Perkosa anak saudara – Harian Metro


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup merogol anak saudaranya yang menumpang sementara di rumahnya di Taman Datuk Senu, di sini, pagi semalam selepas membawa gadis itu dari kampung untuk satu sesi temu duga.

Difahamkan, bapa mangsa yang juga abang kepada suspek meminta pertolongannya untuk menumpangkan anak perempuannya itu yang berusia 19 tahun sepanjang menjalani temu duga kerja itu.
Sebaik tiba di rumah suspek, mangsa yang keletihan tidur dalam satu bilik.

 

Menurut sumber, ketika tidur mangsa dikejutkan dengan kehadiran suspek yang berusia lingkungan 30-an itu.
“Difahamkan, lelaki terbabit mempunyai kunci pendua bilik berkenaan yang membolehkan masuk itu walaupun dikunci dari dalam.
“Suspek cuba menanggalkan pakaian mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tersentak dengan tindakan itu, mangsa cuba mempertahankan kehormatannya sebelum berlaku pergelutan antara mereka lebih 10 minit “Ketika itu, mangsa hanya mampu merayu, namun rayuannya tidak diendahkan suspek sebaliknya lelaki itu menjadi lebih agresif.
“Mangsa yang dipukul kemudian dirogol. Selepas 10 minit kemudian, suspek sekali lagi mahu merogol mangsa.

 

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa mengalami pendarahan pada bahagian kemaluannya menyebabkan suspek membatalkan niatnya itu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berjaya meloloskan diri dari rumah suspek meminta bantuan seorang jiran untuk menghubungi ahli keluarganya di kampung.
“Seorang lagi bapa saudaranya berusia lewat 30-an yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas mengambil mangsa di rumah suspek sebelum membawanya ke Balai Polis Sentul untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.
Difahamkan, mangsa masih trauma dengan insiden itu dilaporkan sedang berlindung di rumah ibu saudaranya dan dikatakan akan pulang ke kampung selepas siasatan selesai dilakukan pihak berkuasa.
Suspek ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 tengah hari, hari yang sama selepas polis menerima laporan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.

 

Keputusan kes tembak Aminulrasyid 17 Februari – Utusan Malaysia


SHAH ALAM 31 Jan. – Nasib anggota polis, Koperal Jenain Subi sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 17 Februari ini.

Hakim Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh tersebut selepas kedua-dua pihak selesai menggulung hujah masing-masing di akhir kes pendakwaan.

Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 hingga 2 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu dibicara mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia diwakili peguam-peguam M. Athimulan dan Salim Bashir.

Sepanjang perbicaraan, seramai 39 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani berhujah bahawa persoalan tentang terdapat dua penembak tidak timbul kerana kelongsong-kelongsong peluru milik tertuduh yang dijumpai berhampiran tempat kejadian.

Katanya, bukti itu disokong oleh keterangan tiga saksi yang juga anggota unit peronda mengesahkan bahawa Jenain melepaskan tembakan di Jalan Tarian 11/2.

“Kes itu tidak memerlukan ujian balistik kerana terdapat saksi-saksi yang melihat kejadian tembakan dilepaskan oleh tertuduh ke atas mangsa.

“Senjata api yang digunakan tertuduh juga telah dikenalpasti dan disahkan terdapat kekurangan peluru sebanyak 21 butir apabila ia dipulangkan semula,” hujahnya.

Menurut beliau, tindakan menembak mangsa juga tidak dilakukan secara gopoh atau cuai, sebaliknya ia dengan niat untuk menyebabkan kematian atas alasan tertuduh seorang yang cekap menggunakan senjata api.

Sementara kesan tembakan pada bahagian bawah kereta kononnya menunjukkan tertuduh tidak mempunyai niat hanya relevan sekiranya pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Satu das tembakan yang mengenai belakang kepala mangsa dari arah cermin belakang kereta BET 5023 menunjukkan tembakan itu diniatkan untuk menyebabkan bencana tubuh.

“Oleh kerana das-das tembakan yang dilepaskan tidak menyebabkan kereta berhenti, maka tembakan yang mengenai kepala mangsa, dilepaskan dengan niat, bukan secara gopoh atau cuai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar pula berhujah bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Aminulrasyid seperti memandu laju, melanggar lampu isyarat merah dan lain-lain kesalahan trafik tidak melemahkan kes pendakwaan atau menjejaskan pertuduhan.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Proton Iswara putih BET 5023 berada dalam ketakutan selepas dikejar oleh sekumpulan penunggang motosikal dan hanya mahu pulang ke rumah untuk berjumpa ibunya.

Jelasnya, kereta tersebut juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dikehendaki pihak berkuasa.

Berhubung kewujudan sebilah parang dalam kereta tersebut, beliau berhujah ia tidak relevan kerana mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

 

4,138 calon STAM peroleh sijil pangkat Maqbul – Utusan Malaysia


4,138 calon STAM peroleh sijil pangkat Maqbul

31/01/2011 12:43pm

 

PUTRAJAYA, 31 Jan — Seramai 4,138 atau 63.3 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, 413 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dengan 50 daripadanya mendapat gred cemerlang dalam kesemua 10 mata pelajaran, 804 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan 1,961 Jayyid (baik) dan selebihnya Maqbul.

Meskipun terdapat penurunan jumlah calon yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang), terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan iaitu pertambahan sebanyak 196 orang, Jayyid (554 orang) dan Maqbul(259) berbanding 2009, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata kesemua calon yang memperoleh sijil layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau ke Universiti Al-Azhar di Mesir. — Bernama