Pemuda UMNO Kedah bela 600 guru sandaran tidak terlatih – Berita Harian


Pemuda UMNO Kedah bela 600 guru sandaran tidak terlatih

2010/10/17

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Kedah akan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung penamatan kontrak 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua Pergerakannya, Badrolhisham Hashim, berkata beliau akan menghandar memorandum kepada Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran supaya isu itu dapat ditangani dengan segera.

“Saya harap agar mereka ini (GSTT) dapat diserap menjadi guru tetap dan dipanggil untuk mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) di maktab perguruan kerana mereka mempunyai pengalaman mengajar dan berminat dalam bidang perguruan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Beliau berkata, ada antara guru sandaran sudah menjangkau umur 35 tahun dan mereka tidak boleh memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ataupun Diploma Perguruan Lepasan Ijazan (DPLI) atau mana-mana sektor awam yang lain.

“Mereka hanya mempunyai pilihan untuk mengikuti KDC sahaja untuk menjadi guru tetap tetapi mereka tidak terpilih untuk mengikuti kursus itu,” katanya.

Kira-kira 600 GSTT di Kedah telah menerima surat penamatan kontrak daripada Jabatan Pelajaran secara berperingkat yang berkuatkuasa semalam dan 30 Oktober ini.

Seorang guru terbabit, Mohd Ridzwan Abdul Malik Faruk, 35, berkata beliau berharap sangat agar kontraknya dilanjutkan dan diberi peluang mengikuti KDC bagi membolehkan mereka menjadi guru tetap.
“Hanya melalui saluran itu sahaja kami boleh diserap menjadi guru tetap dan meneruskan khidmat kami mendidik anak bangsa,” katanya.

Seorang lagi guru, Nor Hayati Ghazali, 35, berkata beliau memang serius untuk menjadi guru dan sanggup berhenti kerja dengan syarikat swasta semata-mata untuk bertugas sebagai pendidik dan memilih GSTT untuk merialisasikan impiannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyangka kontrak GSTT diberhentikan serta merta. – BERNAMA

Mayat murid jatuh sungai ditemui dekat muara Sungai Galas – Berita Harian


Mayat murid jatuh sungai ditemui dekat muara Sungai Galas

 

2010/10/17

KUALA KRAI: Mayat seorang murid Tahun Enam yang hilang di Sungai Kelantan, dekat Dabong tengahari kelmarin ditemui pada 11.15 pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nasir Hassan, berkata mayat Raja Nurafi Raja Hussain, 12, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga diteruskan seawal 9 pagi tadi dan anggota penyelamat telah melakukan operasi menyelam dengan jarak lebih jauh iaitu lima kilometer dari tempat mangsa tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.

“Anggota kita berpatah balik mencari tidak jauh dari kawasan mangsa terjatuh iaitu berhampiran muara Sungai Galas dan Sungai Pergau dekat Dabong itu, dan melihat satu objek terapung sebelum mengenal pasti ia adalah mayat mangsa,” katanya di sini hari ini.

Nasir berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan difahamkan dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.

Raja Nurafi, murid Sekolah Kebangsaan Dabong, dipercayai terjatuh di sungai itu kira-kira 11 pagi kelmarin.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu dikatakan sempat meminta duit RM1 daripada ibunya sebelum keluar dari rumah.
Dia kemudian dipercayai telah pergi ke sungai tanpa memaklumkan kepada kedua ibu bapanya sebelum dilaporkan terjatuh ke dalam sungai tersebut. – BERNAMA

 

