Telefon awam di sekolah dipertingkat – Utusan Malaysia


Telefon awam di sekolah  dipertingkat

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Kementerian Pelajaran akan berusaha mempertingkatkan kemudahan telefon awam di kawasan sekolah agar dapat membendung gejala pelajar membawa telefon bimbit ketika waktu persekolahan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu sekali gus akan menjawab persoalan mengenai pelajar yang menghadapi kesukaran menghubungi ibu bapa atau penjaga ketika di sekolah.

“Apabila masalah itu diatasi maka tiada lagi alasan kenapa pelajar termasuk yang tinggal di asrama harus membawa telefon bimbit ke sekolah.

“Membawa telefon bimbit ke sekolah memang banyak mendatangkan masalah berbanding kebaikan kepada pelajar,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia yang mendedahkan kegiatan pelajar yang bebas membawa telefon bimbit ke sekolah.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa surat pekeliling kementerian mengenai larangan penggunaan telefon bimbit tersebut seolah-olah sudah diabaikan oleh pelajar dan pihak sekolah.

Menurut Ka Siong, mesyuarat Jawatankuasa Induk Disiplin yang diadakan tahun lepas telah memutuskan agar larangan itu kekal dilaksanakan.

“Perkara ini telah diumumkan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran tahun lalu, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

“Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas pelajar dari semasa ke semasa,” katanya.

2 pelajar harumkan nama negara – Utusan Malaysia


2 pelajar harumkan nama negara

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
KEPALA BATAS 22 Feb. – Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB) di sini, berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul beberapa anugerah sempena Pameran Sains Antarabangsa Taiwan yang diadakan pada 14 hingga 20 Februari lalu.
Sepanjang pameran yang diadakan di Pusat Pendidikan Sains Antarabangsa Taiwan (NTSEC) itu, Mohd. Termizi Mastor dan Athirah Lyana Shahruddin berjaya menonjolkan kehebatan bersaing dengan lebih 200 peserta dari 16 negara.
Paling membanggakan, Mohd. Termizi, 17, diumumkan sebagai salah seorang daripada tiga penerima anugerah paling berprestij pameran itu, Anugerah Saintis Muda yang melayakkannya menerima trofi, sijil dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou.
Mohd. Termizi juga dipilih memenangi tempat pertama dalam Kategori Alam Sekitar dengan ciptaannya ‘Dulu Terbuang, Kini Terbilang’ iaitu inovasi terbaru bagi mengawal tumpahan minyak di laut.
Athirah Lyana, 17, pula mendapat tempat keempat dalam Kategori Mikrobiologi dengan ciptaan ‘Pengasingan dan Pengecaman Bakteria Yang Menghasilkan Antibiotik Daripada Tanah Liat’.
Menurut Mohd. Termizi, dia sendiri tidak menduga akan terpilih sebagai penerima anugerah berkenaan kerana saingan sengit daripada peserta negara lain terutama dari Rusia, Korea Selatan, Kanada serta Taiwan.
Malah, katanya, dia tidak menyangka dapat memecahkan dominasi pelajar Taiwan kerana sejak dianjurkan 13 tahun lalu, anugerah itu hanya diraih pelajar negara tersebut.
“Fokus utama saya ketika menghasilkan produk ini adalah memikirkan masalah pencemaran alam sekitar yang sering berlaku akibat tumpahan minyak di laut dan pantai.
“Kebiasaannya minyak yang diserap selepas tumpahan tidak boleh digunakan semula, namun ciptaan saya mampu mengelakkan kerugian kepada pengusaha minyak kerana minyak yang diserap boleh dikitar semula,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan kejayaan itu di SMSKB hari ini.
Turut hadir Pengetua sekolah tersebut, Jamaah Taman.
Tambah Termizi, lebih unik, produk itu dicipta menggunakan bahan terbuang seperti bahagian dalam tiub motosikal manakala kosnya pula tidak sampai RM100 tetapi mampu dikomersialkan.
Sementara itu, bagi Athirah, kajiannya adalah bagi mengenal pasti kehadiran bakteria di dalam tanah liat yang mampu menjadi antibiotik.
“Saya menggunakan sampel tanah liat dari Kampung Pak Maras dan Hutan Lipur Sekayu di Terengganu yang mengandungi bakteria Aeromonas sp.
“Saya percaya bakteria yang terhasil ini mampu dijadikan ubat untuk melawan penyakit,” ujarnya yang dibimbing guru pengiring, Norsyahida Mohd. Hassan.
Bagi Penolong Kanan Kokurikulum, Harris Ganae Nainar, objektif utama pameran itu adalah mencungkil bakat kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang sains.
Jelas Harris, pihaknya mengetahui mengenai pameran itu melalui laman web NTSEC serta mendapat undangan menyertai pameran tersebut menerusi Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran.
“Semangat untuk menyertai pameran ini bersandarkan kepada kejayaan kami merangkul pingat emas dan anugerah khas Best of The Best Kategori Sekolah Menengah pada Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Universiti Malaysia Pahang tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaah berkata, beliau sentiasa menggalakkan pelajarnya mencuba perkara baru serta menyertai pameran dan pertandingan di peringkat antarabangsa.
“Ada beberapa lagi pertandingan yang akan kami sertai pada tahun ini antaranya di Korea Selatan, Texas di Amerika Syarikat dan di Thailand pada Oktober ini,” ujarnya.