Asmara dalam ‘kereta sakit’ – Berita Harian


Asmara dalam ‘kereta sakit’

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Memalukan apabila segelintir remaja dikesan menjadikan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Taman Bukit Margosa, Paroi, dekat sini, sebagai ‘port kereta sakit’ dipercayai untuk memadu asmara pada waktu tengah malam dan awal pagi sejak awal bulan lalu.

Kebanyakan mereka melakukan aktiviti itu di dalam kereta sama ada dengan meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya atau bergerak perlahan antara kawasan taman berkenaan ke Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, kira-kira dua kilometer.
Perbuatan mereka dikesan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Bukit Margosa yang melakukan operasi rondaan keselamatan setiap malam di kawasan taman terbabit dan menemui tiga hingga empat pasangan remaja memadu kasih dalam kenderaan.

 

Timbalan Pengerusi SRS taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 40, berkata dalam operasi baru-baru ini, pihaknya menemui dua pasangan remaja memadu kasih dalam dua kereta berasingan di tepi lebuh raya dan sebuah lagi bergerak perlahan di laluan kecemasan.
Menurutnya, kejadian disedari berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila empat anggota SRS yang menaiki dua motosikal mengekori kenderaan terbabit, namun mereka memecut kenderaan ke Jalan Seremban-Kuala Pilah sebaik menyedari diperhatikan.
“Kami percaya mereka memilih laluan berkenaan untuk melakukan aktiviti maksiat kerana menganggap kawasan terbabit agak sunyi pada waktu tengah malam dan awal pagi kerana kenderaan kurang melalui lebuh raya itu pada waktu itu.

“Bagaimanapun, mereka didapati tidak memikirkan kesan tindakan itu kerana boleh mengundang bahaya seperti dilanggar kenderaan lain kerana banyak kes membabitkan kemalangan di lebuh raya termasuk mereka yang meletakkan kenderaan di laluan kecemasan,” katanya.
Katanya, pihaknya tidak boleh menahan mereka kerana ia di luar bidang kuasa mereka, tetapi memantau bagi memastikan imej kawasan taman tidak terjejas selain kegiatan itu perlu dibanteras.

“Kami akan terus memantau kegiatan tidak bermoral itu supaya mereka tidak menjadikan kawasan ini sebagai ‘port’ untuk melakukan maksiat kerana sebelum ini pernah berlaku kes pasangan remaja hampir melanggar anggota SRS ketika dikejar,” katanya.
Azizul Rahman berkata, pihaknya berharap ibu bapa melaksanakan peranan mereka terutama dalam memantau pergerakan anak remaja perempuan masing-masing sebelum berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.
“Ibu bapa perlu membuat pemantauan terhadap pergerakan anak remaja mereka bagi mengelak nasib dan masa depan anak mereka terjejas disebabkan perbuatan sia-sia,” katanya.
Penduduk lain, Abd Aziz Abd Hamid, 49, berkata pihaknya meminta kerjasama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk memantau kawasan berkenaan bagi memastikan aktiviti tidak sihat itu berterusan.
“Pemantauan pihak berkuasa agama mampu mencegah kegiatan yang bukan saja bertentangan ajaran Islam,” katanya.

 

Nyaris jadi habuan – Berita Harian


Nyaris jadi habuan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Jika tidak kerana tindakan beraninya melawan, seorang pelajar perempuan mungkin menjadi habuan lelaki kemaruk seks yang cuba merogolnya dalam satu kejadian di sebuah flat di Taman Lembah Maju, di sini.

Malah, remaja berusia 16 tahun itu boleh dianggap berani kerana sanggup melawan lelaki terbabit yang bersenjatakan pisau.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, 7 Februari lalu ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah sebelum dia dihampiri lelaki terbabit sebaik tiba di tingkat lima berhampiran rumahnya.

 

“Mangsa menyedari ada seorang lelaki bertubuh agak gempal sedang memerhatikannya ketika dia menaiki tangga di tingkat empat flat itu.
“Bagaimanapun, mangsa tidak menghiraukan lelaki terbabit kerana menganggap kemungkinan dia penduduk di situ,” katanya.
Menurutnya, sejurus tiba di tingkat lima, lelaki berkenaan terus memegang mangsa dan meletakkan pisau kecil di lehernya sebelum mengheret remaja terbabit ke tempat sampah di tingkat tiga.

Katanya, sambil memegang mangsa, lelaki terbabit turut mengambil kesempatan dengan meraba seluruh badan remaja itu.
“Namun usahanya untuk merogol mangsa tidak berhasil apabila mangsa bertindak melawan dan cuba merampas pisau digunakan lelaki itu hingga berlaku sedikit pergelutan menyebabkan dia mengalami luka di jari.

“Namun, lelaki berkenaan masih memegang mangsa dengan erat dan remaja terbabit akhirnya menjerit sekuat hati membuatkan lelaki itu menjadi takut dan terus melepaskannya,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu turut memberitahu yang dia akan datang semula dan mangsa yang ketakutan terus lari ke rumah dan sejurus tiba dia menceritakan kejadian itu kepada ibu dan bapanya.
“Berikutan itu, mangsa membuat satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

 

 

 

Tanam anak belakang rumah – Berita Harian


Tanam anak belakang rumah

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DI SINI...Ashaari menunjukkan lubang tempat mayat bayi terbabit ditemui.
DI SINI…Ashaari menunjukkan lubang tempat mayat bayi terbabit ditemui.

