Murid jantung berlubang mati selepas rebah di sekolah
2011/02/09
KULAIJAYA: Seorang murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar yang menghidap penyakit jantung berlubang meninggal dunia di hospital setelah rebah di sekolahnya di sini hari ini
Wong Chong Ren, 10, dikatakan rebah pada 7.15 pagi ketika menaiki tangga untuk ke kelasnya sebelum disedari oleh beberapa murid yang memaklumkannya kepada seorang guru.
Pihak pentadbiran sekolah membawa Chong Ren ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim namun dia meninggal dunia tidak lama kemudian.”Tak sangka sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini adalah yang terakhir bagi kami semua raikan bersama dia,” kata ayahnya Wong Kok Wan, 37, ketika ditemui di perkarangan bilik mayat hospital tersebut.
Wong yang bekerja di sebuah syarikat di Singapura, berkata Chong Ren menghidap penyakit jantung berlubang sejak kecil lagi dan sentiasa mendapat rawatan susulan.
Seorang lagu anak lelakinya, Keng Yew, 12, juga menghidap penyakit serupa.
Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Markom Giran, melawat keluarga Wong di hospital berkenaan. – BERNAMA