Pelajar buktikan cacat, miskin bukan penghalang kejayaan – Utusan Malaysia


Pelajar buktikan cacat, miskin bukan penghalang kejayaan

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Walaupun tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya (OKU), dua pelajar ini membuktikan bahawa kecacatan bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.

Atas semangat dan daya juang yang tinggi, Low Hong Ping, 21, serta Mohd. Rifaat Hussin, 19, kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John, Kuala Lumpur tidak pernah mengeluh atau merasakan kekurangan yang ada sebagai ‘jalan mati’ untuk menempuh hidup.

Untuk itu, mereka harus berbangga apabila penat lelah menjalani alam persekolahan akhirnya berbayar setelah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang bagi kategori masing-masing untuk keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010.

Hong Ping menerima anugerah tersebut bagi kategori spastik manakala Mohd. Rifaat pula untuk kategori buta.

Bagi Mohd. Rifaat, formula kejayaannya cuma satu iaitu melipatgandakan usaha dan ulang kaji berbanding apa yang dilakukan oleh rakan seperjuangan yang bukan senasib dengannya.

“Hidup sebagai OKU tidak boleh dijadikan halangan untuk berjaya. Syukur kerana keluarga dan rakan-rakan sekelas banyak membantu.

“Saya menetap di asrama dan rakan-rakanlah yang menjadi ‘mata’ saya untuk membantu dalam pembelajaran. Dalam kelas pula, kita kena memberikan fokus yang lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang dekat sini hari ini.

Mohd. Rifaat yang berasal dari Seremban memperoleh dua A bagi mata pelajaran Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu manakala Bahasa Malaysia (A-); Pengajian Perniagaan (A-) dan Syariah (B-).

Selepas ini beliau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) demi mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik.

Bagi Hong Ping pula, meski serba kekurangan dan terpaksa ditemani ibu, Cheong Yee Yee, 50, untuk melakukan apa jua kerja, kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi.

“Selepas ini saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di mana-mana universiti tempatan. Tetapi kalau boleh, saya mahu belajar di UM kerana dekat dengan rumah,” katanya.

Beliau memperoleh dua A dalam mata pelajaran Ekonomi dan Pengajian Perniagaan manakala dua A- iaitu Pengajian Am serta Matematik S.

Sementara itu, Syivero Patrick, 19, yang diumum sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar berkata, di sebalik kehidupan keluarga yang serba kekurangan, pelajaran baginya perlu menjadi keutamaan untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Semasa menduduki STPM, memang banyak dugaannya. Selain bersekolah, saya terpaksa mencari kerja untuk menampung perbelanjaan.

“Sebahagian upah kerja sampingan yang saya perolehi, dapat juga saya gunakan untuk beli buku dan membayar yuran peperiksaan.

“Saya pun tidak menyangka diumum sebagai pelajar cemerlang. Sudah tentu saya mahu teruskan pengajian ke universiti selepas ini,” ujar bekas pelajar SMK Kota Marudu, Kota Marudu, Sabah itu.

Berlainan pula bagi pasangan kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai, 20, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya.

Bagi mereka, diumum sebagai pelajar cemerlang STPM 2010 merupakan saat paling manis dalam hidup dan ia sudah tentu atas disiplin yang ditekankan oleh keluarganya ketika belajar.

“Walaupun kembar, kami memiliki cita-cita yang berlainan. Saya sendiri mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan manakala kakak, Aimee, pula lebih meminati bidang perubatan,” kata Charlotte yang menjadikan Aimee sebagai ‘rakan kongsi’ untuk bersama mencipta kejayaan.

Keputusan seluruh negara menurun – Utusan Malaysia


Keputusan  seluruh negara menurun

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 diumumkan hari ini menunjukkan penurunan di kebanyakan sekolah di seluruh negara.

