RM1b bekalan asas sekolah dua negeri
Oleh Faridzwan Abdul Ghafar
faridzwan@bharian.com.my
2011/02/06
66 SK, SMK baru dibina di seluruh negara tahun ini bagi menampung peningkatan pelajar
GEORGETOWN: Lebih RM1 bilion dibelanjakan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pelajaran bagi memastikan semua sekolah di Sabah dan Sarawak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia sebahagian daripada usaha penting bagi membangunkan prasarana semua sekolah terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.“Tahun lalu, semua sekolah di Sabah dan Sarawak sudah dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air. Tidak timbul lagi isu sekolah di sana terutama di pedalaman berdepan masalah kemudahan asas tidak sempurna seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pendidikan Akademik dan Sahsiah (PEKASA) anjuran UMNO bahagian Bukit Gelugor, di sini semalam. Hadir sama Ketua UMNO bahagian, Datuk Omar Faudzar dan Timbalannya, Abu Bakar Ahmad.
Terdahulu, Mohd Puad menyampaikan sumbangan buku latihan kepada 165 pelajar sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) dari keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 66 sekolah baru sudah dan akan beroperasi di seluruh negara tahun ini bagi menampung bilangan pelajar yang meningkat setiap tahun.
Katanya, sebanyak 14 SK dan 17 SMK yang baru dibuka Januari lalu manakala lapan SK dan 27 SMK akan mula beroperasi mulai bulan ini hingga Jun depan di seluruh negara, kecuali Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya yang belum mempunyai keperluan terhadap kemudahan itu.