Elaun guru takmir naik kepada RM100 satu sesi – Berita Harian


Elaun guru takmir naik kepada RM100 satu sesi

2011/02/18

KUALA LUMPUR: Seramai 3,692 guru takmir iaitu guru agama yang mengajar di masjid dan surau di seluruh negara menerima kenaikan elaun sebanyak RM800 sebulan berkuatkuasa bulan lalu.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sempena Multaqa Guru Takmir Kebangsaan dan Sambutan Jubli Perak ke-25 Program Takmir Masjid dan Surau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, elaun guru takmir ialah RM480 sebulan atau RM40 bagi setiap sesi dan kini dinaikkan kepada RM100 bagi setiap sesi. Biasanya, guru takmir mengajar lapan sesi pengajian di masjid dan surau.Sebanyak 6,119 masjid dan surau mengadakan 29,333 kelas takmir yang dimanfaatkan 1.5 juta umat Islam di negara ini.

Perdana Menteri, berkata dengan pemberian elaun berkenaan, imej guru takmir dapat ditingkatkan sesuai dengan martabat guru berkenaan yang menyebar dan mengembangkan lagi syiar Islam di negara ini.

Katanya, guru takmir adalah satu kumpulan yang sangat penting dalam membangunkan Islam dan umatnya di negara ini kerana mereka adalah kumpulan yang mengimarahkan dan memakmurkan masjid dan surau.

“Memakmurkan masjid berkait rapat dengan usaha membangunkan insan yang berkualiti sesuai dengan usaha membangunkan umat Islam dan maju selaras dengan proses transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,” katanya.
Najib turut mencadangkan supaya program takmir yang diadakan di masjid dan surau diberi pendekatan yang dapat menarik golongan muda menyertainya kerana kini hanya kira-kira lima peratus remaja saja mengikutinya.

“Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti alat multimedia akan dapat mengajak lebih ramai generasi muda menyertai program berkenaan seterusnya dapat menghasilkan modal insan yang sangat diperlukan untuk program transformasi yang dijalankan kerajaan kini,” katanya.

Kajian Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mendapati 65 peratus peserta program takmir adalah mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas.

Remaja perkosa budak 5 tahun – Harian Metro


Remaja perkosa budak 5 tahun

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Pencuri setan. Itu ungkapan layak diberikan kepada seorang remaja berusia 14 tahun yang merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas menyelinap masuk ke rumah mangsa di sebuah flat di Kepong, di sini, kelmarin.

Difahamkan, suspek dipercayai masuk ke rumah itu untuk mencuri, namun berubah fikiran selepas melihat kanak-kanak itu tidur sendirian dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum merogolnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kanak-kanak terbabit tinggal sendirian kerana ibu bapanya berusia 30-an berniaga di bawah flat berkenaan.

 

Menurut sumber, sebaik menyelinap masuk ke rumah mangsa, suspek yang berkeliaran dalam kediaman itu dipercayai mencari barangan berharga kemudian melihat kanak-kanak perempuan itu tidur sebelum merogolnya.
Beliau berkata, mangsa kemudian turun menemui ibu bapanya dalam keadaan menangis kerana sakit pada kemaluannya.
“Ibunya terkejut sebaik dimaklumkan kejadian terbabit. Pemeriksaan lanjut pasangan suami isteri itu mendapati kemaluan mangsa mengalami pendarahan teruk.

“Pasangan itu segera membawa anaknya ke hospital untuk diberikan rawatan,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, remaja terbabit diberkas polis di rumahnya yang juga berhampiran rumah mangsa dan akan direman lima hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.

 

Remaja perempuan patah kaki selepas rempuh dua kenderaan, pokok – Berita Harian


Remaja perempuan patah kaki selepas rempuh dua kenderaan, pokok

KODIANG: Akibat berselisih faham dengan keluarganya, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sini bukan setakat bertindak melarikan kereta bapanya, malah turut terbabit dalam dua kemalangan dalam tempoh kurang lima minit membabitkan jarak satu kilometer, pagi semalam.Tindakan nekad remaja masih bersekolah melarikan kereta Proton Wira milik bapanya itu bagaimanapun membawa padah apabila dia patah kaki kanan selepas kereta yang dipandunya merempuh pokok.Dalam kejadian pertama kira-kira jam 9.15 pagi semalam, remaja yang sepatutnya bersekolah dan melarikan kereta Proton Wira milik bapanya itu, merempuh motosikal ditunggangi seorang warga emas berusia 66 tahun di Kampung Batu Empat, Jalan Kodiang-Changlun.

Remaja terbabit bagaimanapun tidak menghentikan kenderaannya selepas merempuh motosikal terbabit menyebabkan warga emas berkenaan cedera ringan.

Tidak lama selepas itu dia melanggar sebuah kereta Perodua Kancil dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an sebelum kereta pelajar terbabit hilang kawalan dan berpusing, serta merempuh sebatang pokok di tepi jalan di Kampung Batu Lima, Jalan Kodiang-Changlun.

