13,000 GSTT diambil semula – Utusan Malaysia


13,000 GSTT diambil semula

KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.

Utusan Malaysia alat p&p di sekolah – Utusan Malaysia


TEMERLOH 3 Mac – Pasdec Corporation Berhad (Pasdec) menaja lebih 4,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia bagi 35 keluaran sepanjang tahun ini untuk diedarkan kepada lima sekolah di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Khairuddin Abdul Manan berkata, tajaan tersebut bermula pada Februari lalu dan diedarkan sebanyak 25 naskhah bagi setiap keluaran kepada sekolah terbabit.

“Tajaan itu adalah sebahagian daripada usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporat Pasdec kepada masyarakat khususnya murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Para murid boleh memanfaatkan sisipan yang terdapat dalam akhbar berkenaan pada setiap Rabu sebagai rujukan dan ulang kaji di samping memantapkan penguasaan bahasa Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penajaan akhbar itu di Sekolah Kebangsaan Paya Pulai di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Turut hadir Pengurus Kanan Pengedaran Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Hasmadi Hassan dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pulai, Aminuddin Abdul Hamid.

Menurut Mohd. Khairuddin, sebagai syarikat milik kerajaan (GLC), Pasdec sentiasa berusaha memainkan peranan membantu masyarakat terutama yang berkaitan dengan agensi itu.

“Lima sekolah dipilih seperti SK Paya Pulai di Temerloh dan empat sekolah di Kuantan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, SMK Sultanah Hajah Kalsom, SK Bukit Setongkol serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Lembing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sekolahnya bertuah apabila terpilih menerima tajaan akhbar tersebut bagi dimanfaatkan oleh 154 murid yang bakal menduduki UPSR.

“Tajaan akhbar itu akan membantu para guru merangka pembelajaran seterusnya melahirkan murid cemerlang pada peperiksaan penting itu nanti,” katanya.

Katanya, sebelum itu, sekolahnya menggunakan akhbar tersebut khususnya sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini – Utusan Malaysia


Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini

KUALA LUMPUR 3 Mac – Pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang dekat sini ialah antara tiga orang yang meninggal dunia akibat wabak Influenza A (H1N1) pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pelajar tersebut yang pengsan selepas berjoging sebelum itu mengalami gejala muntah, sakit kepala dan batuk selama seminggu tetapi tiada demam serta dibawa ke sebuah hospital swasta pada 22 Februari lalu.

Pelajar terbabit, katanya, kemudian dirujuk ke Institut Perubatan Respiratori di sini seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

“Sebab kematian seperti yang dinyatakan pakar perubatan adalah ARDS teruk dengan jangkitan miokarditis bersama septisemia akibat jangkitan virus pneumonia.

”Sementara itu, ujian pengesahan virus pada 25 Februari lalu mendapati kes positif H1N1,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ekoran itu kata Tiong Lai, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat menjalankan siasatan di sekolah terbabit pada 1 Mac dan mendapati 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar itu mengalami gejala batuk atau selesema.

Semalam, katanya, pengetua sekolah terbabit memaklumkan bahawa dua orang guru cuti sakit kerana demam, batuk, selesema dan 149 daripada 1,600 pelajar sesi pagi tidak hadir ke sekolah.

“Memandangkan kadar ketidakhadiran yang tinggi, pihak sekolah membuat keputusan untuk menutup sekolah itu,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan semua guru besar dan pengetua sekolah agar mematuhi garis panduan pengurusan H1N1 di sekolah memandangkan kejadian kluster sering berlaku dalam kalangan murid sekolah.

“Saringan bagi mengesan mereka yang menunjukkan gejala berkenaan hendaklah dilakukan di sekolah yang mengalami kejadian kluster atau ketidakhadiran yang tinggi.

“Penutupan sekolah hanyalah langkah terakhir sekiranya masalah jangkitan menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, jumlah kes H1N1 yang disahkan sejak 1 Januari lalu sehingga semalam ialah 679, dengan 279 pesakit ILI kini menerima rawatan di hospital dan daripada jumlah itu 31 pesakit disahkan positif H1N1.

