Muhyiddin ucap tahniah kepada pelajar cemerlang UPSR – Bernama


Muhyiddin ucap tahniah kepada pelajar cemerlang UPSR

2010/11/13

KUALA LUMPUR: Sambil mengucapkan tahniah kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat keputusan cemerlang, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan mereka yang tidak berjaya supaya terus berusaha untuk masa depan. “Saya ucap tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Saya amat bangga dengan anda dan saya pasti ahli keluarga, guru anda dan seluruh negara juga mempunyai perasaan yang sama.

“Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik, perjalanan masih jauh lagi. Ini baru permulaan bagi perjalanan yang masih jauh. Banyak lagi yang boleh dicapai dan moga kita berusaha lebih gigih pada masa depan,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel hari ini.Muhyiddin kini berada di Yokohama bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) hingga Ahad ini.

Muhyiddin juga melahirkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru atas hasil kerja keras dan dedikasi mereka sehingga membawa kepada kejayaan itu.

“Kepada ibu bapa, saya ucap tahniah atas pencapaian anak-anak anda dan berharap usaha itu akan terus dijayakan bagi memberikan semangat dan sokongan yang diperlukan mereka.

“Bagi semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, saya percaya pencapaian anda akan menjadi contoh ikutan kepada yang lain. Saya harap anda akan terus gigih berusaha pada masa depan bagi mengekalkan kecemerlangan akademik anda dan menyumbang untuk pembangunan negara,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus meningkatkan kualiti pendidikan dan keputusan UPSR yang baru dikeluarkan itu adalah testimoni jelas mengenai usaha menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua.

Seramai 48,327 calon UPSR mendapat keputusan cemerlang semua A tahun ini, meningkat 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus tahun lepas. – BERNAMA

Arwah minta beli tudung labuh, telekung – Harian Metro


Arwah minta beli tudung labuh, telekung

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LENGGONG: “Arwah berperangai pelik apabila tiba-tiba meminta kami membelikannya tudung labuh dan telekung baru untuknya pada pagi hari kejadian dan selepas puas mendesak, isteri saya, Arabiah Alias, 58, bersetuju membelinya tetapi pada keesokan hari.

“Malah, dia juga beritahu mahu makan laksa sepuasnya di rumah saudara, Norhazita Taruddin di Kampung Pecah Batu, pada tengah hari dan mahu membeli pizza selepas itu,” kata Salleh Abdullah, 68, bapa kepada Fatin Nur Shahirah, 11, yang meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Arwah yang juga pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Bukit Balai, di sini, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas koma sejak 12 hari lalu apabila dirempuh sebuah kereta pada jam 12.30 tengah hari 31 Oktober lalu di Kilometer 1, Jalan Lenggong-Gerik di depan Dataran Lenggong.

 

Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya berjalan kaki untuk ke rumah saudaranya di Kampung Pecah Batu apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berasal dari Kampung Pahit, Gerik menghala ke Lenggong gagal mengelak mangsa yang berjalan di bahu jalan sebelum merempuhnya.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke jalan raya dan cedera parah di kepala. Mangsa yang pengsan sebelum disahkan koma dikejarkan ke HRPB untuk menerima rawatan di unit rawatan rapi.
“Saya sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat apabila dihubungi pihak hospital mengatakan anak bongsu kami daripada tujuh beradik sudah meninggal dunia. “Hancur luluh hati saya dan ahli keluarga lain kerana arwah tidak sempat memakai tudung labuh dan telekung baru dibelikan kami. Namun, kami reda menerima takdir ini,” katanya.

 

Pengetua didakwa palsukan 9 invois RM7,640 – Bernama


Pengetua didakwa palsukan 9 invois RM7,640

RAUB 12 Nov. – Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.

Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.

Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.

Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal.

Pada Disember 2006 pula, Chok Weng dituduh melakukan penipuan satu invois LZW Dagang mengenai pembekalan kertas latihan Bahasa Cina SPM Kertas 1 dan 2 yang bernilai RM200 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh LZW Dagang.

– bernama