Di KELANTAN, sebanyak 5,774 pelajar atau 96.23 peratus daripada 6,000 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM di seluruh negeri itu mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, 3,365 calon atau 56.08 peratus mendapat empat dan lima prinsipal berbanding 3,245 pada tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 92.49 peratus.

Di TERENGGANU pula, negeri itu mencatatkan pencapaian tertinggi dalam peperiksaan STPM 2010 yang meletakkannya dalam kelompok terbaik.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Razali Daud memberitahu, daripada 52 sekolah, 22 daripadanya mencapai kelulusan 100 peratus berbanding hanya 13 sekolah pada 2009.

“Jumlah sekolah yang lulus penuh turut mengalami peningkatan sebanyak 1.1 peratus iaitu daripada 95.99 peratus kepada 97.09 peratus,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran Negeri, Abdul Halim Abdul Razak berkata, seramai 1,335 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal (94.82 peratus).

Katanya, seramai 12 calon memperoleh purata nilai gred keseluruhan 4.0 yang terdiri daripada tujuh calon jurusan sains dan lima calon sastera.

Seramai 1,520 orang calon telah menduduki peperiksaan STPM di negeri ini pada tahun lepas terdiri daripada 1,408 calon sekolah kerajaan dan 112 calon persendirian.

Di MELAKA, sebanyak 96.87 peratus daripada 1,284 calon yang menduduki STPM 2010 di negeri itu lulus penuh iaitu meningkat berbanding 2009.

Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Juliah Leman, berkata, jumlah tersebut meningkat 0.56 peratus iaitu 1,238 pelajar berbanding 1,252 pelajar yang lulus penuh pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, seramai 650 orang atau 50.86 peratus pula berjaya memperoleh empat prinsipal dan peratusan itu juga mengatasi peratus nasional sebanyak 8.06 peratus.

Di JOHOR, jumlah peratusan calon STPM 2010 negeri ini yang mendapat lulus penuh atau sekurang-kurangnya satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil meningkat kepada 96.79 peratus berbanding 95.5 peratus pada 2009.

Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, 28 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh berbanding 23 sekolah pada 2009 manakala 11 buah pula mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh berbanding 14 sekolah pada 2009.

Menurutnya, keputusan STPM kali ini juga menyaksikan 60 sekolah meningkat dari segi PNGK antara 0.02 mata hingga 0.79 mata dan sekolah tertinggi yang mencapai PNGK tahun ini adalah SMK Perempuan Sultan Abu Bakar, Muar.

Di PAHANG, peratus calon STPM 2010 di negeri itu yang mendapat kelulusan penuh menurun sebanyak 2.37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad berkata, pada 2010, seramai 2,444 calon atau 93.57 peratus mendapat kelulusan penuh berbanding tahun 2009 iaitu 95.94 peratus atau 2,575 orang.

Menurutnya, calon yang lulus penuh lima prinsipal (5P) ialah 3.06 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya iaitu 11.88 peratus.

Di PERAK, sebanyak 4,004 pelajar atau 96.67 peratus daripada 4,142 pelajar di seluruh Perak lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2010.

Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Abdul Ghani Mohamad Nizar berkata, bilangan pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM tahun lalu meningkat 0.92 peratus berbanding keputusan 2009 iaitu 95.75 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 28 buah sekolah di negeri ini mencatatkan pencapaian lulus penuh berbanding tahun sebelumnya sebanyak 18 buah sekolah.

Di PULAU PINANG, 11 buah sekolah di negeri itu berjaya mencatat keputusan 100 peratus kelulusan penuh dalam peperiksaan tersebut.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian dan SMJK Chung Ling.

Tujuh lagi sekolah yang mencatatkan keputusan lulus 100 peratus ialah SMJK Heng Lee, SMK Raja Tun Uda, SMKA Al-Irshad, SMK Bakti, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri, Yeoh Kok Kheng berkata, daripada sekolah berkenaan, seramai 58 pelajar berjaya mencapai PNGK 4.0.

