Muhyiddin tinjau SMK Tutoh Apoh Khamis depan – Berita Harian


Muhyiddin tinjau SMK Tutoh Apoh Khamis depan

2011/02/12

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh, sebuah sekolah luar bandar di Long Panai, Baram yang sekolah paling kerap dilanda banjir di Malaysia akan menjadi tumpuan istimewa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan dua hari beliau ke Sarawak, mulai Khamis depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, akan menghadiri taklimat dan tinjauan ke sekolah berkenaan yang mendapat peruntukan dari kerajaan persekutuan sebanyak RM50 juta bagi membina semula bangunan baru sekolah itu selepas mengambil kira keadaannya yang semakin daif dan terjejas oleh banjir.

Menurut satu kenyataan daripada pejabat Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin dijadual menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Uma Beluvuh, Long Panai, yang mempunyai majoriti kaum Orang Ulu.Sebelum itu, Muhyiddin akan menaiki helikopter ke Ulu Lubai, Limbang bagi menghadiri majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort Dua di SK Ulu Lubai sebelum melakukan tinjauan mesra ke Rumah Panjang Tugang, Ulu Lubai.

Sebelah petang, beliau akan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di dewan masyarakat Batu Niah di Miri dan seterusnya berangkat ke Kuching untuk majlis pemimpin bersama rakyat bersempena dengan sambutan Chap Goh Mei di Hotel Hilton.

Pada Jumaat, Muhyiddin akan melawat Pusa di Betong untuk membuat tinjauan mesra dan sesi bersama rakyat di Pekan Pusa serta ke industri kecil gula apong dan kuih sepit di Kampung Pusa.

Beliau kemudiannya akan melawat Kampung Manggut, Spaoh di Betong untuk menghadiri perasmian Jalan Tuie/Supa/Manggut sebelum melawat Debak, juga di bahagian Betong.
Di Debak, Muhyiddin dijadual menunaikan solat Jumaat di masjid Darul Solihin dan seterusnya menghadiri majlis jamuan makan bersama rakyat di sana.

Muhyiddin akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat khas pada sebelah petang. – BERNAMA

 

Gigit peragut – Harian Metro


Gigit peragut

Oleh Saadiah Ismail
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: “Saya bergelut hampir 10 minit dan sempat menggigit tangan peragut itu kerana mahu mempertahankan rantai leher dipakai, namun dia berjaya merentap rantai itu,” kata seorang mangsa ragut dua lelaki bermotosikal, Kamariah Salim, 52, ketika ditemui di rumahnya di Pulau Gadong, Klebang Besar, dekat sini, semalam.

Kamariah yang juga guru agama berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dia sedang membersihkan pokok bunga bersama seorang rakan yang ketika itu berada di laman rumahnya.
Menurutnya, ketika sibuk mengalihkan batu untuk meletakkan pasu bunga, dia terlihat seorang lelaki dipercayai berusia 30-an melalui jalan di depan rumahnya dan jalan itu memang menjadi laluan untuk orang keluar masuk.

 

“Dia tiba-tiba terus menerpa ke arah saya dengan mencengkam leher dan menarik tudung bagi meragut rantai yang saya pakai,” katanya.
Menceritakan detik cemas itu, dia yang terkejut dengan tindakan itu terus mempertahankan barang kemasnya yang bernilai RM20,000 itu dengan bergelut 10 minit.
“Ketika bergelut, saya menjerit meminta tolong, namun mungkin ketika itu ramai tiada di rumah dan saya bergelut seorang diri hingga menggigit tangan peragut berkenaan.

“Tudung saya hampir terbuka dan peragut berjaya meragut rantai leher sebelum berlari ke arah rakannya yang menunggu,” katanya.

 

Dapat simpati – Harian Metro


Dapat simpati

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Terima kasih kepada pihak sekolah yang mengutip derma untuk anak saya, Afis. Dengan bantuan ini dan doa semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan murid mudah-mudahan Afis selamat menjalani pembedahan jantung serta kembali bersekolah seperti biasa.

