Junaidah tunggu anaknya pulang – Utusan Malaysia


Junaidah tunggu anaknya pulang

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

JUNAIDAH  Mahmod menunjukkan gambar anak sulungnya, Nur Aqilah Mohamad ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Terengganu, semalam.  – UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR


KUALA TERENGGANU 1 Mac – Rutin harian seorang ibu tunggal, Junaidah Mahmod, 38, adalah menghantar dan menjemput anak sulungnya, Nor Aqilah Mohamad, 16, dari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, dekat sini.
Namun Ahad lalu, kelibat anaknya tidak kelihatan ketika dia ke sekolah itu di Seberang Takir untuk menjemputnya pulang ke rumah seperti biasa.
“Itulah (27 Februari lalu) kali terakhir saya hantarnya ke sekolah dan ketika menunggu untuk menjemputnya pulang kira-kira pukul 1.30 petang, dia tak muncul-muncul sehinggalah sekarang.
“Hari itu, saya tunggu hingga pukul 3 petang tapi kelibatnya tetap tidak kelihatan.
“Telefon bimbitnya juga gagal dihubungi dan pada malam hari dia hilang, saya telah buat laporan di Balai Polis Gong Badak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Seberang Takir, di sini hari ini.
Justeru, ibu kepada lima anak itu yang cemas dan gelisah merayu supaya Nor Aqilah pulang segera ke pangkuan keluarga kerana mereka sangat bimbangkan keselamatannya.
Menurut Junaidah, keesokannya dia menemui guru kelas Nor Aqilah dan beberapa rakannya sebelum diberitahu bahawa anaknya itu tidak hadir ke sekolah Ahad lalu.
“Ketika saya hantarnya ke sekolah pada Ahad lalu, saya nampak Nor Aqilah berdiri dekat pintu pagar utama sekolahnya dan pada hari itu, ada acara sukan di sekolahnya.
“Dia anak yang baik dan tak pernah timbulkan masalah kepada keluarga, dia juga banyak uruskan adik-adiknya memandangkan dia anak sulung,” katanya.
Jelas Junaidah lagi, pelbagai usaha dilakukan oleh keluarganya termasuk meminta pertolongan orang kampung untuk mencari anaknya itu.
“Saya bimbangkan keselamatannya kerana dia masih muda dan tak pernah berpisah dengan keluarga. Saya hanya mampu berdoa agar dia dapat pulang dengan segera,” katanya.
Junaidah meminta sesiapa yang mempunyai maklumat atau terjumpa Nor Aqilah supaya segera menghubunginya di talian 014-5367221.

Puad kecewa kualiti projek kabin sekolah di Sarawak – Utusan Malaysia


Puad kecewa kualiti projek kabin sekolah di Sarawak

BATU NIAH 1 Mac – Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi semalam bertindak tegas apabila menolak untuk memotong reben sebagai simbolik perasmian bangunan kabin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis yang terletak kira-kira 100 kilometer daripada Miri.

Keengganan itu berpunca daripada rasa tidak puas hatinya apabila melihat kualiti struktur binaan kabin itu yang tidak mencapai standard Kementerian Pelajaran.

Menurut beliau, masalah itu bukan hanya berlaku di SMK Subis, bahkan turut membabitkan keseluruhan projek pembinaan bangunan kabin kelas di sekitar Subis dan Baram.

Katanya, daripada 32 buah blok yang sepatutnya dibina, hanya enam blok sahaja yang disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan serta menepati kriteria digariskan kementerian.

“Kalau ikutkan hati, saya sangat marah dengan kontraktor terbabit, pembinaan kabin tersebut amat mendukacitakan sehingga ada yang tidak siap dan ditinggalkan begitu sahaja.

“Kalau yang dah siap pun, ia tidak mematuhi ciri-ciri yang kita kehendaki seperti ada kabin yang tiada sistem perparitan, tangga tidak mematuhi aspek keselamatan selain material yang digunakan bukan yang ditetapkan,” katanya yang jelas amat kecewa dengan perkembangan itu.

