Guru takmir berperanan besar pertahankan agama – Utusan Malaysia


Guru takmir berperanan besar pertahankan agama

Jamil  Khir Baharom (kiri) bersalaman dengan  sebahagian guru takmir selepas menyampaikan khutbah dan menunaikan solat Jumaat  di surau PWTC, Kuala Lumpur,  semalam.


 

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Kesemua 3,692 guru takmir di masjid-masjid seluruh negara diminta supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam menyampaikan wadah perjuangan Islam seterusnya mempertahankan kesucian agama itu serta negara daripada sebarang ancaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha gigih serta berterusan oleh golongan itu bakal memberikan impak besar terhadap usaha pemeliharaan kesucian agama Islam dan kedaulatan negara ini.

Katanya, peranan guru-guru takmir juga semakin penting ketika ini iaitu sewaktu negara melalui proses pembangunan yang disertakan dengan senario politik yang berubah-ubah.

Justeru katanya, para guru takmir di seluruh negara perlu menyerap semangat yang ada dalam diri Nabi Muhammad SAW yang tetap berdiri teguh ibarat Gunung Uhud ketika mempertahankan Islam sewaktu hayat baginda.

“Dalam perkembangan yang ada di Malaysia, apatah lagi senario politik yang sedang berkembang, ia memerlukan kita (guru takmir dan umat Islam) untuk mempunyai ketajaman pemikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Seramai 788 guru takmir hadir pada program tersebut.

Sebagai rekod, guru takmir merupakan golongan ustaz yang memberikan tazkirah di masjid serta surau di seluruh negara terutama selepas solat Maghrib dan Jumaat. Perjawatan itu diwujudkan kerajaan di bawah agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 25 tahun lalu.

Jamil Khir menambah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM32 juta pada tahun ini sebagai pengisian kepada program-program takmir di masjid serta surau seluruh negara.

Terdahulu, beliau membacakan khutbah Jumaat di Surau Al Rahman di PWTC kepada kira-kira 3,000 jemaah termasuk 788 guru takmir yang mengikuti program ‘multaqa’ mereka di situ.

Antara lain, beliau menyentuh tentang sifat terpuji Nabi Muhammad yang amat mengutamakan kebajikan serta menyayangi umatnya dalam memperjuangkan agama Allah.

“Sayangilah anak-anak murid yang anda ajar di masjid serta surau di seluruh negara umpama bagaimana sayangnya Nabi Muhammad terhadap umatnya,” katanya dalam khutbah tersebut.

Elaun guru takmir dinaikkan kepada RM100 – Utusan Malaysia


Elaun guru takmir dinaikkan  kepada RM100

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan elaun guru takmir seluruh negara daripada RM40 kepada RM100 bagi satu sesi.

Beliau berkata, dengan kenaikan tersebut, setiap guru takmir yang kini berjumlah 3,892 orang bakal memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sebulan, berbanding RM480 sebelum ini dan ia berkuat kuasa Januari lalu.

Kata beliau, langkah itu juga menjadi bukti bahawa kerajaan amat prihatin kepada nasib dan masa depan mereka kerana guru takmir merupakan salah satu kumpulan masyarakat yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Dalam bajet yang lalu, kerajaan telah menaikkan elaun bagi guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan para imam kepada RM800 sebulan kerana kita dapati elaun yang mereka peroleh sebelum ini tidak mencukupi.

“Kali ini kita menaikkan pula elaun guru-guru takmir supaya nasib dan masa depan mereka lebih terbela. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi pendapatan tambahan kepada guru-guru takmir kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, para mufti serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Guru takmir merupakan guru agama yang mengajar di masjid-masjid dan surau-surau.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Guru Takmir peringkat kebangsaan kepada tiga guru takmir terpilih iaitu Zakariah Limat, 65, Mohamad Arip Mohd. Yasin, 73 dan Fatimah Ya Abdullah, 67.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyentuh pentingnya guru takmir menarik lebih ramai remaja mengikuti kelas yang diadakan di masjid-masjid dan surau-surau.

Beliau berkata, ini kerana sebahagian besar penuntut kelas-kelas takmir terdiri daripada warga emas.

“Saya difahamkan jumlah remaja kita yang hadir dalam kelas-kelas takmir kira-kira lima peratus sahaja. Bagi saya jumlah ini perlu ditingkatkan dan sesuatu perlu dilakukan bagi tujuan ini,” katanya lagi.

Najib dalam pada itu turut menyeru supaya masjid sentiasa dimakmurkan kerana ia merupakan sebuah institusi yang menjadi lambang kekuatan dan perpaduan umat Islam.

“Malah saranan ini juga bertepatan dengan Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud ‘Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah’,” katanya lagi.