CUEPACS bincang isu tiada bonus – Utusan Malaysia


CUEPACS bincang isu tiada bonus

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membentangkan isu tiada bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam dalam Bajet 2011 pada mesyuarat khas kongres itu Selasa ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pada mesyuarat itu beliau dijangka menerima maklum balas daripada semua peringkat ahli kongres di seluruh negara.

Beliau berkata, menerusi maklum balas itu, pihaknya akan berbincang dan membuat analisis mengenai apakah kesan ke atas penjawat awam ekoran ketiadaan bonus tersebut.

“Setakat ini, kita menerima beberapa maklum balas awal daripada penjawat awam dan rata-ratanya menunjukkan reaksi kecewa.

“Kongres bimbang, kekecewaan itu akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi komited dengan kerja mereka dan sekali gus boleh mengakibatkan ekonomi merudum semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penjelasan Perdana Menteri berhubung kerajaan tidak boleh memberi bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.1 bilion.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi meringan beban dan menampung perbelanjaan persiapan sekolah untuk anak-anak.

Omar berkata, pihaknya akur jika RM3.1 bilion untuk 1.2 juta kakitangan awam akan membebankan kerajaan, namun sekurang-kurangnya kerajaan wajar memberi setengah bulan gaji iaitu ia hanya melibatkan RM1.5 bilion sahaja.

Beliau memberitahu, wang bantuan khas sebanyak RM500 yang diperuntukkan itu tidak mencukupi untuk kakitangan awam khususnya yang mempunyai lebih daripada seorang anak tetapi untuk pesara ia sudah memadai.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pengumuman tiada bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini tidak menepati hasrat penjawat awam.

Menurut beliau, berdasarkan keadaan ekonomi negara pada tahun 2010 yang semakin pulih sepatutnya kerajaan mampu memberikan bonus kepada penjawat awam sebagai tanda penghargaan.

”Sekurang-kurangnya sebahagian besar wang bonus itu dapat digunakan oleh penjawat awam pada akhir tahun untuk menyelesaikan pembiayaan anak-anak yang kini semakin membebankan.

”Kita tidak memperlekehkan wang bantuan khas itu tetapi ia masih tidak mencukupi khususnya penjawat awam yang mempunyai anak lebih daripada dua orang,” jelasnya.

 

Kerajaan timbang tindakan ke atas guru buat kenyataan berbaur perkauman: Nazri – Berita Harian


Kerajaan timbang tindakan ke atas guru buat kenyataan berbaur perkauman: Nazri

2010/10/18

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap dua guru, masing-masing di Johor dan Kedah, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan dengan menimbang semua keterangan daripada saksi terbabit agar keputusan yang diambil kelak adalah satu keputusan yang adil kepada semua pihak.

“Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Jadi makan masa sedikit (untuk siasat dan ambil tindakan),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru terbabit.

Nazri berkata, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

“Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan. Kita tak mahu penyiasatan yang flip-flop akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) tentang tindakan yang telah diambil terhadap guru terbabit, Mohamed Nazri berkata guru besar di Kulai, Johor sedang dalam prosiding tatatertib dan ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
“Bagi kes di Bukit Selambau, Sungai Petani pula, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran. Beliau telah memohon maaf secara terbuka dan kini ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) tentang adakah kerajaan turut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Namewee yang mengulangi perbuatan bersifat perkauman, Nazri berkata:

“Kita tetap akan ambil tindakan terhadap Namewee tapi mesti berdasar kepada fakta yang menyabitkannya. Dia bukan pegawai kerajaan jadi kita tak boleh ambil tindakan terhadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

“Laporan polis telah dibuat dan kita sedang timbang beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadapnya.” – BERNAMA