Kerajaan tak beri bonus bagi elak perbelanjaan melebihi pendapatan: PM – Berita Harian


Kerajaan tak beri bonus bagi elak perbelanjaan melebihi pendapatan: PM

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memberikan bantuan kewangan khas dan bukan bonus sebulan kepada kakitangan awam kerana tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.

Perdana Menteri berkata, sekiranya kerajaan memberikan bonus sebulan ia menyebabkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM3.1 bilion.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua beradik diberkas disyaki bunuh remaja – Utusan Malaysia


Dua beradik diberkas disyaki bunuh remaja

KENINGAU 15 Okt. – Polis menahan dua beradik bagi membantu siasatan kes bunuh seorang remaja perempuan di Kampung Biah di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamad berkata, kedua-dua suspek ditahan Selasa lalu di Kilometer 75.2, Jalan Nabawan-Sepulut.

“Kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 17 tahun itu tidak mempunyai dokumen dan tidak bekerja. Mereka dikesan polis hasil maklumat orang awam.

“Hasil siasatan awal polis, suspek yang berumur 21 tahun luka di pergelangan kaki mengaku telah membunuh mangsa,” katanya di sini hari ini.

Pada 6 Oktober lalu, seorang remaja perempuan, Nassirah Jasto, 14, ditemui mati di rumahnya di Kampung Biah dekat sini.

Mangsa mati akibat ditikam bertubi-tubi di bahagian badan.

Kata Zahari, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan awal suspek yang dipercayai penagih dadah mengenali mangsa dan pergi ke rumah mangsa untuk mencuri.

“Suspek pada mulanya masuk ke rumah mangsa dengan alasan mahu minum air tetapi mengambil kesempatan memasuki bilik bapa mangsa.

“Menyedari tindakan suspek itu, mangsa marah menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa menggunakan gunting,” ujarnya.

 

Peruntukan besar pendidikan bukti BN prihatin – Utusan Malaysia


Peruntukan besar pendidikan bukti BN prihatin

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara, jelas membuktikan bahawa kerajaan amat mementingkan pembangunan modal insan melibatkan seluruh masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran telah menerima suntikan besar dalam Bajet 2011 iaitu peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding tahun ini iaitu RM25.5 bilion.

Menurut beliau, peruntukan bagi tujuan pembangunan sektor pendidikan juga meningkat sebanyak RM1.5 bilion atau 26.5 peratus iaitu kementerian menerima sebanyak RM4.9 bilion bagi tahun ini dan meningkat kepada RM6.4 bilion pada 2011.

“Itu termasuk peruntukan istimewa RM250 juta untuk pembangunan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah mubaligh serta sekolah bantuan kerajaan.

“Peningkatan itu lebih 500 peratus berbanding hanya RM39.2 juta yang diterima pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambah Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, bajet rakyat itu jelas menunjukkan kerajaan amat mementingkan pembangunan modal insan dengan kementeriannya bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia diberikan tanggungjawab melengkapkannya.

“Kita yakin ini adalah bajet untuk rakyat mendapat faedah maksimum dengan pelaksanaan yang akan dibuat secara efisien oleh agensi-agensi kerajaan. Ini adalah petanda jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin dengan semua kehendak rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai usaha membawa masuk guru-guru pakar bahasa Inggeris dari United Kingdom dan Australia, Muhyiddin berkata, seramai 375 tenaga pakar itu akan memulakan tugas mereka pada awal tahun depan.

Mereka ini, kata beliau, tidak akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah-sekolah tetapi sebaliknya bertanggungjawab membantu guru-guru yang mengajar bahasa tersebut.

“Tenaga pakar ini akan membimbing dan memberi latihan secukupnya kepada guru bahasa Inggeris tempatan supaya dapat menghasilkan pengajaran terbaik, sekali gus menambah baik proses pembelajaran dan pengajaran (P & P) di sekolah,” katanya.

Mengenai pemberian multi vitamin kepada sekolah rendah di seluruh negara, Muhyiddin berkata, ia adalah inisiatif kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri untuk memastikan kanak-kanak sentiasa berada dalam keadaan cergas dan sihat.

“Sebelum ini kita telah lancar projek Susu Sekolah 1Malaysia dan ditambah lagi dengan pemberian kerajaan iaitu multi vitamin. Perkara lanjut mengenainya akan dibincangkan dengan Khazanah Nasional,” katanya.

 

Sistem pendidikan dirombak – Utusan Malaysia


Sistem pendidikan dirombak

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan penekanan diberi kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.

Bagi tujuan itu Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, tambahan sejumlah RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang.

“Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka (anak-anak) akan disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing,” katanya semasa membentang Bajet 2011, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menyediakan dana pembangunan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara.

“Bagi mengiktiraf Pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta.

“Manakala, bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik, RM576 juta diperuntukan dalam bentuk biasiswa untuk mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Mengenai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pula, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru asing dari United Kingdom dan Australia.

Sementara itu, Najib menambah, pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata).

“Peruntukan ini antaranya bagi pembinaan Fasa Kedua Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN), membiayai operasi 52 PAPN serta meneruskan program Permata Pintar,” katanya.