Thailand puji sistem pendidikan negara
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kementerian Pelajaran Thailand memuji sistem pendidikan negara ini yang dikatakan lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pelajar serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan.
Menterinya, Chinnaworn Boonyakiat berkata, kerjasama yang dijalinkan oleh kedua-dua negara dalam bidang pendidikan telah membawa kepada perubahan positif dari segi pencapaian serta perkembangan minda para pelajar.
“Kerjasama dari Malaysia yang menyediakan peluang pembelajaran kepada pelajar Thailand sama seperti pelajar lain dalam suasana selesa adalah suatu perkara yang amat baik sekali.
“Pihak kami amat menghargai dan berterima kasih dengan peluang yang sungguh besar maknanya kepada pelajar-pelajar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan rasminya ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau melihat sendiri serta beramah mesra bersama 28 pelajar Thailand yang menuntut di sekolah itu.
Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan SBP, Norlia Mohd. Shuhaili serta beberapa delegasi Thailand.
Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, kementerian sangat gembira dengan maklum balas dari pihak Thailand yang sangat berpuas hati dengan pencapaian pelajar-pelajar mereka di sekolah ini.
“Kami berharap agar program ini dapat diteruskan dan matlamat kerjasama antara kedua-dua negara akan mampu dicapai,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelajar-pelajar ini termasuklah skim pinjaman buku teks sama seperti pelajar-pelajar tempatan lain.
“Ia juga merupakan antara usaha untuk membantu rakyat di wilayah selatan Thailand yang bergolak itu untuk mendapat peluang pelajaran yang lebih sempurna.
“Suasana selesa dan aman di sini diharap akan membantu mereka belajar dengan lebih bersungguh-sungguh demi untuk mencapai kejayaan seterusnya dapat berkhidmat kepada negara mereka apabila dewasa kelak,” jelasnya.
Sehingga kini, katanya, terdapat kira-kira 180 pelajar lelaki dan perempuan dari wilayah selatan Thailand yang menuntut di beberapa sekolah negara ini.
“Selain SBPI Gombak, pelajar-pelajar ini turut ditempatkan di SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor dan SMAP Labu di Negeri Sembilan.
“Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian selama enam tahun di mana mereka perlu mengikuti kelas peralihan pada tahun pertamanya sebelum ke tingkatan satu sehinggalah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia,” tambahnya.
5.347493
115.727312
Like this:
Like Loading...