Di KEDAH, sebanyak 22 sekolah di negeri itu berjaya mencapai kelulusan penuh 100 peratus dalam STPM 2010.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad berkata, sembilan sekolah telah mencapai GPS 2.67 dan ke atas serta pencapaian minimum PGNK bagi negeri Kedah ialah 2.31 daripada 3,316 bilangan calon yang hadir.

“Sekolah tersebut ialah SMK Sultanah Bahiyah, SMJK Sin Min, SMJK Keat Hwa, SMK Yan, SMK Agama Kedah, SMK Labu Besar, SMK Ibrahim, SMK Tun Sharifah Rodziah dan SMK Padang Serai,” katanya.

Di SARAWAK, seramai 37 calon atau 0.66 peratus calon STPM berjaya memperoleh keputusan lulus penuh dalam semua lima mata pelajaran yang diambil.

Keputusan itu merosot dengan ketara memandangkan pada tahun sebelumnya, seramai 77 calon berjaya memperoleh keputusan lulus penuh dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Menurut Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, seramai 2,121 calon atau 37.78 peratus pula lulus penuh dalam empat mata pelajaran diikuti 1,233 calon (21.96 peratus) dalam tiga mata pelajaran.

Di SABAH, 12 buah sekolah di Sabah mencatat 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan itu.

Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yussin berkata, seramai 21 pelajar di negeri ini memperolehi PNGK 4.0 dan 3.0 ke atas manakala bagi calon aliran sains pula seramai enam orang.

“Bagaimanapun, peratusan kelulusan STPM bagi 2010 menurun sebanyak 1.66 peratus kepada 88.51 peratus berbanding 90.17 peratus pada 2009,” katanya.

Tambah Muhaiddin, seramai 168 calon yang menduduki STPM tahun lalu lulus penuh lima prinsipal (5P) diikuti 1,823 (4P), 1,294 (3P), 1,047 (2P) dan seramai 889 lulus sekurang-kurangnya 1P.

‘Buta mata, bukan buta hati’ – Utusan Malaysia


‘Buta mata, bukan buta hati’

JOHOR BAHRU 21 Feb. – Cacat penglihatan tidak menghalang pelajar Maktab Sultan Abu Bakar di sini, Muhamad Nadhir Abdul Nasir mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak ketiga daripada enam beradik itu mendapat 3A 1B iaitu memperoleh A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan B bagi Pengajian Perniagaan dan bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya suatu hari nanti.

Beliau yang bersekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru menjadi pelajar cemerlang negeri Johor bagi kategori calon istimewa – cacat penglihatan.

Dia nyata gembira dengan kejayaan tersebut, namun cukup merendah diri apabila ditanya tentang resipi kejayaannya.

“Saya bukan seorang yang bijak, genius dan tak berbakat, maka saya perlu berusaha lebih gigih daripada orang lain dan keputusan ini jawapan kepada usaha itu,” katanya yang ingin menyambung pengajian dalam bidang perniagaan.

Muhamad Nadhir menetap di Taman Seri Lembah, Kluang merupakan antara pelajar cemerlang STPM yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.

Beliau yang cacat penglihatan tahap dua sejak berusia sembilan tahun memberitahu, Sejarah satu-satunya subjek yang dipelajari menggunakan tulisan Braile manakala yang lain belajar seperti biasa.

Dalam pada itu, ibunya, Noormah Abu Bakar, 50, gembira pencapaian anaknya itu yang meneruskan keputusan membanggakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dicapai sebelum ini iaitu 7A 1B.

“Saya bangga dengan Muhamad Nadhir kerana dia tidak pernah menggunakan kekurangan yang ada sebagai alasan,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar cemerlang keseluruhan negeri, Low Chea Yee, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar dekat sini memberitahu, rahsia kejayaannya adalah belajar setiap hari terutama pada waktu pagi.

Dia yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan mendapat 5A memilih untuk belajar pada awal pagi kerana ketenangan yang dinikmati pada waktu itu amat sesuai untuk mengulang kaji pelajaran.

