Wajib lulus Sejarah harus dipandang positif – Utusan Malaysia


Wajib lulus Sejarah harus dipandang positif

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Langkah kerajaan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus dipandang positif kerana ia bertujuan menjamin kemajuan generasi masa depan.

Tokoh Sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman berkata, jika tiada sebarang langkah diambil untuk meningkatkan pengetahuan sejarah golongan pelajar ketika ini, mungkin akan wujud masyarakat yang sentiasa mengulangi kesilapan sama.

“Jabatan Sejarah Universiti Malaya pernah membuat kajian 20 tahun dulu dan hasilnya sama seperti apa yang didapati hari ini iaitu warganegara buta sejarah.

“Oleh sebab itu kita perlu perubahan, kita tidak mahu lagi membincangkan soal sama 20 tahun akan datang, langkah kerajaan itu perlu diambil positif oleh semua pihak,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini mengenai ramai golongan muda negara ini yang buta sejarah.

Menurut Mohd. Taib, masalah buta sejarah di kalangan orang muda disebabkan mereka terlepas pandang untuk mengenali diri sendiri kerana sistem pendidikan yang menitikberatkan sains dan teknologi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Abdul Rahman Tang Abdullah berkata, mentaliti golongan muda yang menganggap Sejarah sebagai ‘pengetahuan asas’ merupakan salah satu punca yang menyebabkan mereka mengabaikan subjek itu.

“Isu buta Sejarah sudah wujud sejak dulu lagi namun tambah memburukkan apabila ramai di kalangan golongan muda hari ini yang menganggap Sejarah sebagai hanya pengetahuan asas dan bukan sebagai subjek Sejarah yang perlu dihayati,” katanya.

Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa berkata, persepsi mereka yang lebih berminat dengan bidang kejuruteraan serta kedoktoran bahawa sejarah tidak penting juga menjadikan ia semakin dilupakan.

Menurutnya, hasrat kerajaan itu seharusnya diambil berat oleh setiap rakyat agar generasi akan datang tidak lagi buta sejarah lebih-lebih lagi dalam membentuk sejarah bangsa.

Tambahnya, apabila mata pelajaran itu diwajibkan, pelajar akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan secara tidak langsung pada masa sama, mereka akan menghayati sejarah.

“Jika tidak, pelajar akan belajar Sejarah sambil lewa dan tidak penting dan kemudian gejala buta sejarah akan terus menular sehingga bila-bila,” katanya.

 

Panel Pembelajaran Sejarah dibentuk – Utusan Malaysia


Panel Pembelajaran Sejarah dibentuk

 

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 29 Okt. – Kabinet hari ini bersetuju membentuk Panel Pembelajaran Sejarah yang akan memastikan subjek wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan subjek teras di sekolah rendah pada 2014 itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang diperakukan fakta dan tidak diputarbelitkan sebagai alat politik.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini juga tidak menerima sebarang bantahan daripada anggota Jemaah Menteri untuk menjadikan Sejarah subjek wajib lulus seperti dicadangkan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 23 Oktober lalu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kepada Kabinet betapa Sejarah harus diberi penonjolan dan peranan dalam sistem pendidikan negara.

”Beliau menyatakan bahawa (keputusan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus) bukan sesuatu yang dibuat secara mendadak. Hujah ini sudah berjalan berdekad-dekad, tinggal lagi baru terasa oleh kerana keadaan sekeliling dengan teguran, tohmahan dan kejelikan pendapat-pendapat tertentu yang menidakkan sejarah (negara).

”Maka sebab itu beliau membawanya (isu itu) ke perhimpunan partinya (UMNO) dan UMNO kemudian bersetuju. Hari ini pula tidak ada bantahan daripada ahli-ahli Kabinet.

”Dalam soal ini, Kementerian Penerangan sendiri juga berperanan untuk menjelaskan mengapa pendirian ini diambil ditambah dengan keadaan sekarang ramai golongan muda seolah-olah buta sejarah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Selasa lalu, Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen mempersoalkan keputusan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus seperti diumumkan oleh Muhyiddin.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sepatutnya dibawa ke Kabinet, bukannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO.

Siew Fook turut melemparkan tuduhan bersifat melaga-lagakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) apabila mendakwa kononnya UMNO sahaja yang menentukan dasar kerajaan kerana keputusan Muhyiddin itu dibuat tanpa melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan komponen lain.

Rais bagaimanapun percaya isu mempertikaikan kewajaran menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM dan subjek teras di sekolah rendah itu tidak akan habis di situ.

”Badan-badan cauvinistik yang lain akan terus mempersoalkan inisiatif langkah yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

”Itu (pengumuman Muhyiddin) adalah satu langkah murni dan kita mesti menghormatinya demi menyatukan kebenaran dan realiti,” kata beliau.

