23 sekolah lagi diiktiraf SBT – Berita Harian


23 sekolah lagi diiktiraf SBT

2011/02/17

LIMBANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan.

Beliau membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari sini, yang juga salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.

Katanya, sekolah-sekolah itu terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan; Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor;Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; SK Setiawangsa, Kuala Lumpur; SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang dan SJK(C) Lick Hung, Selangor.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tahun lalu 20 sekolah diumum sebagai SBT.

Berhubung pencapaian SK Ulu Lubai, Muhyiddin berkata, sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sejak 2006 dengan memperolehi kelulusan 100 peratus dalam UPSR.

Katanya, sekolah itu mengambil pelbagai inisiatif yang cukup luarbiasa sehingga membolehkan ia menjadi sekolah pedalaman pertama mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi.
Beliau berkata, sekolah itu juga pernah memenangi dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 peringkat negeri. – BERNAMA

 

Remaja ditembak – Utusan Malaysia


Remaja ditembak

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

 

TUMPAT 16 Feb. – Seorang remaja parah setelah terkena dua das tembakan ketika cuba menyerang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang dikatakan membelasah bapa saudaranya sehingga mati.

Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ini apabila remaja itu datang ke Hospital Tumpat (HT) di sini, bersama sekumpulan rakannya lalu bertindak menyerang empat anggota UPP yang berpakaian preman di sebuah kedai makan.

Berikutan itu berlaku pergelutan dan bagi mempertahankan diri, anggota tersebut telah melepaskan dua das tembakan yang mengenai remaja tersebut, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum kejadian, empat anggota itu telah menahan sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan di Kampung Tin dekat sini hari ini.

Katanya, penahanan pukul 7.45 pagi itu dibuat setelah anggota-anggota terbabit mengesyaki kenderaan berkenaan membawa barangan seludup.

Tambahnya, kereta itu dipandu Said Mat Hassan, 56, yang merupakan bapa saudara Ahmad Nizamuddin.

“Menyedari dia diekori, Said melarikan diri dan ketika mengejar berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan 4WD (kenderaan pacuan empat roda) UPP mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja ditahan, anggota itu melihat mulut Said berbuih dan mukanya dalam keadaan pucat lalu dia dibawa ke HT untuk rawatan. Namun dia meninggal dunia sejurus sampai di hospital.

“Sejurus dibawa masuk untuk pemeriksaan, anggota-anggota itu keluar dan minum di kedai di hadapan hospital sementara pemeriksaan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pada masa sama, lima buah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki datang ke kedai berkenaan dan terus menyerang anggota tersebut.

Katanya, tiga daripada anggota itu berjaya meloloskan diri.

“Seorang lagi iaitu anggota dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang ditugaskan di bawah UPP terus dibelasah dengan cota dan sebagainya.

“Ekoran itu, anggota tersebut cedera di kepala dan bagi mempertahankan diri, dia melepaskan dua das tembakan dan mengenai Ahmad Nizamuddin di perut dan dada kanan,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit kemudian dibawa ke HT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan kini keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kancil tersebut menemui 20 kampit beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Menurut Abdul Rahim, anggota UPP tersebut turut mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

 

ukan Melayu digalak mohon tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara – Utusan Malaysia


Bukan Melayu digalak mohon tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara

IPOH 16 Feb. – Masyarakat Cina dan India yang berminat dengan pendidikan awal kanak-kanak digalakkan memohon menjadi tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara (PAPN) bagi memenuhi keperluan operasi pusat berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan komunikasi, integrasi budaya serta toleransi di kalangan masyarakat majmuk memandangkan penyertaan bukan Melayu kurang daripada 10 peratus ketika ini.

“Misalnya di kawasan Felda yang banyak didiami orang Melayu, kita berharap dapatmenghantar guru daripada kaum lain supaya anak kita dapat didedahkan dengan budaya berbeza.

“Lagipun, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita berharap melalui peranan pendidik pelbagai bangsa, nilai hidup masyarakat majmuk dapat diterapkan sejak pendidikan awal kanak-kanak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Perak (Baiduri) ke PAPN Bercham di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga isteri kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada majlis tersebut, Baiduri menyampaikan sumbangan buah limau dan angpau kepada 31 kanak-kanak pelbagai bangsa di PAPN tersebut.

Dalam pada itu, Seai Kie berkata, pengambilan tenaga pengajar PAPN terbuka kepada mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda, diploma mahupun tamat pengajian tingkatan enam.

Menurut beliau, bagi tujuan latihan, pihak Permata telah melantik Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai agensi penyedia latihan mulai tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saripah berkata, terdapat lima PAPN yang beroperasi di negeri ini iaitu di Bercham, Felda Besout, Pulau Pangkor, Teluk Intan dan Parit Buntar.

Beliau berkata, melalui inisiatif kerajaan negeri, 10 taska di tempat kerja mengguna pakai modul Permata akan ditubuhkan di pejabat-pejabat tanah dan daerah termasuk di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Terdapat juga 23 buah Taska Permata Kemas di sekitar negeri Perak termasuk sebuah Taska Perpaduan di Taiping mengikuti modul Permata terutamanya bagi anak-anak golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji usaha PAPN Bercham yang disifatkannya menepati konsep 1Malaysia kerana menawarkan kelas bahasa Mandarin kepada anak-anak Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan rakan-rakan bukan Melayu.