Takwim Sekolah 2011


Takwim Sekolah
Kalendar Persekolahan Tahun 2011

Kumpulan A
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 02.01.2011 31.01.2011 22
Hari Persekolahan 01.02.2011 28.02.2011 20
Hari Persekolahan 01.03.2011 10.03.2011 8
Cuti Pertengahan Penggal 11.03.2011 19.03.2011 9
Hari Persekolahan 20.03.2011 31.03.2011 10
Hari Persekolahan 01.04.2011 30.04.2011 20
Hari Persekolahan 01.05.2011 26.05.2011 20
Cuti Pertengahan Tahun 27.05.2011 11.06.2011 16
II Hari Persekolahan 12.06.2011 30.06.2011 15
Hari Persekolahan 01.07.2011 31.07.2011 21
Hari Persekolahan 01.08.2011 25.08.2011 19
Cuti Pertengahan Penggal ke II 26.08.2011 03.09.2011 9
Hari Persekolahan 04.09.2011 30.09.2011 20
Hari Persekolahan 01.10.2011 31.10.2011 22
Hari Persekolahan 01.11.2011 17.11.2011 13
Cuti Akhir Tahun 18.11.2011 31.12.2011 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78

 

Kumpulan B
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 03.01.2011 31.01.2011 21
Hari Persekolahan 01.02.2011 28.02.2011 20
Hari Persekolahan 01.03.2011 11.03.2011 9
Cuti Pertengahan Penggal 12.03.2011 20.03.2011 9
Hari Persekolahan 21.03.2011 31.03.2011 9
Hari Persekolahan 01.04.2011 30.04.2011 20
Hari Persekolahan 01.05.2011 27.05.2011 21
Cuti Pertengahan Tahun 28.05.2011 12.06.2011 16
II Hari Persekolahan 13.06.2011 30.06.2011 15
Hari Persekolahan 01.07.2011 31.07.2011 21
Hari Persekolahan 01.08.2011 26.08.2011 19
Cuti Pertengahan Penggal ke II 27.08.2011 04.09.2011 9
Hari Persekolahan 05.09.2011 30.09.2011 20
Hari Persekolahan 01.10.2011 31.10.2011 22
Hari Persekolahan 01.11.2011 18.11.2011 14
Cuti Akhir Tahun 19.11.2011 01.01.2012 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78

 

Kumpulan A Kumpulan B  
  • Kedah
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Perlis
  • Pulau Pinang
  • Perak
  • Selangor
  • Negeri Sembilan
  • Melaka
  • Johor
  • Pahang
  • Sabah
  • Sarawak
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Wilayah Persekutuan Labuan
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya

 

 

Pendidikan berkualiti tentukan negara maju – Utusan Malaysia


Pendidikan berkualiti tentukan negara maju

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti merupakan tunjang utama dalam memastikan matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 tercapai.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pendidik berperanan penting dalam pembentukan insan secara holistik melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

“Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada majlis Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Perhimpunan tersebut bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha menyediakan peluang P&P yang sama rata kepada semua termasuk kumpulan berkeperluan asas merangkumi Orang Asli dan kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak.

Malah dalam menyediakan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan memenuhi keperluan dan kehendak semasa, kementerian katanya, memperkenalkan dasar-dasar baru tanpa membelakangi dasar-dasar lain yang masih relevan dan sesuai.

Beliau berkata, dasar-dasar seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Dasar 1Murid 1Sukan, Transformasi Kurikulum serta Mengarusperdanakan Aliran Vokasional dan Teknikal merupakan langkah penambahbaikan dalam sistem pendidikan sedia ada.

“Semua dasar ini bertujuan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang, holistik, mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, sihat dan membentuk warganegara yang baik dan cemerlang,” katanya.

Justeru, beliau menyeru warga pendidik memainkan peranan masing-masing sebagai agen pelaksana dan agen perubahan demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Muhyiddin berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh pendidikan kebangsaan adalah untuk melahirkan warganegara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, pada masa yang sama, sistem pendidikan juga perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan nilai-nilai akhlak mulia dan penyayang.

Oleh itu, kata beliau, Penilaian Kritikal terhadap proses-proses pendidikan yang sedang berjalan hendaklah dilakukan supaya sebarang penyesuaian adalah selaras dengan keutamaan serta keperluan masyrakat domestik dan global yang sentiasa berubah.

Oleh yang demikian, katanya, para pendidik perlulah mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta, kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan nilai dan etos ‘learning society’.