“Dua pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya mempunyai faktor risiko untuk dijangkiti wabak tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta individu yang mempunyai gejala ILI supaya tidak ke tempat tumpuan ramai.

”Kita juga meminta masyarakat sentiasa mengamalkan langkah mudah dalam mencegah penularan jangkitan H1N1 seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi,” katanya.

SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu – Utusan Malaysia


SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu

Pengawal  keselamatan  SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang menutup pintu pagar sekolah berkenaan yang diarah tutup seminggu setelah seorang daripada pelajarnya menjadi korban H1N1 baru-baru ini.


 

KUALA LUMPUR 3 Mac – Pelajar perempuan yang menjadi korban terbaru wabak Influenza A (H1N1) di negara ini dipercayai baru pulang dari bercuti di Shanghai, China, sebelum meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang itu dikatakan mengunjungi negara tersebut bersama keluarganya semasa cuti persekolahan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Jeff Tung Kok tidak menolak kemungkinan pelajar tersebut dijangkiti wabak berkenaan ketika berada di luar negara.

“Jadi, saya menasihatkan agar pelajar sekolah ini supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya terdapat tanda wabak tersebut kerana kita tidak mahu ada lagi yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan hari ini menghantar sepasukan pemantau ke sekolah tersebut dan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman bagi membendung wabak berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sekolah berkenaan diarahkan tutup selama seminggu bermula hari ini setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran.

“Sebelum ini pihak sekolah hanya diarahkan tutup selama dua hari sahaja.

”Namun tempoh itu dilanjutkan sehingga 9 Mac ini sebagai langkah membendung penularan wabak itu kerana 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar terbabit turut mengalami gejala batuk atau selesema,” katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran khuatir wabak itu merebak dalam kalangan pelajar dan guru.

”Oleh itu, lanjutan penutupan itu akan dimaklumkan esok kepada pengetua sekolah berkenaan,” katanya

Ka Siong berkata, penutupan berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan bagi mengekang wabak H1N1.

“Kementerian dari semasa ke semasa akan mendapatkan khidmat serta kerjasama Jabatan Kesihatan bagi memastikan sekolah bebas daripada virus itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati sekolah berkenaan lengang dan pihak sekolah turut menggantung notis tutup pada pintu pagar utama selama dua hari.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada guru-guru serta pelajarnya pada sesi petang persekolahan semalam kira-kira pukul 5 petang.

8 pelajar cedera disimbah cecair – Utusan Malaysia


8 pelajar cedera disimbah cecair

KUALA LUMPUR 3 Mac – Malang buat lapan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya di sini apabila mereka disimbah dengan sejenis pencair oleh seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali semalam.

Kejadian pukul 4.45 petang yang menimpa kesemua pelajar tahun lima dan enam itu berlaku ketika mereka sedang menunggu kenderaan di luar kawasan sekolah.

Suspek yang dikatakan berpakaian hitam dan memakai topi keledar penutup muka penuh, tiba-tiba telah menyimbah cecair berkenaan sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Kesemua mangsa yang mengalami kesan terbakar pada muka, lengan dan tubuh dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, setakat ini pihak polis belum membuat sebarang tangkapan.

“Polis masih menyiasat kes ini mengikut mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua guru disiplin sekolah dituduh cabul 11 pelajar – Berita Harian


Ketua guru disiplin sekolah dituduh cabul 11 pelajar

2011/03/04

AMPANG: Seorang ketua guru disiplin
dituduh di Mahkamah Majistret Ampang di sini, atas 11 tuduhan mencabul 11
pelajar perempuan berasingan di sebuah sekolah di sini, bulan
lalu.

Ismazi @ Megat Ismazi Ismail, 48, mengaku tidak bersalah atas semua
tuduhan mencabul 11 pelajar berusia antara 15 dan 16 tahun dengan meletakkan
tangan di atas dada mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara 10 tahun atau denda atau sebatan.
Mahkamah menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan dan membenarkan tertuduh dijamin RM
11,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan