Kerajaan digesa rangka kaedah pengajaran, pembelajaran berkesan babit subjek Sejarah – Berita Harian


erajaan digesa rangka kaedah pengajaran, pembelajaran berkesan babit subjek Sejarah 2010/10/26 JITRA: Kementerian Pelajaran perlu merangka satu kaedah pengajaran dan pembelajaran berkesan membabitkan subjek Sejarah di semua sekolah seluruh negara bagi menarik minat pelajar terhadap subjek terbabit. Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG), Datuk Haili Dohlan, berkata IPG sedia untuk merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran baru terhadap subjek berkenaan yang bersesuaian dengan kehendak semasa, selaras dengan dasar kementerian menetapkan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 .

Beliau berkata, walaupun rekod pencapaian pelajar terhadap subjek Sejarah di peringkat SPM disifatkan baik kerana tidak ramai pelajar yang gagal dalam mata pelajaran itu, namun realitinya ia masih kurang diminati.

“Justeru, kita mahu memastikan Sejarah menjadi matapelajaran menarik kepada pelajar dan bukan sekadar fakta dan tarikh semata-mata, keadaan ini perlu bagi memastikan sejurus keluar daripada sistem pendidikan negara semangat nasionalisme dapat diterapkan dalam diri pelajar berkenaan.

“IPG sedang mengkaji keperluan dan peranan institusi ini untuk melatih guru sedia ada untuk melaksanakan pedagogi pengajaran dan pembelajaran berkesan terutama dalam subjek sejarah, selaras dasar diperkenalkan kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Guru 2010 di IPG Kampus Darul Aman di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan SPM mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya.

Syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam teks ucapannya yang dibacakan Haili berkata, dalam usaha meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme perguruan, agendanya bukan sekadar penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, tetapi bergantung kepada tahap kualiti, kompetensi diri dan semangat guru terbabit.

Beliau berkata, perkara ini penting kerana faktor berkenaan banyak mempengaruhi kualiti pendidikan negara di samping persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap kerjaya berkenaan yang akhirnya menentukan sejauh mana profesion itu akan terus dipandang tinggi dan dihormati.

“Kementerian Pelajaran memikul tanggungjawab yang besar dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara ke arah mencapai pendidikan bertaraf dunia dengan acuan sendiri dan berpegang kepada Gagasan 1Malaysia.

“Untuk memastikan sistem pendidikan kita sentiasa mencapai tahap cemerlang, pendidik mestilah memaparkan hasil budaya kerja berkualiti dan kualiti tidak seharusnya dilihat sebagai satu sifat luaran atau perkhidmatan tetapi ia sebenarnya satu ‘attitude of mind’ yang merangkumi sikap membuat kerja dengan betul pada kali pertama,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s