“Saya berhasrat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan dan Universiti Malaya merupakan pilihan utama saya,” katanya yang merupakan anak seorang pekerja kilang dan ibunya seorang suri rumah.

Pasangan kembar, Goh Guo Dong dan Goh Guo Liang daripada Maktab Sultan Abu Bakar di sini yang turut mencatat keputusan cemerlang STPM kali ini berkata, setiap hari mereka memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk mengulang kaji pelajaran.

Mereka yang berkongsi buku teks untuk mengulang kaji pelajaran juga mempunyai cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi jurutera dan berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia.

Anak tukang sapu memperoleh 5A – Utusan Malaysia


Anak tukang sapu memperoleh 5A

PASIR MAS 21 Feb. – Sedih melihat ibunya yang terpaksa bekerja sebagai tukang sapu di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, telah mendorong Attarmizi Ramli, 19, mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam STPM yang diumumkan hari ini.

Kejayaan itu membolehkannya muncul pelajar tunggal di negeri ini mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut.

Menurut anak keempat dari tujuh beradik itu, dia sungguh terharu apabila saban hari melihat ibunya, Nor Aizan Mohd. Nor, 46, ‘mengusung’ penyapu membersihkan kawasan sekolahnya yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya di Kampung Kelar Tok Pukang dekat sini.

Jelasnya, ibunya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah berkenaan sejak 2003 lagi dengan pendapatan kira-kira RM450 sebulan untuk menambah pendapatan keluarga bagi membolehkan dia dan tiga lagi adiknya berusia antara 17 hingga 12 tahun bersekolah.

“Saya sungguh terharu kerana ibu sanggup bekerja untuk menyenangkan kami bersekolah dan semangat ibu itu amat dihargai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Attarmizi, kejayaan cemerlang tersebut merupakan hadiah istimewa untuk ibu dan bapanya, Ramli Che Hussin, 51, seorang peniaga yang turut mengerah kudrat mencari rezeki bagi mereka sekeluarga.

Jelasnya, kejayaan tersebut turut didorong oleh kejayaan dua abangnya yang kini bertugas sebagai guru dan kakak, seorang jururawat.

Mengenai kaedah pembelajaran yang diamalkannya selama ini, Attarmizi yang tinggal di asrama memberitahu, dia sering mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan sejak awal tahun bersama 15 lagi rakannya.

Jelasnya, dia bertindak sebagai ‘seorang guru’ kepada kepada rakan-rakannya itu semasa proses mengulang kaji mata pelajaran Geografi, Sejarah, Pengajian Am, Sastera dan Bahasa Malaysia.

“Kebiasaannya kami membaca antara pukul 9 hingga 11 malam, seterusnya menyertai perbincangan ‘berguru’ sehingga 2 pagi,” katanya.

Attarmizi berkata, berkat usaha yang mereka lakukan itu turut menyaksikan 10 daripada rakannya itu memperoleh sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan tersebut.

Katanya, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang tersebut kerana hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

Jelasnya, walaupun ada menerima tawaran ke matrikulasi ketika itu, tetapi dia telah membulatkan tekad untuk menjadi seorang guru dan mahu meneruskan pelajaran ke tingkatan enam seterusnya memasuki pusat pengajian tinggi.

“Harapan saya sekarang adalah untuk memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya

Pelajar buktikan cacat, miskin bukan penghalang kejayaan – Utusan Malaysia


Pelajar buktikan cacat, miskin bukan penghalang kejayaan

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Walaupun tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya (OKU), dua pelajar ini membuktikan bahawa kecacatan bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.

Atas semangat dan daya juang yang tinggi, Low Hong Ping, 21, serta Mohd. Rifaat Hussin, 19, kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John, Kuala Lumpur tidak pernah mengeluh atau merasakan kekurangan yang ada sebagai ‘jalan mati’ untuk menempuh hidup.

