924 guru besar terima insentif RM7,500 – Berita Harian


924 guru besar terima insentif RM7,500

2011/02/10

PUTRAJAYA: Seramai 924 guru besar dari seluruh negara disenarai pendek untuk menerima insentif sebanyak RM7,500 seorang sebagai ganjaran kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Bai’ah), demikian diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 12.1 peratus guru besar berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal sebanyak dua peratus.

Katanya, senarai pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru akan diumumkan pada pertengahan tahun ini, dengan kemungkinan awal selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.”Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 guru besar yang disenarai pendek. InsyaAllah saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak dalam masa terdekat,” katanya pada majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin mengumumkan Tawaran Baru itu tahun lalu sebagai satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang menawarkan ganjaran kewangan kepada guru besar dan guru-guru yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah melepasi sasaran ditetapkan kementerian.

Di bawah tawaran itu, setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, seramai 14 orang dikenal pasti untuk menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah bagi mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan menambah baik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada pakar sejarah termasuk pensyarah universiti, wakil-wakil persatuan serta individu berkelayakan dalam pengajian sejarah dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita nak pastikan pelajar-pelajar kita memahami bukan sahaja sejarah negara tetapi juga sejarah serantau, antarabangsa dan tamadun-tamadun lain. Maka sudah sampai masa kita meneliti semula (kurikulum sejarah).

“Ini mengambil masa kerana kita nanti akan adakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dan masyarakat yang berminat selepas jawatankuasa ini mengemukakan draf pandangan mereka tentang kurikulum pembelajaran sejarah akan datang,” katanya.

Muhyiddin berkata, tidak semestinya akan berlaku perubahan besar terhadap kurikulum sejarah sedia ada, cuma mengambil kira perkembangan baru yang mungkin perlu dimasukkan dalam kurikulum mata pelajran itu.

Mengenai penarikan semula 400,000 Buku Teks Bahasa Inggeris untuk Tahun 1 kerana mengandungi pelbagai kesalahan, Muhyiddin berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengeluarkan buku teks baru bagi menggantikannya.

Beliau berkata, sementara buku teks baru itu diedarkan, pembelajaran mata pelajaran itu akan diteruskan dengan menggunakan mana-mana bahagian buku lama itu yang boleh digunakan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, secara keseluruhannya beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan pencapaian kementerian sepanjang tahun lalu yang berjaya mencapai sasaran terutama dalam bidang Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Tawaran Baru, Program Literasi dan Numerasi (Linus) dan Prasekolah.

Beliau berkata, daripada segi SBT, 30 buah sekolah lagi akan diiktiraf tahun ini, sementara saringan ketiga program Linus, iaitu program yang mengenal pasti tahap kemahiran dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid yang gagal menguasainya, mendapati seramai 85 peratus murid Tahun Satu menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi.

Tahun lalu menyaksikan 20 sekolah diumumkan sebagai SBT.

Daripada segi pendidikan prasekolah, seramai 701,114 murid prasekolah didaftarkan tahun lalu, iaitu pertambahan 54,700 murid berbanding 646,575 pada tahun sebelumnya, hasil daripada pembukaan kelas-kelas baru termasuk oleh pihak swasta iaitu sebanyak 625 buah.

“Tahun ini kita tetapkan sasaran lebih tinggi untuk keempat-empat perkara terbabit,” katanya. – BERNAMA

 


TPM serah bantuan persekolahan RM2.49 bilion – Berita Harian


TPM serah bantuan persekolahan RM2.49 bilion

2011/02/10

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyerahkan peruntukan bantuan persekolahan 2011 berjumlah RM2.49 bilion kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri dan tujuh bahagian di Kementerian Pelajaran.

Majlis berlangsung selepas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Menurut kenyataan kementerian, bantuan itu diberikan bagi merapatkan jurang pendidikan yang wujud antara murid di bandar dan di luar bandar, murid daripada golongan miskin dan berada, murid biasa dan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana.”Ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga dalam menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara serta memastikan anak-anak ini terus dapat bersekolah selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib 2003,” menurut kenyataan itu.

Agihan peruntukan itu dibuat melalui 22 jenis bantuan termasuk Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Pakaian Seragam Sekolah, Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti, Biasiswa Sukan, Elaun Murid Berkeperluan Khas, Yuran Khas Sekolah, Bantuan Makanan Asrama, Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Daripada segi Jabatan Pelajaran Negeri, Sarawak menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM393 juta, diikuti Sabah sebanyak RM246 juta, Selangor RM208 juta, Kelantan RM180 juta, Johor RM178 juta, Perak RM159 juta dan Kedah RM139 juta.

Bagi peringkat kementerian, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM117 juta, diikuti Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional sebanyak RM114 juta dan Bahagian Pendidikan Khas sebanyak RM99 juta.
“Kerajaan berharap pemberian bantuan persekolahan ini akan memberi motivasi kepada murid untuk terus menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran serta seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Gurubesar terima insentif RM7,000 – Berita Harian


Gurubesar terima insentif RM7,000

2011/02/10

KUALA LUMPUR: Gurubesar akan menerima RM7,000 seorang sebagai insentif berjaya meningkatkan kedudukan sekolah melepasi sasaran prestasi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

JKM cari waris kanak-kanak – Harian Metro


JKM cari waris kanak-kanak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Selangor mencari waris seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Abdul Rahim Mohammad (gambar) berusia 12 tahun.

Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Selangor, Nor Juhasmi Hassim, berkata Abdul Rahim dihantar seorang lelaki bagi membantu mencari ibu bapanya ekoran tiada pengenalan diri.
Katanya, lelaki berkenaan menjaga Abdul Rahim selepas menemui kanak-kanak itu di surau berhampiran Bukit Sentosa, Hulu Selangor seorang diri .

 

“Penjaga terbabit tidak dapat memulangkan Abdul Rahim kepada ahli keluarganya kerana tiada pengenalan diri,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau waris yang mengenali kanak-kanak ini boleh menghubungi JKM di talian 03-60641364 atau 03-60641430.

 

Cagar anak pada along – Harian Metro


Cagar anak pada along

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang bapa durjana bukan saja mencagarkan anak gadisnya untuk melunaskan hutang dengan ceti haram atau along, malah menganjurkan pakej pelancongan maksiat dengan membenarkan mereka membawa zuriatnya itu bercuti di luar negara.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay, berkata perkara itu berlaku gara-gara kegagalan lelaki 50-an terbabit melangsaikan hutang kira-kira RM150,000 kepada sindiket berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Beliau berkata, kecantikan dimiliki anaknya berusia 20-an termasuk bentuk tubuh menggiurkan selain wajah persis model dijadikan umpan oleh lelaki itu untuk terus berhutang dengan along di bandar raya ini.

Menurutnya, seorang ahli keluarga mendakwa lelaki terbabit ketagih berjudi di kasino di Singapura sehingga berhutang dengan along.

“Perbuatan lelaki itu bukan saja menghancurkan masa depan anak gadisnya, malah mengakibatkan dia terbabit pelbagai masalah sosial.
“Difahamkan pada awalnya gadis berkenaan membantah perjanjian bapanya dengan along itu kerana bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Namun, dia terdesak dan terpaksa akur kehendak bapanya hingga menjadi pemuas nafsu beberapa along termasuk lelaki mata keranjang yang seusia bapanya,” katanya.

Tay berkata, bagi mengelakkan sindiket along menuntut hutang, bapa gadis berkenaan menganjurkan pakej pelancongan maksiat bersama anak perempuannya bertujuan menghiburkan lintah darat itu.

Menurutnya, along juga bebas bercuti dengan gadis itu mengikut tempoh diingini.

“Malangnya, kini anak perempuan lelaki terbabit semakin selesa dengan gaya hidup barunya kerana turut dilimpahi kemewahan. Ketika kami menghubunginya dan menasihatkannya, dia enggan mengubah gaya hidupnya, sebaliknya mahu terus bergelumang dalam maksiat itu,” katanya.

Tay berkata, kes membabitkan pasangan anak beranak itu antara 500 laporan ancaman along terhadap peminjam diterima Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru sejak tiga tahun lalu.

“Pendedahan ini diharap menjadi pengajaran kepada orang ramai terutama penduduk di bandar raya ini supaya tidak berhutang dengan along selain membuang tabiat berjudi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tay menunjukkan Bintang Khidmat Terpuji yang diperoleh di Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, baru-baru ini.

 

21 pelajar sekolah, kolej ponteng diberkas – Utusan Malaysia


21 pelajar sekolah, kolej ponteng diberkas

KANGAR 9 Feb – Seramai 17 pelajar sebuah sekolah menengah, dua daripadanya perempuan yang ponteng sekolah dan leka menghisap rokok di sebuah rumah di sini, lari lintang pukang selepas kediaman itu diserbu anggota polis dan pihak sekolah.

Serbuan dilakukan lima anggota polis bersama pengetua dan dua guru disiplin sekolah terbabit di rumah itu yang terletak bersebelahan dengan sekolah kira-kira pukul 12 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, serbuan dilakukan di rumah dua tingkat setelah pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang tidak tahan dengan tindakan pelajar berkenaan kerana sering membuat bising di rumah itu.

“Ketika intipan dibuat, terdapat 21 pelajar, empat daripadanya pelajar kolej berdekatan sedang berbual-bual dan menghisap rokok dalam rumah tersebut,” katanya kepada para pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, polis yang cuba memasuki rumah tersebut gagal berbuat demikian kerana pintu berkunci dari dalam dan mereka terpaksa menunggu lebih lima minit sebelum salah seorang daripada mereka membuka pintu.

Dalam masa yang sama, katanya, para pelajar sekolah berkenaan termasuk ada antara mereka masih berpakaian sekolah cuba melarikan diri ke tingkat atas rumah tersebut namun berjaya ditahan.

Menurut Ismail, rumah berkenaan sering menjadi tumpuan para pelajar untuk ponteng sekolah dan ia merupakan rumah sewa salah seorang pelajar kolej yang berdekatan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 14 dan 20 tahun termasuk dua pelajar perempuan berusia 14 tahun.

”Mereka dibawa ke balai polis di sini untuk ujian saringan air kencing dan dokumentasi,” katanya.

Beliau menegaskan, pihak sekolah akan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk tujuan kaunseling.

Dalam pada itu katanya, pihak polis akan meneruskan operasi seperti itu bagi mencegah kegiatan ponteng sekolah di kalangan pelajar.