Alimuddin bersara setelah 34 tahun berkhidmat – Utusan Malaysia


Alimuddin bersara setelah 34 tahun berkhidmat

Alimuddin Mohd. Dom bersama sebahagian pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Putrajaya, semalam, selepas mengetip kad perakam waktu tepat pukul 4.30 petang sempena persaraan beliau, semalam.


 

PUTRAJAYA 4 Nov. – Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, 58, yang bersara wajib hari ini setelah berkhidmat selama 34 tahun diraikan oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Pelajaran dalam suasana penuh terharu.

Beliau mengetip keluar kad perakam waktu bagi kali terakhir pada pukul 4.30 petang ini dan kemudian bersalaman dengan rakan-rakan sekerja dan kakitangan kementerian serta para pelajar sekolah.

Alimuddin yang memegang jawatan tersebut sejak Ogos 2007 menyifatkan perkhidmatan dalam bidang pendidikan begitu mencabar dan mempunyai tanggungjawab besar apatah lagi banyak dasar baru diperkenalkan semasa tempoh beliau menerajui jabatan tersebut.

“Alhamdulillah, saya telah mendapat sokongan kuat daripada para pegawai dan kakitangan kementerian sepanjang tempoh berkhidmat bagi memastikan segala usaha melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dapat dilakukan.

“Dasar-dasar baru itu perlu dilaksanakan seiring dengan perubahan dunia di mana negara-negara luar sedang mengubah sistem pendidikan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perpisahan bersama pegawai dan kakitangan kementerian di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Mazlilah Ahmad Mansor; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Rosli Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Badarudin Abd. Rahaman dan timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Norezan Bapoo Hashim; Dr. Khair Mohamad Yusof dan Datuk Asariah Mior Shaharuddin.

Alimuddin yang sebelum ini menjawat Penolong Ketua Pengarah Pelajaran menggantikan Datuk Dr. Ahmad Sipon yang bersara wajib pada Julai 2007.

Kepimpinan diterajui oleh Alimuddin juga menghadapi saat getir dengan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang penuh kontroversi sehingga akhirnya dimansuhkan oleh kerajaan pada tahun lalu.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan perkhidmatan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak pada 1976 dan pernah menjadi Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Alimuddin yang merupakan anak kelahiran Ayer Tawar, Perak berkata, sistem pelajaran di negara ini sudah berada di landasan yang betul dan segala pembaharuan dasar yang diperkenalkan kerajaan memberikan kebaikan kepada anak bangsa.

Katanya, ini termasuk mengehadkan pengambilan 10 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan para pelajar tidak terbeban dengan pendidikan yang terlampau bersifat akademik sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum yang lain.

“Dasar Satu Murid Satu Sukan juga diperkenalkan untuk memastikan budaya bersukan dipupuk dari alam persekolahan untuk menghasilkan pelajar yang cergas dan cerdas,” katanya.

Alimuddin yang terkenal dengan sifat peramah dan kaya dengan senyuman itu berkata, selepas ini beliau mahu berehat seketika bagi menyesuaikan diri dengan alam persaraan.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd. (YGMB) berazam meneruskan baktinya menerusi kegiatan dalam yayasan tersebut terutama dalam membantu warga pendidik.

“Melalui dana RM10 juta yang diumumkan oleh kerajaan kepada YGMB baru-baru ini, kita akan pastikan ia digunakan sepenuhnya.

“Kita akan pastikan warga pendidik akan menikmati sumbangan seperti khairat, bantuan anak-anak, sakit atau kemalangan selain memberikan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan dana,” katanya.

 

SPM tetap diteruskan 22 November walaupun calon terlibat banjir – Utusan Malaysia


SPM tetap diteruskan 22 November walaupun calon terlibat banjir

ALOR SETAR 4 Nov. – Kementerian Pelajaran tidak bercadang menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 22 November ini walaupun ramai calonnya terbabit dengan bencana banjir khususnya di negeri ini dan Perlis.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini ia masih boleh diadakan di negeri terbabit menerusi langkah-langkah yang telah diambil.

Katanya, Jabatan Pelajaran di negeri terlibat telah menyediakan perancangan rapi untuk mengatasi sebarang masalah berkaitan bagi membolehkan membolehkan calon terlibat menduduki peperiksaan tersebut.

Jelas beliau, antaranya adalah menyediakan asrama untuk pelajar terbabit atau memindahkan pusat-pusat peperiksaan yang terlibat dengan banjir ke tempat lain.

“Kementerian sendiri telah meminta sekolah-sekolah berasrama yang tidak terlibat dalam banjir dijadikan tempat penginapan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM.

“Malah jika perlu, Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang terlibat akan menyediakan kenderaan untuk kegunaan calon SPM,” tambah beliau.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, berikutan masalah banjir, semua Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) diarah membuka bilik operasi atau menyediakan talian hotline 24 jam bagi membantu pelajar yang bakal menduduki SPM.

“Kita tidak berkompromi jika ada pelajar tercicir daripada senarai bantuan atau mengalami kemalangan ketika banjir disebabkan jabatan atau PPD tidak mendapat maklumat tepat sehingga berlaku perkara itu.

“Kalau perlu pegawai jabatan atau PPD sendiri turut menyertai tugas-tugas menyelamat, mereka kena berbuat demikian,” katanya.

Mohd. Puad menjelaskan, setakat ini, sekolah-sekolah yang ditutup akibat banjir di negeri ini meningkat kepada 56 buah.

Berdasarkan statistik, kata beliau, 14,000 pelajar dilaporkan terlibat dalam banjir di Kota Setar, Padang Terap dan Kubang Pasu.

“Kubang Pasu paling ramai dengan 10,280 pelajar. Saya nasihatkan sekolah terlibat menggunakan pekeliling yang diedarkan kementerian di samping berhubung dengan bilik operasi banjir, pejabat daerah atau majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk sebarang tindakan,” kata beliau.