Kemalangan itu menyebabkan pelajar tingkatan dua terbabit patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata pelajar perempuan tingkatan dua dan tidak mempunyai lesen memandu itu, dikatakan berselisih faham dengan keluarganya petang kelmarin sebelum bertindak keluar rumah dengan memandu kereta bapanya tanpa diketahui hala tujunya.

Katanya, selepas menyedari kehilangan kereta berkenaan dan anaknya itu tidak pulang, ibunya membuat laporan di Balai Polis Tunjang petang kelmarin.

Beliau berkata, berdasarkan keupayaan pelajar terbabit memandu keretanya agak jauh, polis percaya dia sudah beberapa kali memandu kereta walaupun belum memiliki lesen memandu.

“Pelajar itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangardan polis akan mengambil keterangannya selepas keadaannya stabil,” katanya di sini, semalam. sambil berkata polis sedang menyiasat punca kejadian berkenaan dan perselisihan yang dikatakan berlaku antara dia dengan keluarganya.

Sawaludin berkata, berdasarkan keadaan kereta yang remuk teruk, polis percaya pelajar terbabit memandu laju menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan serta terbabit dalam dua kemalangan dalam tempoh hanya beberapa minit.

Katanya, polis boleh mengambil tindakan terhadap pemilik kereta terbabit kerana membenarkan ia dipandu remaja yang belum memiliki lesen memandu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan yang mendatangkan kecederaan,” katanya.

Jadikan Perlembagaan Negara mata pelajaran di sekolah – Berita Harian


Jadikan Perlembagaan Negara mata pelajaran di sekolah

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Perlembagaan Persekutuan wajar dijadikan mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara kerana konsep keadilan di dalamnya perlu difahami secara menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemahaman terhadap Perlembagaan Negara tidak memadai hanya menerusi pembacaan atau rujukan daripada tulisan-tulisan pihak tertentu.

“Keseimbangan dalam Perlembagaan Negara boleh difahami dengan lebih jelas sekiranya ia dijadikan mata pelajaran di sekolah. Jika kita faham mengenai perkara ini, baru kita dapatmemahami mengenai keadilan dalam perlembagaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam diskusi bertajuk Cabaran Semasa Sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Dr. Mahathir berkata, cadangan Perlembagaan Negara sebagai mata pelajaran boleh menyokong dasar kerajaan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai 2013.

Begitu pun, jelas beliau, buku teks Sejarah itu perlu disemak semula kerana ia tidak sepenuhnya memasukkan elemen sejarah apabila banyak fakta penting yang boleh membentuk kesetiaan kepada negara tidak dimasukkan.

Tambah beliau, disebabkan terlalu mengambil perhatian terhadap sensitiviti kaum tertentu, kandungan buku teks itu tidak lagi bersifat Sejarah sebaliknya lebih kepada cerita dongeng.

“Ia sepatutnya memaparkan perkara yang benar-benar berlaku, bagaimana asal-usul negara ini dan apa yang menyebabkan perubahan sehingga hari ini kita dikenali sebagai negara Malaysia,” katanya.

Kepada satu persoalan mengenai pengekalan sekolah aliran sedangkan sudah diketahui ia boleh menghalang kepada perpaduan, Dr. Mahathir berkata, ia satu perjanjian yang sudah diikat oleh pemimpin-pemimpin pelbagai kaum terdahulu dan perlu dihormati.

Beliau mencadangkan dalam mengurangkan jurang perbezaan antara kaum itu, setiap sekolah aliran boleh diletakkan di dalam satu kawasan yang sama dengan sekolah kebangsaan yang dirujuk beliau seperti sebuah kampus.

“Sekolah aliran masih boleh menggunakan bahasa ibunda masing-masing tetapi pelajar-pelajarnya perlu bercampur apabila melibatkan aktiviti lain seperti sukan dan sebagainya.

“Pelajar-pelajar ini perlu didedahkan bahawa masa depan mereka bukan melibatkan kaum mereka sahaja seperti di sekolah,” kata beliau.

 

Macam-macam: Guru sembur pewangi kerana murid bau kari – Berita Harian


Macam-macam: Guru sembur pewangi kerana murid bau kari

2011/02/18

LONDON: Seorang guru tadika di Britain dilarang mengajar selama dua tahun selepas dia didapati menyembur penyegar udara ke arah sekumpulan murid Asia termasuk dari India dan Bangladesh dengan alasan mereka berbau kari.

Majlis Guru Am Bagi Wales (GCTW) diberitahu bahawa Elizabeth Davies, 50, menyembur penyegar udara setiap pagi ke arah murid terbabit selepas mendakwa mereka berbau ‘kari atau bawang’.

“Perbuatan beliau tidak mencerminkan sikap seorang guru selain menjejaskan maruah kanak-kanak berkenaan yang mesti sentiasa dilindungi,” kata Pengerusi GCTW, Peter Williams. – Agensi