Peralatan sukan di 27 sekolah tidak digunakan secara optimum – Bernama


Peralatan sukan di 27 sekolah tidak digunakan secara optimum

2010/10/26

KUALA LUMPUR: Peralatan sukan bernilai RM783,955 yang dibekalkan kepada 27 sekolah oleh Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dan dibeli empat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak Disember 2007 didapati tidak digunakan langsung atau secara optimum.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, Peralatan sukan itu termasuk peralatan untuk gimnastik/mini gimnastik, bola tampar, olahraga, tenis dan golf.

Laporan itu berkata, ia disebabkan peralatan itu kurang sesuai dengan keperluan jurulatih dan atlet, tiada keperluan pihak sekolah sama ada tiada jurulatih atau atlet, peralatan dibekalkan melebihi keperluan atau tidak berpeluang menggunakan peralatan itu disebabkan ketiadaan atau kekurangan kemudahan tempat latihan di sekolah.

Menurut laporan itu lagi, peralatan sukan bernilai RM588,612 di 15 sekolah antaranya yang diterima sejak 2007 belum direkodkan ke Daftar Harta Modal, Daftar Inventori dan Daftar Stok Bekalan Pejabat atau Kad Petak.

“Bagi daftar aset yang diselenggara, maklumat aset tidak diisikan dengan lengkap dan kemas kini,” kata laporan itu.

Selain itu, peralatan sukan yang dibekalkan oleh Bahagian Sukan bernilai RM679,655 di 15 sekolah juga tidak disimpan di tempat yang bersesuaian dan secara teratur dan tanpa kawalan yang sewajarnya.

Laporan itu mencadangkan kementerian supaya memastikan setiap peralatan yang dibekalkan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Kementerian hendaklah merancang perolehan dengan mengambil kira keperluan jurulatih dan atlet serta mengagihkan segera peralatan sukan kepada sekolah yang memerlukan.

“Daftar aset di sekolah-sekolah hendaklah disediakan dan diselenggara dengan lengkap, kemas kini dan teratur bagi memudahkan kawalan dan rujukan.

“Masalah ketiadaan tempat atau tempat yang tidak mencukupi untuk penyimpanan peralatan sukan di sekolah hendaklah diatasi segera supaya peralatan sukan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat,” kata laporan itu. – BERNAMA

 

Kerajaan digesa rangka kaedah pengajaran, pembelajaran berkesan babit subjek Sejarah – Berita Harian


erajaan digesa rangka kaedah pengajaran, pembelajaran berkesan babit subjek Sejarah 2010/10/26 JITRA: Kementerian Pelajaran perlu merangka satu kaedah pengajaran dan pembelajaran berkesan membabitkan subjek Sejarah di semua sekolah seluruh negara bagi menarik minat pelajar terhadap subjek terbabit. Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG), Datuk Haili Dohlan, berkata IPG sedia untuk merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran baru terhadap subjek berkenaan yang bersesuaian dengan kehendak semasa, selaras dengan dasar kementerian menetapkan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 .

Beliau berkata, walaupun rekod pencapaian pelajar terhadap subjek Sejarah di peringkat SPM disifatkan baik kerana tidak ramai pelajar yang gagal dalam mata pelajaran itu, namun realitinya ia masih kurang diminati.

“Justeru, kita mahu memastikan Sejarah menjadi matapelajaran menarik kepada pelajar dan bukan sekadar fakta dan tarikh semata-mata, keadaan ini perlu bagi memastikan sejurus keluar daripada sistem pendidikan negara semangat nasionalisme dapat diterapkan dalam diri pelajar berkenaan.

“IPG sedang mengkaji keperluan dan peranan institusi ini untuk melatih guru sedia ada untuk melaksanakan pedagogi pengajaran dan pembelajaran berkesan terutama dalam subjek sejarah, selaras dasar diperkenalkan kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Guru 2010 di IPG Kampus Darul Aman di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan SPM mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya.

Syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam teks ucapannya yang dibacakan Haili berkata, dalam usaha meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme perguruan, agendanya bukan sekadar penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, tetapi bergantung kepada tahap kualiti, kompetensi diri dan semangat guru terbabit.

Beliau berkata, perkara ini penting kerana faktor berkenaan banyak mempengaruhi kualiti pendidikan negara di samping persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap kerjaya berkenaan yang akhirnya menentukan sejauh mana profesion itu akan terus dipandang tinggi dan dihormati.

“Kementerian Pelajaran memikul tanggungjawab yang besar dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara ke arah mencapai pendidikan bertaraf dunia dengan acuan sendiri dan berpegang kepada Gagasan 1Malaysia.

“Untuk memastikan sistem pendidikan kita sentiasa mencapai tahap cemerlang, pendidik mestilah memaparkan hasil budaya kerja berkualiti dan kualiti tidak seharusnya dilihat sebagai satu sifat luaran atau perkhidmatan tetapi ia sebenarnya satu ‘attitude of mind’ yang merangkumi sikap membuat kerja dengan betul pada kali pertama,” katanya.

Kenal pasti langkah tambah guru lelaki – Harian Metro


MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti langkah terbaik untuk meningkatkan jumlah guru lelaki dalam pengambilan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) pada masa akan datang bagi mengatasi dominasi gender cikgu wanita selaras dalam usaha bagi melahirkan modal insan berkualiti demi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berikutan jumlah bakal guru lelaki yang sedang melanjutkan pelajaran di semua 25 IPG di seluruh negara pada tahun ini didapati lebih rendah berbanding wanita dengan nisbah 2:1.
Menurutnya, daripada sejumlah 34,512 bakal guru yang sedang menimba ilmu, kira-kira 22,805 orang adalah wanita, manakala selebihnya lelaki.
“Saya tidak tahu adakah ini sudah suratan takdir atau (menjadi) satu cabaran yang harus kita berikan supaya pelajar (bakal guru) lelaki dan pegawai khas di kementerian (pelajaran) dapat meneliti untuk jangka masa panjang bagi menimbang ratio berkenaan.

“Tugas untuk mendidik anak tidak hanya terletak pada tangan wanita saja, ini penting dalam membentuk sahsiah bagi membangunkan personaliti, akhlak, moral dan pekerti disebabkan kita perlu mempunyai keseimbangan.
“Kerajaan tidak menafikan peranan wanita yang lebih ramai memilih bidang perguruan, tetapi memerlukan peranan lelaki untuk memantapkan institusi pendidikan negara yang berdepan cabaran bagi membentuk modal insan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.