Pelajar sekolah antara tiga korban H1N1 tahun ini – Utusan Malaysia


Pelajar sekolah antara tiga korban H1N1 tahun ini

03/03/2011 3:22pm

 

KUALA LUMPUR 3 Mac – Seorang pelajar tingkatan empat di Kajang merupakan antara tiga orang yang meninggal dunia akibat H1N1 tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pelajar perempuan itu mengalami gejala muntah, sakit kepala dan batuk selama seminggu tetapi tiada demam, dan dibawa ke sebuah hospital swasta pada 22 Februari setelah pengsan selepas berjoging.

“Dia kemudian dirujuk ke Institut Perubatan Respiratori, Kuala Lumpur dan seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 24 Februari.

“Ujian pengesahan virus melalui PCR pada 25 Februari mendapati kes positif H1N1,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu langat telah menjalankan siasatan di sekolah terbabit pada 1 Mac dan mendapati 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar itu hanya mengalami gejala batuk atau selesema, manakala lapan guru yang disaring tidak mengalami gejala penyakit serupa influenza (ILI).

Katanya, langkah-langkah kawalan telah diambil seperti memberi pendidikan kesihatan membasuh tangan dan etika batuk, manakala pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala ILI dinasihat tidak datang ke sekolah dan mendapatkan rawatan dari fasiliti kesihatan.

Beliau berkata, semalam, pengetua sekolah terbabit telah memaklumkan bahawa dua orang guru cuti sakit kerana demam/batuk/selesema dan 149 daripada 1,600 pelajar sesi pagi tidak hadir ke sekolah.

“Memandangkan kadar ketidakhadiran yang tinggi, pihak sekolah telah membuat keputusan untuk menutup sekolah itu (semalam),” katanya. – Bernama

Notis pemberhentian 13,000 guru sandaran dibatalkan – Berita Harian


Notis pemberhentian 13,000 guru sandaran dibatalkan

2011/03/03

TONGOD: Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan berita gembira untuk 13,000 Guru
Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian tahun lalu
bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran
berkata, beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus
dikekalkan.


“Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat
pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun,
kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di
tempat yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen
ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal
Lalampas Tongod di sini.

Beliau mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat
pemintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin
Kitingan, agar kontrak mereka ini disambung semula.

Muhyiddin berkata
beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lalu bagi menarik balik surat
pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT terbabit.

Katanya,
keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang menjadi guru yang
terlatih.

“Jika mereka hendak diserapkan kepada guru terlatih dan tidak
cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil adalah memberi mereka peluang
mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti,” katanya.
Beliau berkata,
pendekatan itu membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata
pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan
Matematik.

Muhyiddin mengingatkan GSTT supaya bersedia untuk berkhidmat
di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar
bertugas semula di sekolah asal.

“Pengambilan GSTT yang baru jangan
diisi dahulu tetapi disemak dahulu dengan Pengarah Pelajaran Negeri dan
Kementerian Pelajaran,” katanya. – BERNAMA

Remaja 13 tahun terjatuh dari tingkat 10 selamat – Utusan Malaysia


Remaja 13 tahun terjatuh dari tingkat 10 selamat

Lokasi kejadian remaja 13 tahun jatuh dari bangunan tingkat 10 kuarters polis di Taman Miharja, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. – ihsan China Press


 

KUALA LUMPUR 2 Mac – Bumbung papan sebuah surau menjadi penyelamat nyawa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang hanya patah kaki kanan dan tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 10 kuarters kediaman polis di Taman Miharja, Cheras di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang merupakan anak kepada anggota polis berpangkat koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, terselamat apabila segera dibawa oleh penduduk ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan baru sahaja pulang dari sekolah sebelum mendapati ibu bapanya tiada di rumah.

“Remaja berkenaan dikatakan cuba memasuki rumahnya dengan memanjat melalui koridor apabila mendapati pintu rumahnya berkunci.

“Dia nekad memanjat koridor untuk memasuki rumahnya melalui pintu dapur namun malang sekali, dia tergelincir dan terus jatuh di atas bumbung surau yang diperbuat daripada papan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, remaja tersebut terjatuh ke dalam surau dan mengalami kecederaan patah kaki kanan dan tangan kiri.

Katanya, kejadian itu disedari penduduk kuarters berkenaan yang kemudian bertindak pantas membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Mohan Singh berkata, sehingga berita ini ditulis, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa terselamat daripada maut kerana terjatuh di atas bumbung papan sebelum terhempas ke dalam surau.

“Jika dia terus terhempas ke atas lantai, mangsa mungkin mengalami kecederaan lebih teruk daripada patah kaki kanan,” ujarnya.

Pelajar korban terbaru H1N1, sekolah ditutup – Utusan Malaysia


Pelajar korban terbaru H1N1, sekolah ditutup

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

Pelajar diarah pulang selepas sekolah diarah tutup setelah seorang daripada mereka menjadi korban terbaru H1N1 manakala seramai 149 lagi menunjukkan gejala serupa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long, Kajang, Selangor, semalam. – China Press


KUALA LUMPUR 2 Mac – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang menjadi korban terbaru wabak Influenza A (H1N1).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ekoran penularan terbaru itu, kementerian mengarahkan sekolah berkenaan ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kementerian telah menghantar sepasukan pemantau ke sekolah berkenaan dan pemeriksaan mendapati 15 pelajar menunjukkan gejala H1N1 seperti demam dan batuk.
“Pada hari ini pula, seramai 149 lagi pelajar menunjukkan gejala serupa manakala dua guru sekolah itu juga diberikan cuti sakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kematian terbaru itu, Tiong Lai berkata, pelajar itu pada mulanya hanya mengalami batuk dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Saya nasihatkan semua orang sentiasa berwaspada dan mengamalkan kebersihan diri. Jangan ambil mudah jika terdapat tanda-tanda seperti itu,” katanya.