama