80 penghuni asrama sekolah keracunan
Sebelas pelajar dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pagi, semalam sebelum dibenarkan pulang beberapa jam kemudian.
Semua pelajar berkenaan dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah selepas makan malam di dewan sekolah. Apabila keadaan 11 pelajar belum pulih, mereka dihantar ke HRPB untuk menerima rawatan di wad kecemasan.
Pengarah Jabatan Pelajaran Perak (JPN), Mohd Rauhi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan terhadap dewan makan asrama akan dijalankan untuk mengetahui puncanya.
“Saya difahamkan, Jabatan Kesihatan melakukan siasatan terhadap dewan makan itu dan kini saya menunggu laporan lengkap berhubung kejadian ini sebelum membuat tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Rauhi juga tidak menolak kemungkinan dewan makan asrama itu ditutup sementara sehingga semua proses siasatan selesai bertujuan memastikan punca kejadian selain memastikan keselamatan semua pelajar asrama.
Selain itu, beliau berkata, tidak timbul isu pelajar asrama sekolah berkenaan tidak dapat makan jika dewan makan asrama itu ditutup sementara kerana pihaknya sudah membuat beberapa langkah awal.
Sementara itu, usaha menemubual 11 pelajar yang dimasukkan ke HRPB gagal berikutan tidak mendapat kerjasama beberapa guru yang mengawal mereka.