Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini – Utusan Malaysia


Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini

KUALA LUMPUR 3 Mac – Pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang dekat sini ialah antara tiga orang yang meninggal dunia akibat wabak Influenza A (H1N1) pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pelajar tersebut yang pengsan selepas berjoging sebelum itu mengalami gejala muntah, sakit kepala dan batuk selama seminggu tetapi tiada demam serta dibawa ke sebuah hospital swasta pada 22 Februari lalu.

Pelajar terbabit, katanya, kemudian dirujuk ke Institut Perubatan Respiratori di sini seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

“Sebab kematian seperti yang dinyatakan pakar perubatan adalah ARDS teruk dengan jangkitan miokarditis bersama septisemia akibat jangkitan virus pneumonia.

”Sementara itu, ujian pengesahan virus pada 25 Februari lalu mendapati kes positif H1N1,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ekoran itu kata Tiong Lai, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat menjalankan siasatan di sekolah terbabit pada 1 Mac dan mendapati 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar itu mengalami gejala batuk atau selesema.

Semalam, katanya, pengetua sekolah terbabit memaklumkan bahawa dua orang guru cuti sakit kerana demam, batuk, selesema dan 149 daripada 1,600 pelajar sesi pagi tidak hadir ke sekolah.

“Memandangkan kadar ketidakhadiran yang tinggi, pihak sekolah membuat keputusan untuk menutup sekolah itu,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan semua guru besar dan pengetua sekolah agar mematuhi garis panduan pengurusan H1N1 di sekolah memandangkan kejadian kluster sering berlaku dalam kalangan murid sekolah.

“Saringan bagi mengesan mereka yang menunjukkan gejala berkenaan hendaklah dilakukan di sekolah yang mengalami kejadian kluster atau ketidakhadiran yang tinggi.

“Penutupan sekolah hanyalah langkah terakhir sekiranya masalah jangkitan menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, jumlah kes H1N1 yang disahkan sejak 1 Januari lalu sehingga semalam ialah 679, dengan 279 pesakit ILI kini menerima rawatan di hospital dan daripada jumlah itu 31 pesakit disahkan positif H1N1.

“Dua pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya mempunyai faktor risiko untuk dijangkiti wabak tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta individu yang mempunyai gejala ILI supaya tidak ke tempat tumpuan ramai.

”Kita juga meminta masyarakat sentiasa mengamalkan langkah mudah dalam mencegah penularan jangkitan H1N1 seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s