Jadikan Perlembagaan Negara mata pelajaran di sekolah – Berita Harian


Jadikan Perlembagaan Negara mata pelajaran di sekolah

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Perlembagaan Persekutuan wajar dijadikan mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara kerana konsep keadilan di dalamnya perlu difahami secara menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemahaman terhadap Perlembagaan Negara tidak memadai hanya menerusi pembacaan atau rujukan daripada tulisan-tulisan pihak tertentu.

“Keseimbangan dalam Perlembagaan Negara boleh difahami dengan lebih jelas sekiranya ia dijadikan mata pelajaran di sekolah. Jika kita faham mengenai perkara ini, baru kita dapatmemahami mengenai keadilan dalam perlembagaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam diskusi bertajuk Cabaran Semasa Sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Dr. Mahathir berkata, cadangan Perlembagaan Negara sebagai mata pelajaran boleh menyokong dasar kerajaan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai 2013.

Begitu pun, jelas beliau, buku teks Sejarah itu perlu disemak semula kerana ia tidak sepenuhnya memasukkan elemen sejarah apabila banyak fakta penting yang boleh membentuk kesetiaan kepada negara tidak dimasukkan.

Tambah beliau, disebabkan terlalu mengambil perhatian terhadap sensitiviti kaum tertentu, kandungan buku teks itu tidak lagi bersifat Sejarah sebaliknya lebih kepada cerita dongeng.

“Ia sepatutnya memaparkan perkara yang benar-benar berlaku, bagaimana asal-usul negara ini dan apa yang menyebabkan perubahan sehingga hari ini kita dikenali sebagai negara Malaysia,” katanya.

Kepada satu persoalan mengenai pengekalan sekolah aliran sedangkan sudah diketahui ia boleh menghalang kepada perpaduan, Dr. Mahathir berkata, ia satu perjanjian yang sudah diikat oleh pemimpin-pemimpin pelbagai kaum terdahulu dan perlu dihormati.

Beliau mencadangkan dalam mengurangkan jurang perbezaan antara kaum itu, setiap sekolah aliran boleh diletakkan di dalam satu kawasan yang sama dengan sekolah kebangsaan yang dirujuk beliau seperti sebuah kampus.

“Sekolah aliran masih boleh menggunakan bahasa ibunda masing-masing tetapi pelajar-pelajarnya perlu bercampur apabila melibatkan aktiviti lain seperti sukan dan sebagainya.

“Pelajar-pelajar ini perlu didedahkan bahawa masa depan mereka bukan melibatkan kaum mereka sahaja seperti di sekolah,” kata beliau.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s