Untuk itu, mereka harus berbangga apabila penat lelah menjalani alam persekolahan akhirnya berbayar setelah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang bagi kategori masing-masing untuk keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010.

Hong Ping menerima anugerah tersebut bagi kategori spastik manakala Mohd. Rifaat pula untuk kategori buta.

Bagi Mohd. Rifaat, formula kejayaannya cuma satu iaitu melipatgandakan usaha dan ulang kaji berbanding apa yang dilakukan oleh rakan seperjuangan yang bukan senasib dengannya.

“Hidup sebagai OKU tidak boleh dijadikan halangan untuk berjaya. Syukur kerana keluarga dan rakan-rakan sekelas banyak membantu.

“Saya menetap di asrama dan rakan-rakanlah yang menjadi ‘mata’ saya untuk membantu dalam pembelajaran. Dalam kelas pula, kita kena memberikan fokus yang lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang dekat sini hari ini.

Mohd. Rifaat yang berasal dari Seremban memperoleh dua A bagi mata pelajaran Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu manakala Bahasa Malaysia (A-); Pengajian Perniagaan (A-) dan Syariah (B-).

Selepas ini beliau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) demi mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik.

Bagi Hong Ping pula, meski serba kekurangan dan terpaksa ditemani ibu, Cheong Yee Yee, 50, untuk melakukan apa jua kerja, kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi.

“Selepas ini saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di mana-mana universiti tempatan. Tetapi kalau boleh, saya mahu belajar di UM kerana dekat dengan rumah,” katanya.

Beliau memperoleh dua A dalam mata pelajaran Ekonomi dan Pengajian Perniagaan manakala dua A- iaitu Pengajian Am serta Matematik S.

Sementara itu, Syivero Patrick, 19, yang diumum sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar berkata, di sebalik kehidupan keluarga yang serba kekurangan, pelajaran baginya perlu menjadi keutamaan untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Semasa menduduki STPM, memang banyak dugaannya. Selain bersekolah, saya terpaksa mencari kerja untuk menampung perbelanjaan.

“Sebahagian upah kerja sampingan yang saya perolehi, dapat juga saya gunakan untuk beli buku dan membayar yuran peperiksaan.

“Saya pun tidak menyangka diumum sebagai pelajar cemerlang. Sudah tentu saya mahu teruskan pengajian ke universiti selepas ini,” ujar bekas pelajar SMK Kota Marudu, Kota Marudu, Sabah itu.

Berlainan pula bagi pasangan kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai, 20, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya.

Bagi mereka, diumum sebagai pelajar cemerlang STPM 2010 merupakan saat paling manis dalam hidup dan ia sudah tentu atas disiplin yang ditekankan oleh keluarganya ketika belajar.

“Walaupun kembar, kami memiliki cita-cita yang berlainan. Saya sendiri mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan manakala kakak, Aimee, pula lebih meminati bidang perubatan,” kata Charlotte yang menjadikan Aimee sebagai ‘rakan kongsi’ untuk bersama mencipta kejayaan.

