Keputusan seluruh negara menurun – Utusan Malaysia


Keputusan  seluruh negara menurun

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 diumumkan hari ini menunjukkan penurunan di kebanyakan sekolah di seluruh negara.

Di KELANTAN, sebanyak 5,774 pelajar atau 96.23 peratus daripada 6,000 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM di seluruh negeri itu mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, 3,365 calon atau 56.08 peratus mendapat empat dan lima prinsipal berbanding 3,245 pada tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 92.49 peratus.

Di TERENGGANU pula, negeri itu mencatatkan pencapaian tertinggi dalam peperiksaan STPM 2010 yang meletakkannya dalam kelompok terbaik.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Razali Daud memberitahu, daripada 52 sekolah, 22 daripadanya mencapai kelulusan 100 peratus berbanding hanya 13 sekolah pada 2009.

“Jumlah sekolah yang lulus penuh turut mengalami peningkatan sebanyak 1.1 peratus iaitu daripada 95.99 peratus kepada 97.09 peratus,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran Negeri, Abdul Halim Abdul Razak berkata, seramai 1,335 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal (94.82 peratus).

Katanya, seramai 12 calon memperoleh purata nilai gred keseluruhan 4.0 yang terdiri daripada tujuh calon jurusan sains dan lima calon sastera.

Seramai 1,520 orang calon telah menduduki peperiksaan STPM di negeri ini pada tahun lepas terdiri daripada 1,408 calon sekolah kerajaan dan 112 calon persendirian.

Di MELAKA, sebanyak 96.87 peratus daripada 1,284 calon yang menduduki STPM 2010 di negeri itu lulus penuh iaitu meningkat berbanding 2009.

Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Juliah Leman, berkata, jumlah tersebut meningkat 0.56 peratus iaitu 1,238 pelajar berbanding 1,252 pelajar yang lulus penuh pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, seramai 650 orang atau 50.86 peratus pula berjaya memperoleh empat prinsipal dan peratusan itu juga mengatasi peratus nasional sebanyak 8.06 peratus.

Di JOHOR, jumlah peratusan calon STPM 2010 negeri ini yang mendapat lulus penuh atau sekurang-kurangnya satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil meningkat kepada 96.79 peratus berbanding 95.5 peratus pada 2009.

Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, 28 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh berbanding 23 sekolah pada 2009 manakala 11 buah pula mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh berbanding 14 sekolah pada 2009.

Menurutnya, keputusan STPM kali ini juga menyaksikan 60 sekolah meningkat dari segi PNGK antara 0.02 mata hingga 0.79 mata dan sekolah tertinggi yang mencapai PNGK tahun ini adalah SMK Perempuan Sultan Abu Bakar, Muar.

Di PAHANG, peratus calon STPM 2010 di negeri itu yang mendapat kelulusan penuh menurun sebanyak 2.37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad berkata, pada 2010, seramai 2,444 calon atau 93.57 peratus mendapat kelulusan penuh berbanding tahun 2009 iaitu 95.94 peratus atau 2,575 orang.

Menurutnya, calon yang lulus penuh lima prinsipal (5P) ialah 3.06 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya iaitu 11.88 peratus.

Di PERAK, sebanyak 4,004 pelajar atau 96.67 peratus daripada 4,142 pelajar di seluruh Perak lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2010.

Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Abdul Ghani Mohamad Nizar berkata, bilangan pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM tahun lalu meningkat 0.92 peratus berbanding keputusan 2009 iaitu 95.75 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 28 buah sekolah di negeri ini mencatatkan pencapaian lulus penuh berbanding tahun sebelumnya sebanyak 18 buah sekolah.

Di PULAU PINANG, 11 buah sekolah di negeri itu berjaya mencatat keputusan 100 peratus kelulusan penuh dalam peperiksaan tersebut.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian dan SMJK Chung Ling.

Tujuh lagi sekolah yang mencatatkan keputusan lulus 100 peratus ialah SMJK Heng Lee, SMK Raja Tun Uda, SMKA Al-Irshad, SMK Bakti, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri, Yeoh Kok Kheng berkata, daripada sekolah berkenaan, seramai 58 pelajar berjaya mencapai PNGK 4.0.

Di KEDAH, sebanyak 22 sekolah di negeri itu berjaya mencapai kelulusan penuh 100 peratus dalam STPM 2010.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad berkata, sembilan sekolah telah mencapai GPS 2.67 dan ke atas serta pencapaian minimum PGNK bagi negeri Kedah ialah 2.31 daripada 3,316 bilangan calon yang hadir.

“Sekolah tersebut ialah SMK Sultanah Bahiyah, SMJK Sin Min, SMJK Keat Hwa, SMK Yan, SMK Agama Kedah, SMK Labu Besar, SMK Ibrahim, SMK Tun Sharifah Rodziah dan SMK Padang Serai,” katanya.

Di SARAWAK, seramai 37 calon atau 0.66 peratus calon STPM berjaya memperoleh keputusan lulus penuh dalam semua lima mata pelajaran yang diambil.

Keputusan itu merosot dengan ketara memandangkan pada tahun sebelumnya, seramai 77 calon berjaya memperoleh keputusan lulus penuh dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Menurut Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, seramai 2,121 calon atau 37.78 peratus pula lulus penuh dalam empat mata pelajaran diikuti 1,233 calon (21.96 peratus) dalam tiga mata pelajaran.

Di SABAH, 12 buah sekolah di Sabah mencatat 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan itu.

Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yussin berkata, seramai 21 pelajar di negeri ini memperolehi PNGK 4.0 dan 3.0 ke atas manakala bagi calon aliran sains pula seramai enam orang.

“Bagaimanapun, peratusan kelulusan STPM bagi 2010 menurun sebanyak 1.66 peratus kepada 88.51 peratus berbanding 90.17 peratus pada 2009,” katanya.

Tambah Muhaiddin, seramai 168 calon yang menduduki STPM tahun lalu lulus penuh lima prinsipal (5P) diikuti 1,823 (4P), 1,294 (3P), 1,047 (2P) dan seramai 889 lulus sekurang-kurangnya 1P.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s