Beliau yang dalam lawatan kerja selama tiga hari bagi meninjau 12 buah sekolah di Bekenu, Sibuti dan Subis bermula kelmarin ditemui pemberita selepas melawat blok kabin kelas di SMK Subis yang merupakan salah satu daripada projek yang gagal memenuhi standard.

Mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing dan ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

Kementerian Pelajaran sebelum ini meluluskan pembinaan kira-kira 300 bangunan kabin sekolah yang setiap satunya membabitkan kos RM260,000 di seluruh Sarawak.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata projek pembinaan itu diserahkan kepada 10 syarikat kontraktor dan dua daripadanya didapati telah gagal menyiapkan projek.

Katanya, kementerian sudah mengenal pasti dua syarikat tersebut selain bertindak menamatkan tempoh lanjutan pembinaan.

“Lebih 80 peratus projek bangunan kabin di Subis dan Baram gagal disiapkan, selain pembinaan yang dilengah-lengahkan dan ditinggalkan begitu sahaja.

“Sedangkan keutamaan kita adalah keselamatan pelajar dan suasana pembelajaran yang kondusif, kita tak mahu pembelajaran dan pengajaran pelajar-pelajar khususnya di luar bandar terjejas kerana kegagalan kontraktor,” tegasnya.

RM6.4b kos pembangunan sekolah – Utusan Malaysia


RM6.4b kos pembangunan sekolah

Oleh YUSRI SAHAT dan MUHAMMAD NIZAM ABDUL HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan sebahagian warga pendidik dan ibu bapa yang hadir pada majlis Permuafakatan PIBG Parlimen Kuala Krau di Kerdau, Pahang, semalam. Turut  hadir Adnan Yaakob dan calon Barisan Nasional DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad. – Utusan/Mahathir Ali


KUALA KRAU 1 Mac – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.4 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan sekolah di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kos itu tidak termasuk perbelanjaan mengurus yang melibatkan pembayaran gaji tenaga pengajar dan pegawai akademik yang berjumlah RM26 bilion.
“Usaha-usaha akan diteruskan bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan sistem pendidikan berkualiti yang disediakan kerajaan,” katanya.
Beliau berucap ketika mengadakan perjumpaan dengan warga pendidik dan jawatankuasa permuafakatan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau dekat sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha yang dilaksanakan itu bagi memastikan kualiti pendidikan negara setanding dengan negara-negara maju.
Kerajaan juga, jelas beliau, akan memperkasakan lagi bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan bahasa Inggeris dengan membina lebih banyak makmal di sekolah-sekolah seluruh negara.
”Setakat ini, kerajaan telah membina makmal bahasa Inggeris di 700 sekolah di seluruh negara. Mungkin bilangannya tidak mencukupi dan sekolah yang mempunyai makmal akan berkongsi dengan sekolah lain,” katanya.
Sepanjang tahun lalu juga, Muhyiddin memberitahu, kerajaan membina sebanyak 1,000 bilik darjah untuk menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.
Beliau turut sekali lagi mengumumkan sebanyak 23 sekolah akan dinaik taraf menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun ini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan belum menetapkan tempoh tertentu untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi.
Ini kerana kata beliau, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sebelum sistem persekolahan seumpama itu dapat dilaksanakan.
”Sistem persekolahan satu sesi itu memang objektif kita. Pada masa ini, kira-kira 60 peratus daripada sekolah rendah telah melaksanakan sistem tersebut tetapi sekolah menengah masih kurang,” jelasnya.
Menurut beliau, bagi melaksanakan sistem tersebut, kerajaan perlu membina lebih banyak sekolah dan guru.
”Kita masih belum pasti bila kita akan dapat melaksanakan sistem ini,” katanya.
Muhyiddin menolak andaian kegagalan kerajaan melaksanakan sistem persekolahan satu sesi akan menggalakkan lagi gejala sosial di kalangan remaja.
”Banyak faktor yang menyebabkan berlaku gejala sosial seperti kurang kasih sayang dan didikan agama, bukan sistem persekolahan satu sesi,” jelasnya.