46,780 calon lulus penuh – Utusan Malaysia


46,780 calon lulus penuh

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

Para  pelajar   SMK Ibrahim Fikri,  Kuala Terengganu bersorak gembira menunjukkan Keputusan STPM di sekolah itu, semalam.  – utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 21 Feb. – Seramai 46,780 atau 92.49 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan itu tahun lepas.
Keputusan itu menurun 0.06 peratus berbanding 48,481 calon atau 92.55 peratus pada 2009.
Dalam pada itu, hanya lapan calon mencapai keputusan gred A bagi kelima-lima mata pelajaran yang diambil berbanding 15 calon dalam tahun sebelumnya.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak (gambar) berkata, daripada lapan calon berkenaan, empat calon berjaya mencapai kecemerlangan dalam semua kertas peperiksaan yang diambil dan diumum sebagai penerima anugerah pelajar cemerlang.
Mereka ialah pasangan kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya; Chow Jun Kang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane, Kuala Lumpur dan Ling Xiao Chun, SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur.
Mengikut kategori pula, menurutnya, calon dari SMK Kota Marudu, Sabah, Syivero Patrick diumum sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar manakala Hazwani Ibarahim dari SMK Tun Sharifah Rodziah, Alor Star, Kedah (pelajar istimewa cemerlang bagi kategori sengau).
”Selain itu, Low Hong Ping dari SMK St. John, Kuala Lumpur menerima anugerah pelajar istimewa cemerlang (kategori spastik); Ahmad Syakirin Johari dari SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh (kategori rabun); Mohd. Rifaat Hussin dari SMK St. John, Kuala Lumpur (kategori buta) dan Chong Kai Zhen dari SMK Tinggi Kajang (kategori pekak),” katanya.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM 2010 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang dekat sini hari ini.
Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu yang berlangsung dari 23 November hingga 16 Disember di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Dzulkifli memberitahu, selain penurunan peratusan lulus penuh, jumlah peratusan calon yang mendapat luluh penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menurun iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.
Menurut beliau, calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menurun iaitu dari 50.60 peratus pada 2009 kepada 48.98 peratus, tahun lalu.
“Bagaimanapun, jika dihitung berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), pada umumnya prestasi calon tahun lalu adalah lebih kurang sama dengan 2009. Minimum PNGK pada 2010 ialah 2.22 manakala 2.23 dicatatkan pada 2009,” katanya.
Jelas beliau, seramai 343 calon atau 0.68 peratus mendapat PNGK 4.00 dan ia meningkat berbanding 0.63 peratus pada 2009.
Dari segi mata pelajaran, ujarnya, sebanyak 11 mata pelajaran iaitu Matematik Lanjutan T, Sains Sukan, Usuluddin, Pengajian Perniagaan, Syariah, Kimia, Bahasa Cina, Pengkomputeran, Matematik T, Sejarah dan Fizik mencatatkan peningkatan prestasi
Tambahnya, 11 lagi mata pelajaran mencatatkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.
Selain itu, katanya, analisis STPM 2010 juga menunjukkan jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara dengan prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar.
“Calon bandar yang mendapat lima A, empat A dan tiga A ialah sebanyak 946 calon berbanding hanya 105 calon luar bandar.
“Bagi sekolah kerajaan, prestasi pada 2010 adalah lebih kurang sama dengan 2009. Pada 2010, sebanyak 47 sekolah mencapai minimum PNGK 2.80 atau lebih tinggi berbanding dengan 25 sekolah pada 2008 dan 55 sekolah pada 2009,” jelasnya.
Untuk keputusan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), katanya, prestasi calon MUET akhir tahun lalu mencatatkan peningkatan iaitu 46.02 peratus calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada peperiksaan pertengahan tahun.
Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Dzulkifli yang ditanya tentang prestasi pelajar luar bandar berkata, guru berkualiti serta berpengalaman seharusnya diletakkan di sekolah-sekolah di kawasan berkenaan bagi membantu meningkatkan prestasi STPM.
Mengenai penurunan kualiti STPM untuk 2010, katanya, biarpun memperlihatkan kemerosotan, ia secara keseluruhannya boleh dikatakan sama dengan 2009.
Beliau yang kemudiannya diaju persoalan tentang STPM yang dikatakan semakin kurang popular berkata, ia hanyalah persepsi orang ramai.
“Trend pelajar kini lebih minat memasuki pengajian di peringkat diploma. Persepsi mereka, dengan memiliki diploma, ia dijamin mudah untuk dapat pekerjaan dan melanjutkan pengajian lebih tinggi.
“Tetapi bagi saya, ia tidak ada bezanya dengan STPM. Kedudukan STPM harus dikekalkan dan mungkin boleh ditambah baik,” jelasnya.