Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014 – Utusan Malaysia


Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 24 Okt. – Selepas mengumumkan mata pelajaran Sejarah wajib lulus bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerajaan hari ini mengambil pendekatan menjadikannya sebagai subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penambahan baru juga akan dibuat pada mata pelajaran tersebut antaranya menekankan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan.

Ketika ini, katanya, unsur mata pelajaran Sejarah banyak ‘menumpang’ pada subjek Kajian Tempatan yang diajar kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah.

”Kita akan laksanakan subjek Sejarah ini bermula pada Tahap Satu dengan berkonsepkan education is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.

”Kita mahu jadikannya sebagai mata pelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, pihaknya perlu melatih semula guru mata pelajaran Sejarah sedia ada sebelum mata pelajaran tersebut boleh diajar kepada murid sekolah rendah.

Katanya, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk mengisi keperluan pembentukan negara Malaysia yang maju dan meningkatkan patriotisme rakyat agar generasi muda mengetahui asal-usul serta kepentingan menghormati Perlembagaan negara.

Mohd. Puad turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya keputusan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus akan membebankan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, subjek Sejarah akan diubah suai dengan dimasukkan elemen baru bagi menjadikannya lebih menarik dan efektif.

”Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air merupakan antara topik yang diberi keutamaan dalam subjek berkenaan bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pendidik disaran bina jaringan capai pendidikan khas berkualiti – Utusan Malaysia


Pendidik disaran bina jaringan capai pendidikan khas berkualiti

25/10/2010 3:42pm

 

MELAKA 25 Okt. – Warga pendidik di Asia Tenggara diminta membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik untuk merumus dasar dan strategi lebih berkesan untuk merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, mereka disarankan bertukar maklumat dan idea inovatif untuk memperkayakan pengetahuan dalam kedua-dua aspek yang amat penting itu.

“Dalam usaha untuk mencapai kesaksamaan gender, Malaysia telah memberi tumpuan pendidikan kepada kaum wanita dan hari ini lebih 65 peratus guru di sekolah rendah dan menengah di Malaysia terdiri daripada guru wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Serantau Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini. – Bernama