Pendidik disaran bina jaringan capai pendidikan khas berkualiti
MELAKA 25 Okt. – Warga pendidik di Asia Tenggara diminta membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik untuk merumus dasar dan strategi lebih berkesan untuk merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, mereka disarankan bertukar maklumat dan idea inovatif untuk memperkayakan pengetahuan dalam kedua-dua aspek yang amat penting itu.
“Dalam usaha untuk mencapai kesaksamaan gender, Malaysia telah memberi tumpuan pendidikan kepada kaum wanita dan hari ini lebih 65 peratus guru di sekolah rendah dan menengah di Malaysia terdiri daripada guru wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Serantau Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini. – Bernama