Jangan terburu-buru cari jawapan kepada pemansuhan PMR: Wee – Berita Harian


KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terburu-buru mencari jawapan kepada format penilaian baru yang akan diperkenalkan berikutan pengumuman pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berkuat kuasa 2016.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pihak kementerian akan membuat pengumuman secara lebih terperinci berhubung perkara itu supaya orang ramai memahami dengan lebih jelas tentang kaedah penilaian yang baru.

Katanya, perkara ini banyak membabitkan aspek teknikal dan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut peperiksaan.”Saya rasa perkara itu kita boleh perihalkan kemudian. Tak perlu kita tergesa-gesa cari jawapan pada waktu ini. Sudah ada perancangan (tentang kaedah penilaian yang baru), tapi kita kena buat secara teknikal berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara,” katanya pada Perhimpunan Agung MCA ke-57 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa peperiksaan PMR akan dimansuhkan dan digantikan dengan penilaian berasaskan sekolah manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan dengan bentuk dan format yang berbeza, yang dijangka dijalankan serentak pada tahun 2016.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, masa diperlukan untuk perubahan dasar bagi memberi peluang pelajar yang masih berada dalam sistem pelajaran sekarang meneruskannya dengan ujian sedia ada.
Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata lebih banyak pelajar sekolah Tamil dijangka memperoleh pencapaian 7A dalam UPSR berikutan keputusan Kementerian Pelajaran meneruskan peperiksaan itu.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana tidak memansuhkan UPSR daripada kalendar peperiksaan sekolah, beliau berkata keputusan itu amat melegakan ibu bapa dan pelajar.

Beliau berkata, MIC telah membantah cadangan awal untuk memansuhkan UPSR, dan mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana memberi pertimbangan kepada pandangan parti.

“Mereka (pelajar) kini boleh menumpukan perhatian kepada UPSR kerana tahu bahawa peperiksaan itu tidak akan dimansuhkan. Hakikatnya, format baru bermula tahun 2016 akan lebih menggalakkan lagi mereka untuk mencatatkan pencapaian lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Presiden MIC berkata, MIC menerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) akan terus membantu pelajar sekolah Tamil untuk menduduki UPSR menerusi pelbagai inisiatif termasuk mengagihkan buku modul UPSR.

Beliau berkata, jumlah pelajar sekolah Tamil yang mencatatkan keputusan 7A dalam UPSR telah meningkat daripada 357 pelajar pada 2003 kepada 824 pelajar tahun lalu.

“Kami yakin jumlah itu akan meningkat tahun ini,” kata Samy Vellu, yang juga Pengerusi MIED. – BERNAMA

Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Januari 2011


Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Januari 2011

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Jan 2011 boleh dibuat mulai pada 11 Oktober 2010 (Isnin) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia : http://www.moe.gov.my/ . Calon dikehendaki mendapatkan NO PIN di cawangan BSN berhampiran sebelum membuat permohonan.

Sekian, terima kasih.

Tiada lagi PMR pada 2016 – Utusan Malaysia


SYDNEY 9 Okt. – Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam formatnya sekarang tetapi diubah menggunakan format baru melalui penilaian berasaskan sekolah.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan diteruskan tetapi dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan format baru bagi kedua-dua peperiksaan itu akan berkuat kuasa serentak pada peperiksaan 2016.

Menurutnya, kitaran kepada perubahan dasar dalam dua peperiksaan itu akan mengambil masa enam tahun dan bermula serentak pada kohort sesi persekolahan 2011.

Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan satu nama baru akan menggantikan PMR pada 2016 nanti.

“Maka pada ketika itu, kita akan adakan UPSR (format baru) dan mungkin PMR dalam bentuk baru yang tidak dipanggil PMR lagi,” katanya selepas bersarapan pagi dengan media Malaysia dan para pegawainya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan.

Menurutnya, masa diperlukan untuk perubahan dasar bagi memberi peluang pelajar yang masih berada dalam sistem pelajaran sekarang meneruskannya dengan ujian sedia ada.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, cara penyampaian mata pelajaran masih lagi terikat dengan apa yang sudah sedia ada.

Muhyiddin menjelaskan, UPSR akan berubah bentuk dan format, antaranya mengurangkan komposisi subjek teras kepada 60 peratus dan menambah pemberat komponen kokurikulum serta subjek yang dianggap penting seperti sivik kepada 40 peratus dalam pentaksiran keseluruhan.

Subjek teras di peringkat UPSR ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Bahasa Malaysia (Penulisan dan Kefahaman).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira input dan pendapat jawatankuasa meja bulat penambahbaikan yang telah bersidang sebanyak tiga kali.

Sejajar dengan transformasi PMR kepada format baru itu pula, Muhyiddin telah meminta Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) melihat aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah yang berkecenderungan untuk bersikap berat sebelah dalam pemberian markah kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Penilaian berasaskan sekolah bermakna pelajar akan diminta membuat folio daripada projek yang disediakan oleh guru sekolah. Contoh terdekat amalan format baru yang sedia ada adalah mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pengajian Asas Fardu Ain (Pafa).

Muhyiddin berkata, beliau bercadang membawa perkara itu ke Kabinet kerana pastinya ada minat daripada masyarakat untuk mengetahui tujuan dan langkah penambahbaikan serta inisiatif baru yang hendak dibuat supaya sistem pendidikan di Malaysia tidak cenderung kepada peperiksaan semata-mata.

Bagaimanapun, katanya, perkara pokok dan penting ialah setiap peringkat kemajuan murid akan dapat nilai.

“Sesiapa pun perlu mengetahui kemajuan anak-anak mereka di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya masyarakat bersetuju UPSR perlu dikekalkan tetapi mereka juga berpendapat mesti ada penambahbaikan.

Di atas premis inilah, katanya, maka Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah penambahbaikan antaranya mengubah suai komposisi subjek teras, mungkin daripada keseluruhan 100 peratus, maka 60 peratus sahaja komposisi adalah berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih yang akan diumumkan kelak.

“Baki 40 peratus adalah atas dasar kokurikulum, bidang sivik serta bidang-bidang yang dianggap penting dan perlu, tetapi pada waktu sekarang tidak dinilai secara saksama.

“Jadi ini dikira perimbangan yang sesuai. Yang ini pun perinciannya akan kita umumkan kemudian,” katanya.

Bagi PMR pula, Muhyiddin berkata, umum bersetuju peperiksaan tingkatan tiga itu tidak perlu diteruskan.

Katanya, dalam dialog meja bulat yang terakhir juga, jawatankuasa bersetuju dengan cadangan kementerian supaya PMR diubah bentuknya kepada penilaian yang dibuat di sekolah.

Bagaimanapun, untuk mengelakkan tanggapan penilaian berbeza-beza, jelas beliau, adalah menjadi peranan LPM untuk menyelaras bentuk-bentuk ujian yang akan dilakukan.

“Ini untuk mengelakkan berat sebelah atau kecenderungan sekolah memberi markah yang lebih baik untuk sekolah mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan secara muktamad dalam seminggu dua ini apabila laporan lengkap sampai ke tangannya.

Beliau juga memberitahu, kementerian tidak melakukan persidangan meja bulat tersebut secara serta-merta tetapi setelah melakukan ujian rintis di banyak sekolah.

Ujian rintis melibatkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi pada 2009.