Kemahiran vokasional/teknikal perlu dimulakan dari tingkatan satu – Bernama


KUALA LUMPUR: Pembelajaran mata pelajaran kemahiran vokasional dan teknikal perlu dimulakan dari Tingkatan 1 untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang lemah dari segi akademik mempelajari pelbagai aspek kemahiran, cadang Umno Wilayah Persekutuan.

Ketua Pemuda Umno Cheras, Syed Medhar Syed Abdullah berkata, peluang-peluang kemahiran itu perlu diberikan kepada para pelajar yang dikenal pasti lemah dan sederhana dalam bidang akademik di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Selepas sahaja pelajar-pelajar ini menduduki UPSR, kita dah dapat kenal pasti ada yang cemerlang, lemah, baik dan sederhana. Bagi yang lemah dan sederhana, kita tahu mereka tidak boleh pergi kepada akademik,” katanya semasa membahas usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Cadangan itu turut dibangkitkan oleh wakil Pemuda Umno, Mohd Gasing Saling, yang mahu supaya Kementerian Pelajaran memartabat aliran vokasional, di samping mengangkatnya menjadi aliran pilihan, dan menurutnya persepsi negatif pelajar vokasional yang dikatakan pilihan pelajar lemah, harus dihapus.

Ketua pemuda Kalabakan itu berkata, di Eropah penyertaan pelajar dalam aliran vokasional mencapai 50 peratus dari keseluruhan pelajar dan menjadi cabang pendidikan yang diminati pelajar serta ibu bapa.
Malah pelajar diberi pilihan untuk mengikuti aliran vokasional sejak Tingkatan Satu dan bukan hanya di Tingkatan 4 seperti yang berlaku sekarang.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu melihat mengenai gaji graduan pusat kemahiran yang masih rendah iaitu RM500 hingga RM700 sebulan walaupun mempunyai tahap pendidikan kemahiran yang tinggi.-Bernama

 

Lebih ramai guru pelbagai kaum perlu dibenar mengajar di SJKC/T – Harian Metro


KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/T) perlu segera membenarkan lebih ramai guru pelbagai kaum mengajar di sekolah mereka bagi mengukuhkan perpaduan bangsa pada masa depan.

Ketika mencadangkan perkara itu, wakil Pergerakan Wanita Umno, Datuk Norhayati Omar berkata jumlah guru bukan Cina dan India yang mengajar di sekolah itu adalah amat kecil setakat ini.
Katanya, berdasarkan perangkaan sehingga Jun lalu, terdapat sebanyak 5,881 sekolah kebangsaan diikuti 1,291 SJKC dan 523 SJKT di seluruh negara.
“Bagaimanapun daripada jumlah itu, terdapat 2,245 guru Melayu sahaja yang ditempatkan mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara,” katanya semasa membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Norhayati yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Sembilan berkata, berdasarkan statistik itu, secara puratanya tidak sampai dua orang guru Melayu mengajar di SJKC/T sedangkan terdapat seramai 33,777 orang guru bukan Melayu mengajar di sekolah kebangsaan.
“Jika di peringkat guru tidak berpeluang untuk bercampur dan berinteraksi bagaimana pula rupa dan wajah anak kita pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, sekolah kebangsaan sentiasa membuka pintu kepada guru bukan Melayu dan mereka mampu berbakti dan mengembangkan karier mereka tanpa sebarang masalah.
Sehubungan itu, Pergerakan Wanita Umno mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran spaya terus memperkasakan pelan integrasi guru tersebut bagi mencapai sasaran memperkukuhkan perpaduan kaum. Norhayati juga berkata, pergerakan itu mencadangkan supaya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus diperkasakan di semua sekolah di negara ini, bagi memartabatkan bahasa itu.
Dalam masa sama, beliau berkata bahasa Mandarin dan Tamil perlu diajar di sekolah kebangsaan.
Beliau juga meminta kerajaan membela nasib guru dan tidak segera menghukum mereka hanya akibat “pandangan salah” pihak tertentu berkaitan apa yang dianggap isu perkauman.- Bernama

 

 

 

Sejarah subjek wajib lulus SPM mulai 2013 – Berita Harian


Sejarah subjek wajib lulus SPM mulai 2013

2010/10/23

KUALA LUMPUR: Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Perkara ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.