“Saya ingin sampaikan salam dan terima kasih daripada keluarga kami kepada semua dan mendoakan semoga Allah melindungi seluruh warga sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 1,” kata Mohd Puad Hamidun, 36, bapa kepada Muhammmad Nur Afis, 7, yang menderita sakit jantung disiarkan Harian Metro sebelum ini.
Puad berkata, kos pembedahan Afis menelan belanja sebanyak RM50,000 dan pelbagai pihak sudah menghubunginya menyampaikan hasrat memberikan bantuan.

 

Menurutnya, sehingga kini sebanyak RM15,000 berjaya dikumpulkan hasil derma individu prihatin, sekolah dan ahli keluarga.
Katanya, terdapat agensi kerajaan yang sudah menghubunginya dan berjanji menyampaikan bantuan untuk menampung baki perbelanjaan belum mencukupi tetapi masih belum ada keputusan muktamad diperoleh daripada pihak berkenaan.
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada akhbar Harian Metro yang menyiarkan berita kerana jika tidak susah untuk kami mendapatkan bantuan seperti apa yang kami dapat sekarang,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan di SK Taman Universiti 1 yang dihadiri seramai lebih 1,000 murid dan 86 kakitangan sekolah termasuk guru semalam.

Sementara itu, penderitaan murid tahun satu berkenaan mendapat simpati daripada pihak sekolah apabila berjaya mengumpul sebanyak RM8,000 menerusi sumbangan daripada seluruh warga sekolah.
Guru Besarnya, Tumirah Jemon berkata, pihak sekolah amat bersimpati dengan nasib menimpa Muhammmad Nur Afis, 7, yang disifatkan cerdik dan mempunyai masa depan cerah.

Menurutnya, pihak sekolah melancarkan tabung kutipan derma serta membantu mencari penaja terdiri daripada individu dan korporat.
“Terima kasih di atas segala sumbangan diberikan bagi meringankan beban keluarga Nur Afis yang mengalami sakit jantung dan bakal menjalani pembedahan pada 23 Februari ini di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kami berharap adik Afis akan selamat menjalaninya dan kembali sihat ke pangkuan keluarga serta dapat bersekolah.
“Semoga berkat doa murid, guru, kakitangan dan semua pihak, semuanya berjalan lancar dan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menyangka murid berkenaan mengalami penyakit berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang kebiasaannya dilaporkan kepada pengurusan serta guru sekolah.
“Afis baru sebulan bersekolah di sini dan sebelum ini keluarganya menetap di Selangor. Sejak disiarkan akhbar Harian Metro pihak sekolah berusaha membantu sewajarnya dengan melancarkan tabung selain menulis surat kepada individu serta pihak korporat agar sudi menghulurkan sumbangan,” katanya.

 

 

 

4 pelajar IPTS rompak kafe siber – Harian Metro


4 pelajar IPTS rompak kafe siber

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERDANG: Bermodalkan tiga pistol automatik palsu, empat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Shah Alam nekad melakukan rompakan terhadap sebuah kafe Internet di Seri Kembangan, di sini.

Rancangan semua suspek berusia awal 20-an itu bagaimanapun gagal apabila dua daripada mereka ditahan sebaik keluar dari kafe terbabit. Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi Rabu lalu apabila suspek bersenjatakan pistol tiruan, parang panjang dan buku lima menyerbu masuk kafe itu.
Difahamkan, tiga daripada mereka ditugaskan melakukan rompakan manakala seorang lagi yang bertindak sebagai pemandu kereta dan menunggu di luar premis. Katanya, suspek masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar untuk mengelak identiti mereka dikesan sebelum mengacukan parang dan pistol palsu ke arah penjaga kafe berusia 23 tahun dan beberapa pelanggan.

 

“Penjaga itu yang cuba melawan dihentak dengan belakang pistol pada kepalanya hingga cedera.
“Mereka kemudian mengugut pelanggan supaya menyerahkan barangan berharga jika tidak mahu dicederakan,” katanya.
Menurutnya, polis yang mendapat maklumat kejadian mengepung kafe itu sebelum mencekup dua daripada mereka sebaik keluar.