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.
Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.

 

“Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, berikutan rasa was-was itu, dia enggan meminjamkan cangkul.
“Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.

“Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan,” katanya.

 

Belasah anak hingga cacat – Berita Harian


Belasah anak hingga cacat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KESAL...Ayu menunjukkan laporan polis dibuatnya dan gambar anggota badan anak yang cedera.
KESAL…Ayu menunjukkan laporan polis dibuatnya dan gambar anggota badan anak yang cedera.

KUALA KUBU BARU: Berang perancangannya untuk menambah isteri keempat gagal, seorang lelaki melepaskan kemarahannya dengan membelasah isteri pertama dan empat anaknya sehingga seorang daripada mereka mengalami kecacatan kekal.

Lelaki terbabit yang berusia lewat 30-an menjadikan lima tanggungannya itu sebagai mangsa selepas tahu isteri pertamanya membocorkan rahsia kepada calon isteri keempat mengenai statusnya yang memiliki tiga isteri.

Isteri pertama lelaki itu yang hanya mahu dikenal sebagai Ayu, 34, berkata kejadian itu berlaku berulang kali sejak 2006 sehingga mereka tidak sanggup menanggung penderitaan.

“Saya berkahwin dengannya pada 1996 dan pada 2000 saya dimadukan sebelum madu saya bertambah seorang lagi pada 2004. Dua tahun kemudian, saya dapat tahu suami saya nak tambah seorang lagi isteri.

“Saya dapat berhubungan dengan calon madu keempat saya itu. Jadi, saya maklumkan kepadanya suami sudah ada tiga isteri. Gadis itu terkejut dan batalkan hasrat untuk berkahwin dengan suami saya,” katanya.

Ayu berkata, kejadian itu menyebabkan suaminya marah dan mula bertindak ganas terhadapnya serta empat anak mereka, hanya anak bongsunya yang terselamat daripada menjadi mangsa.

“Saya sering ditumbuk, ditendang dan dipijak. Lebih teruk, pada hujung tahun lalu saya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas pengsan akibat dipukul suami.

“Di kalangan anak-anak pula, anak sulung saya (lelaki) paling teruk kena belasah. Pada 2006, ketika usianya lapan tahun kepalanya mengalami gegaran selepas dihentak dengan topi keledar. Akibatnya, dia menjadi kanak-kanak lembam dan keadaan itu kekal sampai sekarang,” katanya.

Menurut Ayu, anak perempuan kedua dan anak perempuan keempat pula yang masing-masing kini berusia 10 dan tujuh tahun selalu berbirat seluruh badan akibat disebat dengan tali pinggang dengan kejadian terbaru berlaku di rumah mereka di Subang Jaya, kira-hujung tahun lalu.

“Hanya anak perempuan bongsu berusia tiga tahun saja terselamat daripada kekejaman suami walaupun ada cubaan untuk menderanya,” katanya.

Ayu berkata, dia beberapa kali lari daripada suaminya dengan kali pertama pada 2006 dan berikutnya pada 2008, namun kembali semula akibat terpedaya pujukan serta helah licik suaminya.

“Ketika kali pertama saya meninggalkan dia bersama anak-anak pada 2006, suami menipu saya dengan mengatakan anak sulung kami sudah meninggal dunia kerana terlalu rindukan saya.

“Malah, dia juga membawa saya ke kubur kononnya anak kami dikebumikan. Selepas saya kembali ke pangkuannya, baru saya tahu dia hantar anak saya ke rumah anak yatim selepas membelasahnya dengan teruk,” kata Ayu.

Ayu berkata, suaminya yang tidak bekerja berkahwin tiga dan sebelum ini dia merelakan perbuatan lelaki terbabit kerana yakin suaminya berlaku adil.

“Bukan saya dan anak-anak saja selalu dibelasah, tapi isteri kedua dan ketiga berusia 20-an turut menjadi mangsa. Setahu saya isteri keduanya juga sudah meninggalkannya,” katanya yang kini membawa kelima-lima anaknya tinggal berasingan kerana sudah tidak tahan dengan kekejaman suaminya.

Selain itu, Ayu membuat laporan polis untuk memastikan suaminya tidak mengganggu dia anak-anaknya.

“Biarpun saya dan anak-anak kini berlindung dengan ahli keluarga, suami masih datang memaksa kami pulang ke rumah. Kami sudah memaafkannya, namun cukup penderitaan yang kami tanggung selama ini.

“Saya berharap dia bagi peluang saya dan anak-anak memulakan hidup baru,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan Ayu.

Sementara itu, aktivis Persatuan Pelindung Pengguna Islam Selangor, Abdul Aziz Ismail, berkata pihaknya bersedia memberi khidmat nasihat kepada Ayu berhubung krisis dihadapinya dan berharap ia diselesaikan secepat mungkin.

“Lebih penting ialah mereka sekeluarga terutama anak-anaknya dapat menikmati hidup seperti orang lain. Mungkin juga anaknya yang pernah melihat ibu mereka dipukul perlu menjalani sesi kaunseling bagi menghilangkan trauma yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

 

Tak mengaku rogol, liwat gadis 15 tahun – Berita Harian


Tak mengaku rogol, liwat gadis 15 tahun

2011/02/14

KUALA TERENGGANU: Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap pertuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur pada 2008.

Baharudin Mohammad, 39, dari Kampung Losong Panglima Perang, di sini, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun di rumahnya antara jam 10 malam hingga 5 pagi pada 7 dan 9 Januari 2008.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan atas tuduhan meliwat gadis sama pada jam 10 malam, 7 Januari 2008. Untuk kedua-dua pertuduhan itu, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur pada 20 Februari 2008.

Hakim Zainal Abidin Kamaruddin menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.

 

Pelajar antara lima ditahan bersama ganja – Berita Harian


Pelajar antara lima ditahan bersama ganja

2011/02/14

GEORGETOWN: Seorang pelajar tingkatan lima adalah antara lima lelaki yang ditahan dalam satu operasi membabitkan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM240,000 di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan S Batumalai, berkata kelima-lima mereka yang berusia antara 17 dan 50 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang di Jalan Air Itam.

“Berdasarkan maklumat awam dan intipan sejak seminggu lalu, sepasukan anggota polis dari JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang menahan sebuah kereta jenis Honda yang dinaiki oleh empat lelaki dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Air Itam di sini.”Hasil pemeriksaan ke atas kereta terbabit, polis menemui ketulan dadah seberat 61.3 kilogram bernilai kira-kira RM240,000 yang disembunyikan dalam satu ruang dalam kereta,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan mengekori kereta terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit.

Batumalai berkata, siasatan mendapati dadah itu adalah untuk edaran di sekitar negeri ini.

Katanya, salah seorang daripada mereka juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung. – BERNAMA

 

Anak diberi pilihan tinggal bersama ibu atau bapa – Utusan Malaysia


Anak diberi pilihan tinggal bersama ibu atau bapa

Zaimi Tumin dan Che Rozana Che Ismail ketika hadir mendengar kes tuntutan penjagaan anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu, semalam.


 

KUALA TERENGGANU 13 Feb. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan seorang pembantu kafeteria supaya membawa ketiga-tiga anaknya bersama pada perbicaraan akan datang bagi membolehkan mereka membuat keputusan sendiri sama ada ingin tinggal bersama ibu atau bapa mereka.

Hakim Syarie, Rosdi Harun membuat keputusan itu setelah Che Rozana Che Ismail, 32, yang bertindak selaku plaintif gagal mencapai persetujuan dengan defendan iaitu bekas suaminya, Zaimi Tumin, 37, dalam usaha mendapatkan hak penjagaan ke atas anak mereka.

Dalam penghakimannya Rosdi berkata, ketiga-tiga anak mereka, Mohammad Fairus Zaimi, 11; Nor Syafiqah Zaimi, 10 dan Suraya Hani Zaimi, 8, akan diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri demi masa depan mereka.

Katanya, perintah berkenaan dikeluarkan setelah memikirkan ketiga-tiga kanak-kanak itu hampir ‘mumaiyiz’ iaitu semakin membesar dan dapat membezakan sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk.

“Perbicaraan semula kes ini akan disambung pada 28 Februari ini. Bagaimanapun, saya mengalu-alukan sekiranya kedua-dua pihak ingin menyelesaikan perkara ini secara damai sebelum tarikh yang disebut,” katanya.

Terdahulu, kes itu terpaksa ditangguhkan setelah plaintif gagal meyakinkan mahkamah untuk mendapatkan nafkah dan hak penjagaan anak sepenuhnya daripada pihak defendan.

Mahkamah sebaliknya memutuskan supaya plaintif dan defendan menjalani semula ‘proses sulh’ atau perbincangan untuk menyelesaikan tuntutan tersebut.

Bagaimanapun, plaintif mengemukakan rayuan untuk mengadakan semula perbicaraan itu pada hari yang sama dan telah dipersetujui oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal dari Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKNT) turut hadir bagi memberi sokongan moral kepada Che Rozana.

Ahli Jawatankuasa kumpulan itu, Hamidah Wahab berkata, kebanyakan ahli kumpulannya menghadapi masalah yang hampir sama iaitu terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan tuntutan masing-masing.

“Dalam kes ini (Che Rozana) umpamanya, sudah dua tahun dia berusaha untuk menuntut nafkah dan hak penjagaan anak daripada bekas suaminya sejak bercerai pada 2008.

“Bagaimanapun, sehingga kini tuntutan itu masih belum berhasil,” ujar beliau.

Tambah Hamidah, selain memberikan sokongan moral, kumpulannya juga bertanggungjawab untuk melatih para ibu tunggal cara terbaik untuk menguruskan kes sendiri tanpa menggunakan khidmat peguam.