JITRA: “Saya mengesyaki anak saya mungkin tinggal di rumah kongsi bersama lelaki Myanmar yang melarikannya sejak tiga tahun lalu kerana dia tidak boleh bergerak ke mana-mana disebabkan tiada pengenalan diri.
“Apabila saya cuba menghubungi anak melalui telefon bimbitnya, dia seperti tidak berani memberitahu perkara sebenar, malah namanya juga sudah ditukar Ros,” kata Mohd Yussoff Ahmad.
Mohd Yussoff, 51, pesawah dari Kampung Naga, dekat sini, berkata, dia bimbangkan keselamatan anak perempuan bongsunya, Milhan, 18, kerana ketika meninggalkan rumah pada 2008, dia tidak membawa kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Menurutnya, ketika melarikan diri, Milhan dipercayai baru pulang dari sekolah dan rakannya mendakwa dia mengikut lelaki Myanmar dikenali sebagai Hasan kerana lelaki terbabit menyukai anaknya yang ketika itu masih belajar dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Agama Darussaadah, Kepala Batas, dekat sini.
Katanya, ketika itu, Hasan bekerja sebagai buruh binaan di projek perumahan satu kilometer dari rumah mereka dan menetap di rumah kongsi di situ.
“Anak saya pernah memberitahu ibunya, Khatijah Ismail, 49, lelaki terbabit sering mengganggunya terutama ketika pulang dari sekolah menyebabkan dia takut, tetapi kami menasihatkannya supaya jangan melayan dan menjaga diri.
“Isteri turut menemui surat ditulis anak saya dalam beg sekolahnya yang dia tidak sukakan Hasan dan surat itu ditemui beberapa hari selepas dia tidak pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Mohd Yussoff berkata, dia bimbang anaknya mungkin menjadi mangsa keadaan jika ditahan pihak berkuasa kerana tinggal bersama warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, dia juga bimbang anaknya itu dibawa pulang lelaki itu ke negara asal secara haram dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera mengesan anaknya.
“Isteri ada menghubunginya beberapa kali, tetapi kecewa apabila Milhan memberitahu dia berada di Kelantan dan tinggal bersama ‘keluarganya’ selain menggunakan banyak nama samaran.
“Kami masih kenal suara Milhan walaupun dia bertutur loghat Kelantan dan berharap dia berubah dan kembali ke pangkuan keluarga,” katanya yang mengesyaki anak perempuannya itu mungkin terkena ubat guna-guna.
Katanya, dia bersedia memaafkan anak bongsu daripada dua beradik itu jika pulang ke rumah dan berbincang secara baik jika benar mahu mengahwini lelaki Myanmar terbabit.
Menurutnya, dia membuat dua laporan kali pertama di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada 19 Januari 2008, disusuli laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu tidak lama kemudian.
“Kami sudah hilang punca mencarinya kerana sudah menghubungi semua rakannya termasuk guru di sekolah, tetapi mereka langsung tidak tahu di mana anak kami.
“Sesiapa yang mengenali dan pernah ternampak Milhan boleh menghubungi saya di talian 04-7141361 atau 013-4073697 atau balai polis berhampiran,” katanya.