53,674 duduki STPM – Berita Harian


53,674 duduki STPM2010/11/18

KUALA LUMPUR: Seramai 53,674 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 23 November hingga 16 Disember ini.

Daripada jumlah itu, 47,369 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,467 calon sekolah swasta, 4,593 calon persendirian individu, 235 calon sekolah kerajaan negeri dan 10 calon Sekolah Integriti.

Calon dinasihati pergi ke pusat peperiksaan terdekat dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat itu jika berlaku bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh yang menyukarkan calon sampai ke pusat peperiksaan yang sepatutnya.Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan hari ini, berkata bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh peperiksaan itu, MPM membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi dengan menelefon 03-61302666/61303606/61352035/61352390/61352316.

Bilik Gerakan itu beroperasi dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang sepanjang Isnin hingga Jumaat dalam tempoh peperiksaan STPM berlangsung.

Sementara itu, MPM turut mengingatkan calon supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC1 dan LPKC2) sepanjang peperiksaan di samping menyemak nama pusat peperiksaan.

Bagi yang tidak menerima atau kehilangan LPKC1 atau LPKC2, calon boleh melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my untuk mencetak butir pendaftaran mereka dan menggunakannya sebagai tiket menduduki peperiksaan. – BERNAMA

5 beradik ditinggal ibu rayu bantuan dapatkan MyKad – Berita Harian


5 beradik ditinggal ibu rayu bantuan dapatkan MyKad

2010/11/18

GERIK: Lima beradik yang kematian bapa dan kini ditinggalkan ibu sejak tujuh bulan lalu merayu pihak yang bersimpati tampil membantu mereka untuk mendapatkan MyKad bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah.

Mereka juga merayu agar ada pihak yang sudi membantu mereka untuk menyambung belajar.

Bapa adik beradik itu, Awang Bakar Jusoh, meninggal dunia pada 2 Oktober 2008 di Kuala Lumpur.Nur Syafiqah Abdullah, 14, memiliki sijil lahir tetapi gagal mendapatkan MyKad kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganggap dia bukan warga negara, dan disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan, dia tidak dibenarkan masuk ke tingkatan satu.

“Saya dan adik beradik berlainan bin dan binti kerana JPN kata surat nikah ibu dan ayah palsu, jadi kami diletakkan dengan bin atau binti Abdullah.

“Hanya dua adik Nur Syahidah (11 tahun) dan Muhammad Azhar (9 tahun) berbin dan berbintikan ayah iaitu Awang Bakar,” katanya ketika ditemui di sini.

Berikutan gagal diterima memasuki ke tingkatan satu sejak 2009, Nur Syafiqah kini tercicir dua tahun pengajiannya dan sepanjang tempoh itu dia hanya tinggal di rumah.
Bagaimanapun, Nur Syafiqah berkata dia tetap membaca buku rakan-rakannya yang bersimpati dan sering mengikuti perkembangan melalui berita di televisyen.

Katanya, sebelum ini beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Rampai di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur, dari darjah satu hingga enam.

Adiknya Muhammad Aidil Fitri, 5, masih belum mempunyai sijil kelahiran.

Nur Syafiqah dan empat adiknya kini menumpang di rumah abang mereka yang berlainan ibu, Mohd Irwandi Awang Bakar, di Kampung Bersia Lama, Bersia di sini.

Mohd Irwandi, seorang nelayan kecil Tasik Banding yang memperoleh pendapatan tidak seberapa, turut menanggung seorang isteri dan seorang anak.

Mereka kini tinggal di sebuah rumah yang dibina dengan bantuan penduduk kampung dan sumbangan peruntukan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Hasbulan Osman.

Bagaimanapun, Nur Syafiqah berkata beban yang ditanggung abangnya ringan sedikit kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gerik membantu mereka sebanyak RM150 sebulan sejak September lalu.

Mohd Irwandi pula berkata, dia terpaksa memikul tanggungjawab menjaga lima adiknya itu ibu kepada lima kanak-kanak itu bertindak menghilangkan diri.

“Saya merayu ibu tiri saya supaya kembali kepada adik bagi membantu menyelesaikan beberapa masalah yang berkaitan masa depan mareka,” katanya.

Mohd Irwandi boleh dihubungi di talian 019-5437025. – BERNAMA