Katanya, ketika kejadian berlaku sedikit pergelutan antara polis dan suspek sebelum seorang daripada mereka lari ke kereta yang sedia menanti sebelum meloloskan diri.
“Polis yang menahan dua suspek itu kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui dua pistol berwarna perak dan parang yang digunakan untuk menyamun,” katanya.

Bapa reda rahim anak dibuang – Harian Metro


Bapa reda rahim anak dibuang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Meskipun kami sedar Shakina tidak berpeluang mempunyai zuriat pada masa depan kerana hanya memiliki satu ovari, saya dan isteri tetap mendoakan yang terbaik buat dirinya,” kata Zakil Hussain Madon, 43, semalam.

Zakil berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu, Norshakina Najwa Zakil Hussain, 13, mengalami komplikasi usus dan rahim hingga perlu melakukan pembedahan membuang rahim bagi membolehkan aliran darah haidnya keluar secara normal.
Menurutnya, sejak dilahirkan, usus dan pundi kencing anak ketiga daripada empat beradik itu terkeluar hingga menyebabkan dia terpaksa melalui kira-kira enam pembedahan setakat ini.

 

Katanya, pembedahan ketujuh yang akan dilakukan pada akhir bulan ini atau awal bulan depan bertujuan membuang rahimnya.
“Pembedahan itu bagi mengelak Shakina dibedah setiap bulan bagi mengeluarkan darah haidnya yang tersumbat,” katanya.
Zakil berkata, Shakina yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas di sini, dijangka perlu menjalani pembedahan terakhir pada usia 19 tahun sebagai persediaan untuk berkeluarga.

Zakil berkata, kos keseluruhan pembedahan sebanyak enam kali sebelum ini mencecah perbelanjaan RM32,000. “Bagi pembedahan kali ketujuh ini, kami memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM15,000 dan pendapatan bersih saya kira-kira RM1,700 sebulan hanya mampu menampung perbelanjaan dapur dan persekolahan empat anak.
Orang ramai yang ingin menderma boleh menghantar cek atau wang pos atas nama The New Straits Times Press dengan menulis nama penerima di belakang cek dan menghantarnya kepada Unit Juruwang, Jabatan Kewangan NSTP/ Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Bagi maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 03-22823131 sambungan 6659.

 

 

Jaja gambar bogel – Harian Metro


Jaja gambar bogel

Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KESAL...Siti mendedahkan perkara terbabit kepada wartawan Harian Metro.
KESAL…Siti mendedahkan perkara terbabit kepada wartawan Harian Metro.

KAJANG: Mengaibkan apabila seorang gadis yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak hanya berminat menjalankan aktiviti menggoda suami orang, malah tidak segan silu merakamkan gambar bogelnya sebagai modal untuk memikat.

Pelajar berusia awal 20-an itu dikesan menggunakan laman web sosial di Internet untuk menjalankan kegiatannya dengan tujuan memperoleh wang mudah selain berniat mahu memporak-perandakan rumah tangga lelaki yang digoda.
Perkara terbabit didedahkan seorang ahli perniagaan wanita yang mengesan hubungan sulit suaminya dengan pelajar IPTA terlampau itu selepas menemui rakaman video gadis terbabit di dalam telefon bimbit suaminya.

 

Menurut wanita itu yang mahu dikenali sebagai Siti, 35, dia tidak menyangka pelajar terbabit menjual maruah diri dengan menghantar beberapa rakaman gambar bogel sendiri selain beberapa klip video yang menunjukkan aksi lucah.
“Saya melihat kiriman MMS bogel pelajar itu secara tidak sengaja ketika menyemak kandungan telefon bimbit suami. Tidak mahu perkara itu berlarutan, saya menghubungi pelajar itu untuk berbincang.
“Selepas didesak berulang kali, dia mengaku ia gambar bogel MMS dirinya, namun menafikan ada melakukan hubungan seks dengan suami saya,” kata dalam pertemuan dengan wartawan Harian Metro.

