Belajar 5 jam dapat 5A – Harian Metro


Belajar 5 jam dapat 5A

Oleh Ibrahim Isa
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Semangat bersaing sesama adik-beradik membolehkan pasangan kembar, Farah Alia dan adiknya, Fatin Alia Mohd Zani, 12, memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pencapaian cemerlang dua beradik itu melengkapkan kejayaan Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam di sini apabila seramai 30 murid memperoleh 5A berbanding 19 murid tahun lalu.
Farah Alia anak sulung daripada empat beradik berkata, sikap ingin bersaing dengan adik kembarnya menyaksikan mereka sama-sama menelaah pelajaran setiap hari bagi memastikan memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

 

Katanya, setiap hari mereka meluangkan tiga jam mengulang kaji pelajaran selain dua jam tambahan melakukan tugasan sekolah sebelum tidur.
“Paling penting menjaga solat bagi memperoleh keberkatan dan ibu bapa kami menyediakan jadual harian.
“Setiap hari bermula jam 3 petang, kami akan menelaah selama tiga jam termasuk melakukan latih tubi bagi subjek tertentu bagi memastikan kami benar-benar mahir.

“Pada waktu malam pula, kami melakukan tugasan sekolah sebelum tidur jam 11 malam,” katanya.
Menurutnya, ibunya, Rohana Hashim, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Isa akan mengajar Matematik manakala bapanya, Mohd Zani Paimon, kakitangan Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd akan mengajar Bahasa Melayu di rumah.

Sementara itu, adik kembarnya, Fatin Alia berkata, bagi memastikan mereka mempunyai masa mengulang kaji pelajaran, ibu bapa meminta mereka dikecualikan mengikuti sekolah agama selama setahun.
Katanya, keadaan itu memberikan mereka lebih masa mengulangkaji pelajaran selain memberikan tumpuan penuh kerana tidak perlu mengambil peperiksaan di sekolah agama.

 

 

 

Subjek baru diperkenal – Berita Harian


Subjek baru diperkenal
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/11/12

Dunia Sains dan Teknologi dedah murid kemahiran ICT

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi akan diperkenalkan bagi murid Tahun Satu mulai tahun depan untuk menggantikan subjek Sains di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Mata pelajaran baru itu akan memberi pendedahan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara praktikal atau `hands-on’ bermula Tahun Satu, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan ilmu itu merentasi kurikulum untuk pembelajaran subjek lain.Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi secara bertulis dan projek ditentukan guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang terbabit dalam subjek baru itu sudah mula menjalani kursus peringkat daerah.

Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer.

“Pada dua minggu pertama, murid akan mempelajari Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting.
“Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi.

“Selepas pendedahan enam minggu, murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata pelajaran lain,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, Mohamed Sabri berkata, sains hayat akan mendedahkan murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk.

“Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik,” katanya.

Bagaimanapun bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Mohamed Sabri berkata, Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu menjelang sesi persekolahan tahun depan.

“Masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan makmal komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR,” katanya.

 

Peningkatan memberangsangkan – Utusan Malaysia


Peningkatan memberangsangkan

Anak yatim, Siti Nur Jannah Shahrir menunjukkan slip keputusan Peperiksaan UPSR 5A kepada neneknya, Azizah Mohd. Yusoff berlatar belakangkan kesan banjir yang melanda di Taman Uda, Alor Setar, semalam.


 

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Semua sekolah di seluruh negara mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 yang diumumkan, hari ini.

DI KUALA LUMPUR, seramai 2,548 calon UPSR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mencatat keputusan cemerlang semua A.

Bagaimanapun, keputusan itu mencatatkan sedikit penurunan iaitu 10.96 peratus tahun lepas yang mendapat keputusan sama berbanding 10.93 peratus tahun ini.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman berkata, jumlah peratus pelajar yang mendapat semua A itu pada tahun ini mewakili 10.93 peratus daripada jumlah calon keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan itu iaitu 23,305 orang.

DI SEREMBAN, seramai 2,324 orang calon negeri ini berjaya mencapai keputusan penuh 5A dan 7A, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Jamali Salam berkata, pencapaian cemerlang itu juga memperlihatkan peningkatan baik Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.01 peratus kepada 2.19, di mana nilainya berkurangan berbanding 2.20 pada tahun lalu.

DI KUANTAN, Pahang mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila keputusan UPSR menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, peningkatan keputusan kali ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 0.6 peratus iaitu kepada 69.02 peratus berbanding 68.39 peratus pada tahun lalu.

