Gadis tak pulang lepas membeli-belah – Harian Metro


Gadis tak pulang lepas membeli-belah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BUKIT MERTAJAM: “Kami sekeluarga tidak pernah mengguris perasaannya, malah menurut kemahuannya jika dia berhasrat melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya,” kata Rosli Hashim, 44, bapa kepada Nor Sharmiza Rosli, 19, yang hilang ketika membeli barang di pekan Bukit Mertajam pada 5 Februari lalu.

Nor Sharmiza yang bekerja di Kawasan Perusahaan Prai, dekat sini, didakwa keluar dari rumah di Kampung Bukit Teh kira-kira jam 3.30 petang dengan memakai seluar dan baju sukan berwarna hitam.
Rosli berkata, dia bimbang apabila anak sulung daripada lapan beradik itu tidak pulang ke rumah pada hari sama dan berusaha menghubunginya, tetapi telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.

 

Rosli yang bekerja kampung berkata, isterinya, Sharimah Othman, 40, berusaha mencari Nor Sharmiza atau dipanggil along termasuk menghubungi saudara serta rakannya, tetapi gagal menemuinya.
Katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Machang Bubok pada 7 Februari lalu.
Rosli berkata, dia ada menemui kekasih anaknya yang tinggal di Cherok Tok Kun, dekat sini, tetapi lelaki itu tidak mengetahui di mana Nor Sharmiza berada. “Saya sangat bimbangkan dirinya apatah lagi dia seorang yang lurus bendul,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Teh dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, selama 10 hari Nor Sharmiza tidak pulang, kedua-dua adik perempuannya iaitu Siti Zulaika, 5, dan Nur Maisarah, 4, merindui kakaknya itu sehingga mereka demam.
“Saya rayu supaya along pulang ke rumah segera kerana kami semua merindui along,” katanya. Mereka yang menemui Nor Sharmiza boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Rosli di talian 017-4614286.

 

 

Pelajar turun bas maut dirempuh teksi – Harian Metro


Pelajar turun bas maut dirempuh teksi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PARIT BUNTAR: Seorang pelajar maut manakala dua lagi rakannya parah selepas dilanggar sebuah teksi ketika turun dari bas sekolah dinaiki mereka di Kilometer 10, Jalan Baru, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa dikenali Siti Fatimah Ahmad, 13, berasal dari Teluk Pial Tengah, Kuala Kurau yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang (SMPBG), dekat sini, menghembuskan nafas terakhirnya ketika dirawat di Hospital Taiping (HT) pada jam 6 petang akibat parah di kepala dan anggota badan.
Sementara itu, dua lagi rakan sekolahnya yang juga pelajar tingkatan satu, Nurul Hasnani Mohd Sharuddin dan Nor Hasikin Yusri, masing-masing 13 tahun, parah dan masih dirawat di HT.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Radzuan Bachik, berkata kejadian berlaku selepas sebuah teksi yang dipercayai dipandu laju cuba mengelak melanggar bahagian belakang bas sekolah terbabit yang berhenti di tepi jalan bagi menurunkan mangsa sebelum memasuki laluan sebelah kiri lalu merempuh ketiga-tiga mangsa.
“Semua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Parit Buntar sebelum dipindahkan ke HT bagi rawatan lanjut. Bagaimanapun, Siti Fatimah meninggal dunia kira-kira jam 6 petang pada hari sama di HT. Mayat mangsa dituntut keluarganya selepas bedah siasat.
“Berikutan itu, seorang pemandu teksi berusia 68 tahun berasal dari Bagan Serai ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis,” katanya.