Menurut Siti, pada mulanya pelajar terbabit memohon maaf dan menyangka suaminya bujang, namun itu semua hanya lakonan kerana selepas itu dia masih menghantar klip video aksi lucah dan SMS kepada suaminya.
“Saya menghubunginya sekali lagi meminta dia menghentikan semua perbuatan buruknya supaya tidak mengganggu hubungan rumah tangga kami.

“Saya marah dia kerana tanpa segan silu menunjukkan aksi lucah dan gambar bogel kepada lelaki yang hanya dikenali melalui laman sembang sedangkan mereka belum mempunyai ikatan sah,” katanya.
Siti berkata, dia turut menakut-nakutkan gadis itu untuk menyebar gambar bogelnya di Internet.
“Selepas saya cakap macam itu baru dia merayu saya tidak berbuat demikian, selain berjanji akan memutuskan perhubungan dengan suami,” katanya.
Menurut Siti, suaminya mendakwa kini gadis itu sudah tidak ada apa-apa hubungan dengannya kerana dia mempunyai lelaki lain sebagai pengganti.
Katanya, gadis terbabit dikatakan masih mengulangi tabiat sama dengan menghantar gambar bogelnya kepada teman lelaki barunya dengan tujuan untuk menggoda.
“Saya tak sangka pelajar berpendidikan tinggi dan berpenampilan baik dengan memakai tudung tergamak berkelakuan jijik seperti itu dengan sengaja mahu menghancurkan rumah tangga orang lain.
“Lebih saya kesal, dia pernah mengugut mahu membuat laporan polis dengan dakwaan saya mengganggunya dan cuba menyebarkan gambar bogelnya,” kata Siti.
Ibu dua cahaya mata itu berkata, suaminya sudah meminta maaf dan berjanji tidak mengulangi kesilapan berkenaan.
“Ini satu pengajaran dan keburukan laman sembang sosial di Internet yang disalah gunakan bagi tujuan tidak bermoral apatah lagi membabitkan golongan remaja,” katanya.

 

 

 

Khidmat seks sempena Tahun Baru Cina RM1,888 – Utusan Malaysia


Khidmat seks sempena Tahun Baru Cina RM1,888

MIRI 11 Feb. – Sekumpulan pelajar perempuan di bandar raya ini dipercayai menawarkan khidmat seks menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada golongan lelaki kaya dengan bayaran RM1,888.

Bayaran itu ditawarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini yang meliputi ‘khidmat penuh’ dan pelanggan juga dialu-alukan untuk memberikan mereka angpau.

Tawaran panas diedar menerusi SMS kepada golongan tertentu sahaja iaitu lelaki berusia 40 tahun ke atas dan berkedudukan atau mempunyai kewangan yang kukuh.

SMS dalam bahasa Cina itu didakwa mula diedarkan sejak awal bulan ini dengan dihantar daripada seorang kepada seorang yang lain bagi memperluaskan jaringan pelanggan mereka.

Bagaimanapun, SMS tersebut diterima tanpa sengaja oleh wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina di sini semalam.

Menurut sumber daripada penerima, SMS berkenaan dihantar oleh pelajar sebuah sekolah menengah di sini, namun mereka enggan mendedahkan nama sekolah tersebut.

Selain sebagai pemuas nafsu, mereka juga ingin mencari ‘sugar daddy’ yang mampu membiayai kehidupan mereka sebagai remaja dan pelajar sekolah menengah.

Antara kandungan SMS tersebut berbunyi:

“Mesej ini hanya untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan bekerja. Kami berumur 17 tahun ke bawah dan mencari sugar daddy. Perlu menggunakan kenderaan persendirian untuk bertemu. Harga boleh dirunding. Hanya boleh ditemui selepas jam 10 malam. Sila kongsi maklumat ini kepada rakan-rakan yang boleh dipercayai.

“Untuk Tahun Baru Cina ini, kita tawarkan harga dengan khidmat penuh RM1,888. Terpulang kepada anda untuk memberi angpau.”

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai gejala terbaru itu memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan.

“Kita akan melakukan siasatan terperinci sekiranya menerima laporan daripada pengadu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang awam supaya melaporkannya jika menerima SMS tersebut bagi membolehkan pihak polis membanteras gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan pelajar terbabit.