“Keputusan pada tahun ini begitu baik iaitu bukan sahaja peningkatan dari segi kuantiti tetapi kualiti secara keseluruhannya,” katanya.

DI SHAH ALAM, pencapaian keseluruhan calon yang menduduki UPSR mengikut Gred Purata Negeri di Selangor tahun ini meningkat 2.22 peratus berbanding 2.24 peratus tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Sulaiman Wak berkata, kejayaan itu turut disumbang oleh dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 4, Bangi dan SK Bukit Jelutong, Shah Alam yang masing-masing 120 muridnya mendapat 5A.

Sebuah lagi sekolah tambahnya,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Lick Hung, Petaling Perdana, Subang Jaya menyaksikan 115 muridnya mencapat keputusan yang sama.

DI HULU TERENGGANU, Terengganu mencipta sejarahnya tersendiri apabila sekali lagi muncul sebagai negeri terbaik keseluruhan dalam UPSR selama sedekad.

Seramai 3,560 orang daripada 23,147 calon UPSR di negeri itu mendapat semua A (15.4 peratus) dengan menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding tahun lalu.

Selain itu, daripada jumlah tersebut seramai 2,138 orang (9.2 peratus) mendapat 4A 1B manakala seramai 15,462 (66.8 peratus) mendapat minimum C dalam semua subjek.

DI IPOH, seramai 4,201 murid atau 9.99 peratus daripada 42,057 calon UPSR mencatat prestasi cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, bilangan murid yang mencatatkan keputusan penuh 5A atau 7A kali ini meningkat seramai 264 orang berbanding 3,937 murid pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1.21 peratus daripada 8.78 peratus.

DI KUCHING, seramai 2,035 daripada 43,265 calon UPSR dari Sarawak berjaya mencatat keputusan cemerlang iaitu mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Mortadza Alop berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 152 adalah dari sekolah kebangsaan (SK) dan 383 orang pula merupakan calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

DI ALOR SETAR, bilangan dan peratus calon UPSR yang memperoleh gred A bagi semua matapelajaran di negeri ini meningkat pada tahun ini dari 3,742 (9.36 peratus) pada 2009 kepada 3,866 (10.0 peratus).

Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Saad berkata, seramai 39,781 murid menduduki UPSR pada tahun ini.

Menurutnya, bilangan dan peratus calon yang berjaya mencapai tahap minimum bagi semua matapelajaran pada tahun ini adalah 24,208 bersamaan dengan 62.60 peratus.

 

48,327 calon UPSR dapat semua A – Utusan Malaysia


48,327 calon UPSR dapat semua A

 

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 11 Nov. – Seramai 48,327 daripada 482,334 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.

”Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

“Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.

”Pencapaian calon di bawah tahap penguasaan minimum di luar bandar juga menurun menandakan pencapaian mereka semakin baik,” katanya.

Abd. Ghafar berkata, bilangan calon istimewa pada tahun ini bertambah sebanyak 184 orang dan pencapaian baik mereka meningkat sebanyak 1.97 peratus manakala GPN bagi pencapaian keseluruhan meningkat sebanyak 0.02 peratus.

Menurut Abd. Ghafar, bagi prestasi mengikut pelajaran pula diukur mengikut Gred Purata Mata pelajaran (GPMP) dan analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu dibuat secara berasingan memandangkan bilangan waktu pembelajaran berbeza dan kertas soalan disediakan tidak setara.

Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK, terdapat peningkatan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun bagi Bahasa Melayu Penulisan bagi Gred A menurun sebanyak 8.9 peratus.

”Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK secara keseluruhannya meningkat dengan mencatatkan nilai GPMP sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.

”Di SJK pula, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan bagi Gred A menurun masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.4 peratus, bagaimanapun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris meningkat 2.69 peratus berbanding 2.8 peratus tahun lalu.

”Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, peratusan calon mendapat Gred A meningkat iaitu masing-masing 1.9 peratus dan 1.7 peratus daripada tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud diduduki semua pelajar Tahun Enam sebagai memberi gambaran tentang kebolehan dan kesediaan mental sebelum memasuki sekolah menengah.

Katanya, keputusan ujian itu yang dilaksanakan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

”Daripada keputusan ujian ini, kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional serta seni menunjukkan penurunan ketara pada tahun ini.

”Bagaimanapun, kecenderungan ini mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ujian tersebut telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi, kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan dan harus digunakan di peringkat nasional untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti pada masa depan.