Isu kepentingan pembelajaran Sejarah turut dihangatkan dengan penemuan terbaru hasil soal selidik Unit Khas Utusan Malaysia hari ini apabila mendapati ramai golongan muda negara ini buta sejarah.

Antaranya, Hari Kemerdekaan dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden seperti 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957.

Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun khususnya antara 16 hingga 20 tahun.

 

Guru perlu lebih kreatif tarik minat golongan muda – Utusan Malaysia


Guru perlu lebih kreatif tarik minat golongan muda

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Guru Sejarah perlu lebih kreatif dalam menyampaikan subjek tersebut agar pelajar tidak bosan dan secara langsung menarik minat golongan muda untuk menghayati sejarah.

Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa berkata, rata-rata pelajar tidak menyukai Sejarah disebabkan penyampaian guru terlalu serius serta terlalu banyak fakta perlu dihafal serta difahami.

“Sejarah bukan seperti subjek Sains dan Teknologi yang mudah menarik minat pelajar, maka dengan cara penyampaian yang lebih menarik dan kemas, pelajar akan lebih mudah memahaminya.

“Pendekatan seperti bercerita, lakonan atau lawatan ke tempat sejarah menjadikan ia menarik untuk dihayati dan sekali gus membolehkan pelajar memahami sejarah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai hasil soal selidik yang dijalankan mendapati ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda buta sejarah.

Hasil kajian ke atas 200 responden itu, terdapat di kalangan mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan dan nama Perdana Menteri pertama.

Malah tiada seorang pun yang berjaya menjawab kesemua 10 soalan mudah berkaitan sejarah dan kenegaraan yang dikemukakan kepada setiap responden.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Ketamadunan, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Rahman Tang Abdullah berkata, keputusan kerajaan melatih semula guru-guru Sejarah wajar bagi mengelak mereka hanya tahu membacakan teks kepada pelajar.

“Kebanyakan guru Sejarah di negara ini hanya membacakan teks yang terkandung di dalam buku kepada murid-murid mereka.

“Tambah menyedihkan apabila rata-rata mereka membiarkan murid-murid untuk memahami dan menilai sendiri sesuatu peristiwa sejarah itu. Ini tidak patut berlaku kerana murid-murid mungkin salah faham tentang sesuatu peristiwa sejarah,” katanya.

 

Elaun guru takmir seluruh negara naik – Utusan Malaysia


Elaun guru takmir seluruh negara naik

KUALA KANGSAR 29 Okt. – Kerajaan bersetuju menaikkan elaun guru-guru takmir di seluruh negara daripada RM40 kepada RM100 setiap kali mengajar.

Pelaksanaan kadar baru elaun itu akan berkuat kuasa pada Januari depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Halid Sintol berkata, kenaikan tersebut bertujuan menyelaraskan elaun yang diterima imam-imam dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) seperti diumumkan dalam Bajet 2011, baru-baru ini.

“Kementerian Kewangan telah bersetuju meluluskan elaun daripada RM40 sekarang kepada RM100. Maksimum guru-guru takmir mengajar ialah lapan kali sebulan bermakna mereka juga akan menerima elaun seperti guru-guru KAFA iaitu sebanyak RM800.

“Surat yang diterima memaklumkan pelaksanaannya bermula Januari 2011. Kita harap kementerian dapat salurkan peruntukan ini mengikut jadual,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Ijtima’ Sanawi Guru Takmir Peringkat Negeri Perak di Auditorium Kolej Islam Darul Ridzuan, di sini semalam.

Program sehari bertema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ tersebut dianjurkan bersama Jakim, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Acara perasmian disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang diwakilkan Pegawai Khasnya, Nasir Ismail.

Guru-guru takmir merupakan tenaga pengajar yang diiktiraf oleh Jakim dan jabatan agama Islam negeri untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau.

Menurut Abdul Halid, persetujuan menaikkan kadar elaun itu juga menandakan kesediaan kerajaan memberi komitmen tinggi kepada usaha perkembangan agama dan pendidikan Islam di kalangan masyarakat.

“Ia nikmat yang perlu disyukuri dan harus disusuli dengan usaha di kalangan guru takmir di masjid-masjid dan surau untuk membantu perkembangan dan memperkasa akidah serta ketinggian akhlak seterusnya melahirkan kekuatan komuniti Islam di negara ini,” kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Pengarah JAIPk, Mohd. Yusop Husin dalam ucapannya, meminta Jakim menambah pengambilan guru-guru takmir di negeri ini memandangkan bilangan mereka tidak mampu menampung jumlah masjid yang ada.

“Jumlah guru takmir di Perak ketika ini ialah 299 orang berbanding 615 masjid tidak termasuk surau-surau yang juga memerlukan penglibatan mereka.

“Kita harap dapat mencapai nisbah dua orang guru takmir untuk sebuah masjid bagi memudahkan urusan pengajaran dilakukan,” katanya.