Peralatan sukan di 27 sekolah tidak digunakan secara optimum – Bernama


Peralatan sukan di 27 sekolah tidak digunakan secara optimum

2010/10/26

KUALA LUMPUR: Peralatan sukan bernilai RM783,955 yang dibekalkan kepada 27 sekolah oleh Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dan dibeli empat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak Disember 2007 didapati tidak digunakan langsung atau secara optimum.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, Peralatan sukan itu termasuk peralatan untuk gimnastik/mini gimnastik, bola tampar, olahraga, tenis dan golf.

Laporan itu berkata, ia disebabkan peralatan itu kurang sesuai dengan keperluan jurulatih dan atlet, tiada keperluan pihak sekolah sama ada tiada jurulatih atau atlet, peralatan dibekalkan melebihi keperluan atau tidak berpeluang menggunakan peralatan itu disebabkan ketiadaan atau kekurangan kemudahan tempat latihan di sekolah.

Menurut laporan itu lagi, peralatan sukan bernilai RM588,612 di 15 sekolah antaranya yang diterima sejak 2007 belum direkodkan ke Daftar Harta Modal, Daftar Inventori dan Daftar Stok Bekalan Pejabat atau Kad Petak.

“Bagi daftar aset yang diselenggara, maklumat aset tidak diisikan dengan lengkap dan kemas kini,” kata laporan itu.

Selain itu, peralatan sukan yang dibekalkan oleh Bahagian Sukan bernilai RM679,655 di 15 sekolah juga tidak disimpan di tempat yang bersesuaian dan secara teratur dan tanpa kawalan yang sewajarnya.

Laporan itu mencadangkan kementerian supaya memastikan setiap peralatan yang dibekalkan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Kementerian hendaklah merancang perolehan dengan mengambil kira keperluan jurulatih dan atlet serta mengagihkan segera peralatan sukan kepada sekolah yang memerlukan.

“Daftar aset di sekolah-sekolah hendaklah disediakan dan diselenggara dengan lengkap, kemas kini dan teratur bagi memudahkan kawalan dan rujukan.

“Masalah ketiadaan tempat atau tempat yang tidak mencukupi untuk penyimpanan peralatan sukan di sekolah hendaklah diatasi segera supaya peralatan sukan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat,” kata laporan itu. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s