 

Budak merintih pak cik kaku dalam kereta – Harian Metro


Budak merintih pak cik kaku dalam kereta

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TUMPAT: “Tolong saya pak cik, bapa saudara saya tidak sedarkan diri dalam kereta,” rintih kanak-kanak berusia lapan tahun, Nik Mohamad Yusof yang meminta pertolongan sejurus bapa saudaranya dilihat tidak bernyawa ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, Nik Mohamad terpaksa keluar dari kereta Kancil dipandu bapa saudaranya, Rozila Azmi Abdul Aziz, 35, yang tidak sedarkan diri sejurus memberhentikan kenderaan berkenaan berhampiran lampu isyarat dekat Kota Kubang Labu, di sini.
Rintihan kanak-kanak terbabit menyebabkan orang ramai di kawasan berdekatan bergegas menghulurkan bantuan sebelum menghubungi polis dan mangsa dikejarkan ke Hospital Tumpat. Hasil bedah siasat mendapati lelaki terbabit maut akibat serangan jantung dan disahkan meninggal dunia di dalam kereta berkenaan.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Sharifuddin Yusof, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah bersama anak saudaranya selepas membantu ibunya membuka kedai di Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh, Kota Bharu.
“Berdasarkan laporan, mangsa yang memandu Perodua Kancil ditemani anak saudaranya dan dipercayai kedua-dua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jal Kechik, di sini.
“Ketika dalam perjalanan, mangsa memberhentikan kenderaan di bahu jalan dekat Kota Kubang Labu berhampiran lampu isyarat dan disahkan meninggal dunia dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Sharifudin berkata, dalam kejadian berkenaan kanak-kanak terbabit yang menyedari bapa saudaranya itu tidak bernyawa keluar dari kenderaan sebelum meminta pertolongan orang awam.
“Mangsa dipercayai mendapat serangan jantung berdasarkan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

 

 

Ajal lepas balik maulid – Berita Harian


Ajal lepas balik maulid

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...ibu mangsa, Jamilah (tengah) cuba ditenteramkan ahli keluarga selepas melihat jenazah anak bongsunya itu.
PILU…ibu mangsa, Jamilah (tengah) cuba ditenteramkan ahli keluarga selepas melihat jenazah anak bongsunya itu.
NGERI...keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil, Ahmad Jamal.
NGERI…keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil, Ahmad Jamal.

MELAKA: “Arwah baru balik dari majlis Maulidur Rasul di Masjid Kampung Kandang sebelum memberitahu keluarga dia mahu tidur di rumah neneknya. Ketika di sana, seorang rakan mengajaknya keluar sebelum mereka terbabit kemalangan itu,” kata Kamal Mahadi, 58, bapa saudara kepada Ahmad Jamal Roslan, 15, yang terbunuh dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Ayer Molek-Kandang, Lebuh Alor Gajah-Melaka (Lebuh AMJ), dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa dari Jalan Kandang Kilometer 1, Taman Kandang Mesra, dekat sini, yang membonceng terbunuh manakala rakannya Mohd Sah Sapuan Ahmad, 17, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi ICU) Hospital Melaka (HM) selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah van.
Menurut Kamal, mereka sekeluarga tidak mengetahui bagaimana arwah membonceng motosikal sedangkan ketika keluar rumah dia berjalan kaki dengan rakannya itu.

 

“Arwah sudah bersiap-siap masuk tidur sebelum rakannya itu datang. Kejadian ini amat menyedihkan namun kami sekeluarga reda dengan apa berlaku,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), semalam.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa, Jamilah Dolah, 43, dan Roslan Ibrahim, 44, enggan ditemubual kerana terlalu bersedih dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Sementara itu, seorang saksi kejadian mahu dikenali sebagai Sardi, 42, berkata dia melihat penunggang dan pembonceng motosikal tidak memakai topi keledar dari arah Ayer Molek menghala ke Kandang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

Pada masa sama, katanya dia yang berada di jalan bertentangan melihat sebuah van dari arah pusat bandar sedang bergerak meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau dan terlanggar motosikal terbabit.
Katanya, akibat perlanggaran itu motosikal itu terseret kira-kira 100 meter menyebabkan penunggangnya tercampak ke jalan bertentangan manakala pembonceng terbabit turut terpelanting di jalan sebelum van berhenti dan berpusing.

“Saya tergamam melihat kejadian itu yang berlaku begitu pantas selain seorang mangsa menggelupur kesakitan akibat kecederaan dialaminya sebelum ambulans tiba,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kemalangan itu namun enggan mengulas lanjut.

 

 

 

Remaja cedera ditembak semasa serang anggota UPP – Berita Harian


Remaja cedera ditembak semasa serang anggota UPP

2011/02/16

TUMPAT: Seorang remaja cedera parah setelah ditembak ketika beliau bersama sekumpulan lelaki menyerang empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di perkarangan Hospital Tumpat, di sini, hari ini.

Remaja berumur 19 tahun itu parah akibat terkena dua tembakan di bahagian rusuk kanannya dalam kejadian pada 9.20 pagi itu kerana menyangka saudaranya, Said Mat Hassan, 56, maut akibat dikasari anggota UPP berkenaan, kira-kira satu setengah jam sebelum itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

“Melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selepas menghantar Said ke hospital, anggota UPP itu pergi minum di sebuah kedai makan berdekatan hospital berkenaan dan tiba-tiba lima kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki berhenti di hadapan mereka.

“Beberapa lelaki bersenjatakan cota terus meluru dan menyerang keempat-empat anggota UPP. Akibat serangan bertubi-tubi, salah seorang anggota UPP melepaskan satu das tembakan amaran ke udara,” katanya.
Beliau berkata, tembakan itu tidak diendahkan kumpulan itu dan anggota UPP itu terpaksa melepaskan lagi tembakan bagi melindungi diri dan mengenai remaja berkenaan.

“Remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.

“Keempat-empat anggota UPP yang cedera itu pula dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu remaja terbabit yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu di sini berkata beliau terkejut apabila melihat anaknya rebah berlumuran darah akibat ditembak di depan matanya.

Katanya, ketika itu dia ke Hospital Tumpat untuk menziarahi jenazah Said. – BERNAMA

 

Larang jual minuman bergas – Berita Harian


Larang jual minuman bergas
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/02/16

Usaha kementerian galak pemakanan berkhasiat kepada pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran akan menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Kantin Sekolah Sihat meliputi larangan menjual minuman berkarbonat berjenama minuman bertenaga di kantin atau mesin layan diri di sekolah.Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata garis panduan itu turut menetapkan minuman berkenaan tidak digalakkan penjualannya di kantin atau koperasi sekolah.Beliau berkata, penyediaan garis panduan itu akan dimuktamadkan bersama antara kedua-dua kementerian bagi memastikan hanya makanan dan minuman berkhasiat dijual di sekolah.

Ketetapan itu katanya, berdasarkan kajian pakar mendapati kandungan utama minuman berkarbonat dan bertenaga mengandungi kadar gula yang dikategorikan tidak ada khasiat.

“Penyediaan garis panduan itu menyatakan sokongan gesaan melarang penjualan minuman berkarbonat dan bertenaga di kantin dan koperasi sekolah serta mesin layan diri seperti didedahkan Berita Harian, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rosnah berkata, bagi mengelak isu penjualan minuman itu berpanjangan, pihaknya mengharapkan hanya sajian disenaraikan pada garis panduan berkenaan dibenarkan dijual di kantin dan koperasi sekolah.
Beliau berkata, berdasarkan panel maklumat pemakanan pada label minuman ringan berkarbonat dan bertenaga, kandungan gula dalamnya tinggi iaitu 20 hingga 40 gram.

Jumlah itu bersamaan empat hingga lapan sudu teh bagi setiap 325 mililiter bungkusan atau tin.

Katanya, kementerian menyarankan rakyat mengambil minuman tanpa gula atau hanya menambah satu sudu teh gula bagi setiap cawan minuman jika perlu.

“Pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka panjang termasuk meningkatkan berat badan sehingga menyebabkan kegemukan,” katanya.

Akhbar ini dalam laporannya menyatakan minuman berkarbonat dengan jenama minuman bertenaga dijual secara berleluasa di kantin atau mesin layan diri.

Senario itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa kerana khuatir anak mereka disajikan dengan makanan dan minuman tidak berkhasiat di sekolah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Chin Yit Siew, berkata pengambilan berlebihan minuman bertenaga menyebabkan pelbagai penyakit antaranya kencing manis dan kegemukan.