Minda: KSSR bakal lahir minda kelas pertama – Harian Metro


PENDIDIKAN masih lagi menjadi bidang utama negara bagi membangunkan modal insan pada masa depan. Pembangunan bidang ini dengan pelbagai rancangan baru akan dapat membangunkan akal, hati dan jiwa manusia khususnya remaja bagi menghadapi dan melengkapkan diri ke arah negara maju. Menjelang pembukaan sekolah sesi pertama penggal persekolahan 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan pelbagai perancangan baru bertujuan membangunkan modal insan. Hanya melalui pendidikan di sekolah semua perancangan ini dapat direalisasikan. Lebih 500,000 pelajar baru akan memasuki tahun satu menjelang tahun depan dengan KPM memperkenalkan kurikulum baru iaitu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama diperkenalkan. Antara mata pelajaran baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual selain Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab yang akan diperkenalkan pada tahap satu. Seramai 126,171 guru sekolah rendah berperanan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi melaksanakan KSSR. Tanggungjawab ini sangat penting khususnya kepada guru-guru yang seharusnya memahami aspirasi dan tujuan pelaksanaan serta matlamat KSSR. Hanya melalui bidang pendidikan, modal insan berkualiti dapat diwujudkan iaitu mereka yang berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Bagi pelaksanaan kurikulum di sekolah menengah seramai 279,545 guru berperanan mewujudkan pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi. Oleh itu, kerajaan sangat menitikberatkan aspek pendidikan dan latihan yang disusun semula dan diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Melalui Pembentangan Bajet 2011, tidak lama dulu sistem pendidikan negara khususnya berkaitan dengan kurikulum akan dirombak dan diperbaiki dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing.

Untuk itu, KPM diperuntukkan RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru. Di samping itu, sejumlah RM213 juta lagi diperuntukkan kepada sekolah berprestasi tinggi selain imbuhan kepada guru cemerlang.
Pembangunan insan mestilah bermula di peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai-nilai murni dan nilai moral yang baik serta disemai dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran di peringkat sekolah.
Pemantapan kurikulum juga diadakan dengan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). Melalui mata pelajaran ini pelajar di sekolah rendah dan menengah diajar mengenai pendidikan kesihatan diri dan pendidikan kesihatan berkaitan seks.
Statistik KPM pada 30 Jun 2010, bilangan sekolah rendah sebanyak 7,695 buah, manakala sekolah menengah 2,248. Sementara bilangan murid sekolah rendah dan menengah ialah 5,407,865 orang. Ini membuktikan betapa besarnya bilangan modal insan yang akan dibangunkan pada masa depan.
Tanggungjawab dan peranan guru di setiap sekolah adalah melaksanakan kurikulum dan kokurikulum yang diperkenalkan oleh KPM. Selain itu, guru juga akan menghadapi masalah disiplin pelajar. Pada masa ini, hanya tiga peratus daripada keseluruhan pelajar terbabit dalam masalah salah laku disiplin sepanjang 2009.
Masalah tersebut ialah terbabit jenayah, ponteng sekolah, kelakuan kurang sopan, kekemasan diri, tidak mementingkan masa, kelucahan, vandalisme dan kenakalan. Masalah ini walaupun masalah biasa di sekolah tetapi ia harus ditangani dengan bijaksana oleh guru bagi melahirkan pelajar cemerlang.
Penguatkuasaan di sekolah serta kaunseling dan bimbingan akhlak sangat penting kepada pelajar yang bermasalah kerana melalui masalah tersebut ia menjadi punca pelajar terbabit kegiatan negatif seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi.
Peranan ibu bapa dan guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat menyekat dan mengekang kegiatan tersebut daripada menular dalam kalangan pelajar di sesebuah sekolah. Perluasan penggunaan sistem salah laku disiplin murid (SSDM) dan e-Disiplin bagi meningkatkan pemantauan masalah ini.
Kejayaan sesebuah sekolah dalam bidang akademik banyak bergantung pada masalah disiplin yang terkawal. Jika keadaan disiplin pelajar tidak terkawal berkemungkinan P&P di dalam kelas tidak dapat ditumpukan dengan sepenuh perhatian.
Pelbagai program boleh dilakukan sekolah dengan kerjasama jabatan dan kementerian antaranya kursus pembinaan sahsiah dan jati diri pelajar bermasalah, kursus penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi guru serta pengawas bagi mengawal masalah disiplin dan salah laku pelajar menjelang 2011.
Falsafah pendidikan jelas memaparkan ke arah pemantapan akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani. Keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat penting kepada setiap pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang.
Justeru, setiap guru berperanan menekankan aspek pendidikan dengan membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban insan di kalangan pelajar.
Semoga, tahun 2011 akan menjanjikan perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan di negara ini, khususnya bagi melahirkan modal insan yang beriman, berakhlak dan mempunyai jati diri yang unggul. Hanya di bahu merekalah kepimpinan negara pada masa depan terpikul dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana.

> Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

PR tak mampu naik gaji kakitangan awam – Utusan Malaysia


PR tak mampu naik gaji kakitangan awam

KUALA LUMPUR 25 Dis. – Pakatan Rakyat (PR) atau pembangkang tidak akan mampu melaksanakan kenaikan gaji kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir kerana ia bakal membabitkan satu perubahan fiskal yang amat besar.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh berkata, ini kerana kenaikan gaji sebanyak RM500 itu bukan sahaja memakan belanja yang terlalu banyak malah mampu memberi implikasi kewangan kepada negara.

Justeru, beliau menganggap janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar cakap kosong dalam usaha meraih sokongan rakyat.

“Mungkin mereka mampu memberikan bonus tahunan tetapi untuk menaikkan gaji kakitangan awam adalah amat tipis.

“Ini kerana kita perlu melihat berapa ramai kakitangan yang ada dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung setiap bulan bagi membayar kenaikan gaji itu.

“Malah, saya percaya, Timbalan Perdana Menteri sendiri berani membuat cabaran itu kerana sudah mengkaji implikasi dan tahu mereka tidak akan berani melakukannya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Anwar supaya menaikkan gaji sebanyak RM500 kepada kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu wajar sebagai membuktikan keikhlasan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang dalam membela nasib kakitangan awam dan pegawai-pegawainya.

Asri berkata, janji-janji manis pakatan pembangkang itu bukan sesuatu yang mustahil kerana mereka memang terkenal dengan sikap sedemikian.

Sedangkan, kata beliau, banyak janji yang dibuat tidak dikotakan dan dilaksanakan termasuk janji-janji manis yang ditabur pada pilihan raya umum lepas.

 

Hanya guru berkelayakan ajar BM – Utusan Malaysia


Hanya guru berkelayakan ajar BM

 

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 25 Dis. – Kementerian Pelajaran mengarahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menempatkan guru yang mempunyai kelayakan sahaja untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan ia selari dengan kehendak pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Guru yang mengajar Bahasa Malaysia untuk Tahun Satu dan Dua di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan perlu mempunyai kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi Tahun Tiga hingga Enam, guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah mereka yang memiliki opsyen ikhtisas Pengajian Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dipetik daripada laman web rasmi Kementerian Pelajaran, di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata, bagi SJKC dan SJKT dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah dipilih di kalangan guru berpengalaman dan boleh bertutur dwibahasa serta mempunyai kredit Bahasa Malaysia dalam SPM.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya semasa pelaksanaan proses penempatan, pertukaran dan penempatan semula guru di SJKC dan SJKT.

 

30,863 calon PMR peroleh A semua mata pelajaran – Berita Harian


30,863 calon PMR peroleh A semua mata pelajaran

2010/12/23

PUTRAJAYA: Seramai 30,863 daripada 439,456 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.65 peratus atau 2,675 calon berbanding lalu.

Keputusan PMR keseluruhan itu diumumkan Kementerian Pelajaran sebentar tadi.

 

Kerajaan gerakkan pelaksanaan program memperkasakan BM dan BI – Utusan Malaysia


Kerajaan gerakkan pelaksanaan program memperkasakan BM dan BI

Muhyiddin Yassin menerima sambutan meriah sewaktu Program Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Parlimen Sungai Besar yang diadakan di Sekolah Kebangsan Seri Sekinchan, Selangor, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon.


 

SABAK BERNAM 9 Dis. – Kerajaan kini sedang giat menumpukan usaha untuk menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.

Beliau berkata, ia juga bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu membawa perubahan besar dalam program transformasi kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan bagi melahirkan golongan muda yang berilmu.

”Kita juga akan memberikan tumpuan dalam bidang vokasional yang akan dikembangkan pada masa depan.

”Dalam masa yang sama, kita juga akan memberi penekanan terhadap konsep sukan di sekolah-sekolah untuk melahirkan pelajar yang cergas dan pintar menguasai ilmu,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekinchan yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon dan Pengarah Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak.

Lawatan Muhyiddin hari ini turut melakar sejarah kerana beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri pertama yang datang ke Sekinchan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa bangga kerana Malaysia diiktiraf sebagai antara negara yang terbaik dalam bidang pendidikan.

Bagaimanapun tegas beliau, usaha perlu diteruskan agar prestasi itu dapat ditingkatkan apalagi Malaysia sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

”Pendidikan amat penting kerana ia dapat mengubah nasib seseorang itu dan dapat membantu kita keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Muhyiddin turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan yang terletak kira-kira 500 meter dari SK Seri Sekinchan.

Semasa perjumpaan dengan pengetua SJKC Yoke Kuan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM1.5 juta untuk mendirikan bangunan tambahan di sekolah itu.