PETALING JAYA: Kegiatan hidu gam di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini, meresahkan penduduk apabila menemui lambakan botol gam bersepah di sekitar kawasan berkenaan.
Lebih membimbangkan, kondom turut ditemui, sekali gus menyebabkan ibu bapa risau anak mereka terbabit sama dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Ketua Biro Keselamatan Penduduk Persatuan Penduduk Pangsapuri Damai, Azmi Ardi berkata, berikutan penemuan barangan itu, dia bersama beberapa penduduk pangsapuri mengambil keputusan mengadakan rondaan setiap malam bagi mengekang kejadian tidak berfaedah itu.
“Penghujung tahun lalu, kami berjaya menangkap murid perempuan berusia 11 tahun dalam keadaan khayal akibat penangan gam bersama beberapa rakannya.
“Akibat tidak tahan godaan rakan dan mudah terpengaruh, dia akhirnya turut hanyut dalam usia yang masih mentah,” katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.
Menurut Ardi, kegiatan menghidu gam antara yang popular di kalangan remaja di sini. Ia turut disertai remaja luar kawasan yang membawa rakan masing-masing.
“Pun begitu, Alhamdulillah, rondaan yang kerap dilakukan persatuan penduduk menyebabkan aktiviti itu berkurangan.
“Kami perlu kerap membuat rondaan supaya kegiatan itu tidak berterusan dan usaha itu memerlukan pengorbanan kerana meninggalkan isteri dan anak setiap malam,” katanya.
Dalam pada itu, ketiadaan kemudahan asas seperti padang bola sepak, gelanggang futsal dan kawasan beriadah lain antara punca kegiatan sosial berleluasa.
Timbalan Setiausaha Persatuan Penduduk Pangsapuri Idaman, Osman Yaman yang lebih 10 tahun menduduki kawasan berkenaan berkata, kekurangan kemudahan itu menyebabkan remaja lebih banyak menghabiskan masa 24 jam di kafe siber tanpa lesen yang tumbuh bak cendawan lepas hujan di kawasan itu.
“Perkara ini sering diajukan kepada pihak pemaju, namun hingga kini masih tiada tindakan diambil, menyebabkan kami semakin buntu.
“Di samping itu, ada ibu bapa tidak mahu mengakui kesilapan anak mereka dan terlalu memanjakannya hingga tidak sedar anak mereka tersasar,” katanya kepada media selepas ditemui di Pangsapuri Idaman, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan kegiatan jenayah sosial di kawasan itu berkurangan.
“Kami perlukan bantuan daripada masyarakat setempat bagi terus memerangi kadar jenayah dan akan sentiasa membuat pemantau bagi tujuan itu,” katanya.