Dua beradik maut diberi racun oleh ibu
2011/02/15
KAJANG: Sepasang adik beradik perempuan ditemui mati di
rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini, malam tadi, selepas
dipercayai dipaksa minum racun oleh ibu kandung mereka yang mengalami sakit
mental. Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ibu mereka, yang turut meminum racun itu, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dandirawat di Hospital Serdang.
“Dua adik beradik malang itu, S.Rashmeka, 4, dan adiknya, S.Neeharika
Laxami, setahun, serta ibu mereka berusia 30 tahun ditemui di dalam bilik rumah
mereka kira-kira 8.30 malam oleh nenek dua beradik itu.
“Nenek mangsa yang curiga selepas mendapati pintu bilik tersebut berkunci
dari dalam, terus menghubungi bapa mangsa yang sedang bekerja di sebuah
kedai gunting rambut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Azman berkata apabila bapa kanak-kanak itu, yang berusia 33 tahun, memecah
pintu bilik tersebut, dia mendapati kedua-dua anak dan isterinya terbaring
bergelimpangan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau terus membawa mereka ke klinik berhampiran, dan doktor mengesahkan
kedua-dua adik beradik tersebut meninggal dunia, kata Azman.
“Hasil siasatan, kita mendapati ibu kedua kanak-kanak itu pernah menerima
rawatan psikatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006,” katanya, sambil
menjelaskan polis menolak kejadian itu ada unsur jenayah dari pihak luar.
Sementara itu, seorang lelaki tempatan ditemui mati dipercayai membunuh diri
di dalam sebuah bilik hotel New City di sini, awal pagi tadi.
Azman berkata Chong Yew Heung, 35, ditemui mati oleh seorang pekerja hotel
tersebut kira-kira pukul 1.45 pagi selepas terbau asap dari dalam bilik itu dan
setelah mengetuk tanpa jawapan, ia terus memecah pintu tersebut.
Pekerja hotel itu mendapati lelaki yang berasal dari Johor itu berada dalam
keadaan terbaring tidak sedarkan diri, katanya.
Azman berkata polis percaya Chong membunuh diri dengan membakar arang di
dalam bilik hotel itu, serta menutup semua lubang di dalam bilik tersebut
dengan pita pelekat yang menyebabkan ia lemas.
Beliau berkata mayat lelaki kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk
bedah siasat. — BERNAMA